Hantaran Hina Raja? Polis Siasat Ronnie Liu

Polis sedang menjalankan siasatan ke atas kenyataan media sosial Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu yang dikatakan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia berhubung hantaran Liu di akaun Faceboknya “Ronnie Liu Tian Khiew” yang mengandungi gambar protes besar-besaran yang dipercayai berlaku di Thailand.

Now in Bangkok. They are saying no to the King (Sekarang di Bangkok. Mereka katakan tidak kepada raja),” tulis Liu.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Liu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Selain itu, Adun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pihak polis juga katanya telah memulakan siasatan pada 21 Oktober dan akan mengesan suspek.

“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan suspek dan merakam keterangan saksi-saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen,” katanya lagi.

Tidak dapat dipastikan bilakah hantaran kontroversi itu dimuat naik di media sosial namun semakan mendapati ia telah dipadamkan dari akaun Facebook berkenaan.

Bagaimanapun, tangkap layar hantaran itu tersebar di media sosial dengan gesaan untuk menolak DAP.

Seorang warganet juga mempersoalkan apakah dengan hantaran itu, Liu cuba menghasut orang awam ke atas sistem beraja di Malaysia. -{Malaysiakini]

Mesyuarat MT UMNO: Kenyataan Media Rasmi Presiden

Berikut merupakan kenyataan rasmi yang dikeluarkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi hari ini susulan mesyuarat Majlid Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada hari ini, 26 Oktober 2020 (Isnin) telah memutuskan perkara-perkara berikut:

1. Menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Perlembagaan Persekutuan. Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.

2. Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

3. Menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembeleng penyertaan parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.

4.Mencadangkan supaya Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

5. Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional.UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan penghormatan dan political consensus.

6. Memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.

Ahmad Zahid Hamidi