امنو تولق شور رئيس يتيم چدڠ سمولا ضرورة کڤد اݢوڠ

Baca versi Rumi di sini.

امنو منولق شور يڠ دڤرتوا ديوان نݢارا⹁ رئيس يتيم سوڤاي کراجاءن منچدڠکن سکالي لاݢي کڤد يڠ دڤرتوان اݢيڠاونتوق ملقسانکن ضرورة.

سأورڠ اڠݢوتامجليس ترتيڠݢي امنو يڠ اڠݢن نامڽ دسيارکن برکات⹁ اوسها منداڤتکن ڤڠايشتيهرن ضرورة سکالي لاݢي اداله تيدق سلارس دڠن ڤنديرين ڤرتي ايت.

“تيندقن سڤيکر ديوان نݢارا رئيس يتيم يڠ ممينت کراجاءن منروسکن چدڠن ضرورة اداله ساتو تيندقکن يڠ تيدق ممنتيڠکن رعيت.

“مجليس ترتيڠݢي تݢس اونتوق منولق مان٢ تيندقن يڠ اکن منججسکن کسلامتن رعيت دان ڤاتوه کڤد تيته دولي يڠ ماها موليا⹁” کات ڤميمڤين برکناءن.

سمالم⹁ رئيس دالم ساتو لاڤورن يڠ دسيارکن اوتوسن مليسيا مىڠىشورکن اݢر ڤلقساناءن ضرورة دکاوسن ترليبت کيس کوۏيد-19 دچدڠکن سکالي لاݢي کڤد يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله سلطان احمد شاه.

رئيس برکات⹁ ساڠت مدتحق اونتوق رعيت مڠهورماتي کڤوتوسن سري ڤادوک يڠ منولق چدڠن ترسبوت تتاڤي ڤنتيڠ جوݢ اونتوق مڠاسيڠکن انتارا ايسو کصيحتن دان ڤوليتيک.

“دڠن کأداءن ڤاندميک کوۏيد-19 يڠ منيڠکت سرت سيتواسي ايکونومي رعيت يڠ ترهيمڤيت⹁ امت واجر کيراڽ ڤيههق برکواس مڽمبه جلسکن کڤد سري ڤادوک سکالي لاݢي اݢر منريما اڤ٢ فکت تامبهن درڤد ڤيهق برکواس.

“رعيت هاروس مڠهورماتي تيته سري ڤادوک تيمڤوه هاري⹁ باݢايمانڤون کهندق ڤرکارا 40 ايت ڤرلو دڤاتوهي والاوڤون برشرات. موݢ لڠکه٢ واجر کراجاءن دالم کونتيک‌س ڤنتدبيرن ضرورة تيدق دسالهءرتيکن⹁” کاتڽ کڤد اوتوسن مليسيا سمالم.

ڤرکارا 40 ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان مڽاتکن بهاوا يڠ دڤرتوان اݢوڠ مستي برتيندق اتس نصيحت کابينيت کچوالي جيک دڤراونتوقکن اوليه ڤرلمباݢاءن.

رئيس مڠاتکن ڤرکارا ايت جلس دان تيدق ممرلوکن “اينتڤريتادي يڠ بوکن٢”.

باݢايمانڤون ڤڠکريتيک برکات ڤرکارا 40 ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان هاروس دباچ برسام دڠن ڤرکارا 150﴿1﴾ يڠ مڠاتکن اݢيڠ هاروس برڤواس هاتي بهاوا اد کڤرلوان اونتوق ممينت ضرورة.

سمالم ڤريسيدن امنو⹁ زاهيد حميدي دالم ساتو کڽاتاءن برکات “امنو تيدق اکن تراݢق-اݢق اونتوق مڠامبيل تيندقن تݢس اونتوق منجاݢ کدولتن راج٢ ملايو دان کڤنتيڠن رعيت.”

دتاڽ اڤاکه ‘تيندقن’ برکناءن⹁ سومبر ترسبوت منجاوب: “اد باڽق option ﴿ڤيليهن﴾ کالاو کراجاءن تيدق منجونجوڠ تيته دولي يڠ ماها موليا”.

امنو سبلوم اين ممڤرتيمبڠکن اونتوق مناريق سوکوڠن کڤد کراجاءن ڤريکاتان ناسيونل سوسولن هوبوڠن يڠ تݢڠ دالم ݢابوڠن ايت.

ميڠݢو لالو⹁ ڤردان منتري محى الدين ياسين مڠادڤ يڠ دڤرتوان اݢوڠ باݢي ممينت ضرورة دأيشتيهرکن⹁ يڠ دکاتکن باݢي مناڠاني وابق کوۏيد-19.

باݢايمانڤون⹁ ڤمبڠکڠ برڤنداڤت لڠکه ايت برتوجوان مڠايلقکن کراجاءن تيوس دالم اوندي بلانجاوان يڠ اکن دبنتڠکن دڤرليمن بولن دڤن.

ڤد ماس اين محى الدين ممڤوڽاءي ماجوريتي تيڤيس دديوان رعيت دان سکيراڽ تىواس دالم اوندين بلانجاوان⹁ ڤرکارا ايت بوليه مڽببکن کراجاءن تومبڠ دان ڤيليهن راي مڠجوت دأداکن.

ستياءوسها اݢوڠ باريسن ناسيونل⹁ انوار موسا سبلوم اين ممبري بايڠن بهاوا ضرورة اداله جالن ترباءيق اونتوق مڠايلقکن ڤيليهن راي عموم کتيک وابق کوۏيد-19 سدڠ ملاندا نݢارا.

UMNO Tolak Syor Rais Yatim Cadang Semula Darurat Kepada Agong

Baca versi Jawi di sini.

Umno menolak syor Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim supaya kerajaan mencadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat.

Seorang anggota majlis tertinggi (MT) Umno yang enggan namanya disiarkan berkata, usaha mendapatkan pengisytiharan darurat sekali lagi adalah tidak selaras dengan pendirian parti itu.

“Tindakan Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang meminta kerajaan meneruskan cadangan darurat adalah satu tindakan yang tidak mementingkan rakyat.

“MT tegas untuk menolak mana-mana tindakan yang akan menjejaskan keselamatan rakyat dan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia,” kata pemimpin berkenaan.

Semalam Rais dalam satu laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengesyorkan agar pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 dicadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Rais berkata, sangat mustahak untuk rakyat menghormati keputusan Seri Paduka yang menolak cadangan tersebut tetapi penting juga untuk mengasingkan antara isu kesihatan dan politik.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang meningkat serta situasi ekonomi rakyat yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak berkuasa menyembah jelaskan kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima apa-apa fakta tambahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat harus menghormati titah Seri Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks pentadbiran darurat tidak disalahertikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong mesti bertindak atas nasihat kabinet kecuali jika diperuntukkan oleh perlembagaan.

Rais mengatakan perkara itu jelas dan tidak memerlukan “interpretasi yang bukan-bukan”.

Bagaimanapun pengkritik berkata Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama dengan Perkara 150 (1) yang mengatakan Agong harus berpuas hati bahawa ada keperluan untuk meminta darurat.

Semalam presiden Umno, Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata “Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas untuk menjaga kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan rakyat.”

Ditanya apakah ‘tindakan’ berkenan, sumber tersebut menjawab: “Ada banyak option kalau kerajaan tidak menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia”.

Umno sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional susulan hubungan yang tegang dalam gabungan itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi meminta darurat diisytiharkan, yang dikatakan bagi menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat langkah itu bertujuan mengelakkan kerajaan tewas dalam undi Belanjawan yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan. 

Pada masa ini Muhyiddin mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat dan sekiranya tewas dalam undian Belanjawan, perkara itu boleh menyebabkan kerajaan tumbang dan pilihan raya mengejut diadakan.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa sebelum ini memberi bayangan bahawa darurat adalah jalan terbaik untuk mengelakkan PRU ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara. -{Malaysiakini]