UMNO & PAS Setuju Daftar Muafakat Nasional

Dua parti Melayu terbesar, Umno dan PAS, bersetuju untuk mendaftarkan kerjasama politik mereka, Muafakat Nasional, selepas Umno mencadangkan hal itu secara terbuka dalam kenyataan baru-baru ini.

Setiausaha agung I dan II gabungan itu, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, mengumumkan kepimpinan kedua-dua parti bersetuju untuk mengorak langkah itu dalam kenyataan hari ini, di sebalik penangguhan jawatankuasa perunding MN yang sepatutnya bertemu semalam.

“Kepimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya hari ini.

Umno mencadangkan kepada PAS supaya mendaftarkan MN sebagai gabungan yang sah ketika mengumumkan ia akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional, yang disertai PAS.

Peneraju PN, PPBM, pada Ogos menyatakan hasrat untuk menyertai MN selepas diundang secara rasmi, namun akar umbi Umno dikatakan tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea itu.

Ketika ini, Umno mempunyai 39 ahli Parlimen manakala PAS pula 18 ahli Parlimen. Lapan wakil rakyat MN memegang jawatan di peringkat eksekutif dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.

Dilaporkan sebelum ini, Umno dengan sejarah sejak 1946 mempunyai lebih 3 juta ahli, manakala PAS yang bertapak 69 tahun lalu mempunyai kekuatan ahli lebih 1 juta, dengan 806,000 daripadanya aktif.

MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin secara rasmi pada 14 Sept 2019, menyusuli kekalahan Umno dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum 2018 di tangan PPBM dan Pakatan Harapan.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, berpendapat cadangan Umno meminta menyegerakan pandaftaran MN ini secara tidak langsung kata dua parti itu kepada PAS, ketika kedudukan kerajaan PN dikatakan semakin tidak menentu susulan pengumuman Umno mempertimbangkan sokongannya.

“Sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN,” katanya. -{Free Malaysia Today]