Belanjawan 2021 Lulus Setelah Undi Belah Bahagi

Belanjawan 2021 telah diluluskan oleh Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat sebentar tadi, melalui undi belah bagi setelah perbahasan peringkat jawatankuasa.

105 Ahli Dewan Rakyat menyokong manakala 95 menolak.

Mereka yang tidak hadir di bangku kerajaan semasa pengundian kira-kira jam 2 petang hari ini ialah bekas perdana menteri Najib Razak (BN-Pekan), Presiden Umno, Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Selain Masir Kujat (PSB-Sri Aman), Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong), Michael Teo (PKR-Miri), Christina Liew (PKR-Tawau) dan lapan anggota parlimen Warisan turut tidak hadir.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ketua Whip PKR Johari Abdul mencadangkan undi belah bahagi itu, dan disokong sekurang-kurangnya 15 anggota parlimen lain, jumlah minimum bagi membolehkan proses itu dibuat.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kemudian membenarkan permintaan itu dan menangguhkan sidang selama 20 minit untuk proses undian.

Politik Cantas Mencantas Dalam Kehidupan

Dalam kehidupan hari ini, nampaknya bukan hanya orang politik sahaja yang bermain politik; tetapi ianya berlaku di mana-mana sahaja.

Malah, permainan politik di luar parti politik tidak kurang hangatnya.

Ada politik pejabat, politik dalam syarikat, pertubuhan, persatuan, organisasi dan termasuk juga permainan politik dalam keluarga.

Sering kali juga timbul permainan politik kotor yang membawa kepada salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya akibat perasaan tamak, hasad dengki dan tidak amanah.

Hakikatnya, permainan politik kotor bukan hanya berlaku di dalam gelanggang politik negara, tetapi kerap berlaku di mana-mana sahaja atas tujuan tertentu.

Fitnah jahat serta mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri adalah di antara amalan-amalan keji yang akhirnya merosakkan sistem kemasyarakatan. Telunjuk lurus, kelingking berkait.

Perkara ini bukanlah perkara baharu. Malah, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dahulu pun adalah akibat pengkhianatan orang dalam yang tidak amanah dan sanggup bersekongkol dengan musuh.

Pemimpin cerminan kepada rakyat, jika pemimpin bermasalah, maka itulah gambaran keadaan masyarakatnya, baik negara, pertubuhan atau apa sahaja organisasi yang berkaitan.

Lihat gelagat sesetengah pemimpin politik ketika perbahasan di Dewan Rakyat. Ada yang tidak segan-silu menjerit-jerit, tidak menjaga adab, bercakap kasar serta menggunakan bahasa yang kurang sopan; walaupun mereka tahu bahawa rakyat sedang memerhati; dan percakapan mereka direkodkan dalam hansard.

Apakah itu sikap yang patut diteladani rakyat, khususnya generasi muda?

Ada juga pemimpin politik serta pemimpin masyarakat yang mempertikaikan undang-undang serta apa yang telah jelas digariskan di dalam Perlembagaan dengan membuat tafsiran baharu mengikut selera mereka.

Malah ada yang bersikap biadap sehingga sanggup mempertikaikan kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu, mempertikaikan kuasa eksekutif Yang DiPertuan Agong serta tiada perasaan taat setia kepada Raja dan negara.

Maka tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan rakyat yang terpengaruh sehingga bukan sahaja tidak menghormati, malah sanggup menghina Raja-Raja Melayu.

Ironinya, mereka sendiri tidak suka jika mereka dihina sebegitu atau dipersoal tindakan mereka. Mereka mahu dihormati serta dipatuhi secara mutlak.

Masyarakat yang tidak beradab dan bertindak sesuka hati mengikut nafsu akan meruntuhkan budaya dan tamadun bangsa.

Ini membawa kepada budaya anarki yang sinonim dengan sikap individuistik dan hanya mementingkan diri sendiri, ganas, cenderung memberontak serta menolak pelaksanaan undang-undang yang didakwa satu paksaan ke atas diri mereka.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Mesir dan Libya akibat pemberontakkan rakyat.

Negara mereka hancur, dan setelah mereka bergadai nyawa mengadakan revolusi, hidup mereka lebih sengsara daripada sebelumnya.

Ramai yang terpaksa menjadi pelarian untuk mencari kehidupan di negara luar.

Amat sukar untuk membina sesebuah negara namun ianya boleh dihancurkan dengan hanya sekelip mata; ibarat kata pepatah bahasa Inggeris, “Rome wasn’t built in a day, but burned in one“. Ini juga terpakai kepada sebarang organisasi dalam masyarakat.

Sukar dan menyiksakan untuk hidup dalam dunia yang tidak lagi mengenal erti kejujuran dan keikhlasan. Ramai yang ibarat menahan lukah di pergentingan.

Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah dan kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.

Anwar Ikrar Letak Jawatan PH Jika Tiada Majoriti – MP

Presiden PKR Anwar Ibrahim berjanji untuk melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika gagal membuktikan dia memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat kata empat ahli parlimen.

Bercakap kepada Malaysiakini, mereka yang enggan didedahkan identiti masing-masing terdiri daripada wakil PKR dan DAP.

“Betul, betul. (Anwar) maklumkan kepada kami pada Khamis,” kata seorang ahli parlimen PKR.

Menurutnya, ikrar itu dilafazkan Anwar semasa pertemuan ahli parlimen pembangkang dengannya selepas Belanjawan 2021 diterima pada bacaan kedua di peringkat dasar Dewan Rakyat.

Ahli parlimen Port Dickson itu mengejutkan orang ramai selepas dimaklumkan memberi arahan agar wakil pembangkang tidak cuba menguji Belanjawan 2021 melalui undian secara blok.

Berbeza daripada undian suara – yang ditentukan speaker melalui kumpulan mana yang lebih lantang – undian secara blok dikira melalui sokongan yang diberikan setiap ahli parlimen yang hadir.

Ia juga akan mendedahkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sama ada masih memiliki sokongan majoriti di parlimen atau sebaliknya.

Kebanyakan ahli parlimen pembangkang patuh kepada arahan Anwar namun mereka kemudian mempersoalkan pendirian tersebut dalam pertemuan yang diadakan selepas itu.

Diundi mengikut kementerian

Menurut wakil PKR itu, memang Anwar ada menyatakan rancangannya itu beberapa kali sebelum ini.

Tambahnya jika meletakkan jawatan dalam PH Anwar mahu memberikan tumpuan kepada usaha memperkuat parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kali ni dia nak tumpu pada election (PRU). Tak kiralah (berapa lama lagi) setahun ke, dua tahun ke. Dia tumpulah, tumpu untuk kukuhkan parti.

“Memang dia dah cakap berkali kali dah, kalau tak dapat, dia akan tumpu election,” katanya.

Untuk rekod semalam satu surat didakwa kononnya dikeluarkan pejabat Anwar menjadi tular. Ia berisi kenyataan didakwa janji pemimpin itu untuk meletak jawatan jika gagal membuktikan sokongan yang diterimanya.

Bagaimanapun surat itu kemudian disahkan palsu dan pejabat Anwar tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Di sebalik pengesahan itu beberapa ahli parlimen memberitahu Anwar memang ada berkata demikian.

Kata mereka, Anwar meminta tempoh seminggu untuk membuktikan sokongan yang ada padanya sekali gus memungkinkan kerajaan Perikatan Nasional dijatuhkan.

Jika gagal, mereka mendakwa, Anwar berjanji akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PH.

Belanjawan 2021 akan melalui bacaan kali ketika minggu depan. Di peringkat jawatankuasa ia sekali lagi akan diuji melalui undian mengikut kementerian. -{Malaysiakini]

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Sayu Kenang Tragedi Bukit Kepong

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Sayu Kenang Tragedi Bukit Kepong” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan saya boleh dibaca di akhbar Utusan Malaysia hari ini, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah:

Wong Chin Huat: Pembangkang Tidak Bertindak Profesional

Penganalisis politik Prof Dr Wong Chin Huat berpendapat belanjawan perlu diundi secara belah bahagi pada peringkat dasar semalam.

“Anggota parlimen (perlu) menyatakan pilihan mereka ya atau tidak.

“Untuk memilih undi suara – digunakan hanya ketika andaian mempunyai majoriti yang jelas pada perkara yang tidak kontroversi- sama sekali tidak profesional.

“Alasan paling pincang yang saya dengar adalah ‘lemah’ (futility), bahwa (pengundian secara belah bahagi tidak terjadi) kerana penukaran sokongan Umno tidak berlaku.

“Tidak, anda tidak mengundi hanya apabila anda dapat memastikan keputusan undiannya.

“Sekiranya ahli parlimen begitu ‘memikirkan akibat tindakan mereka’, maka adakah patut jika penyokong parti mereka hanya tinggal di rumah semasa pilihan raya bagi setiap kawasan yang bukan kubu kuat mereka?” soal Wong pada hantaran di Facebooknya, malam tadi.

“Alasan paling ‘pincang’ kedua adalah bahawa ‘kami membantah melalui ‘undi suara’. 

“Undi suara adalah hanya untuk pilihan ‘ya’. Anda fikir kami bodoh (idiot)?”

“Jika masalahnya adalah kempen ‘menderhaka titah Agong’, maka mereka harus setidaknya memilih tidak mengundi selepas memilih undi belah bahagi,” katanya lagi.

“(Presiden PKR) Anwar Ibrahim, (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, (Presiden Warisan) Shafie Apdal dan (Presiden Amanah) Mohamad Sabu berhutang penjelasan kepada masyarakat,” tambah Wong.

Belanjawan 2021 yang menarik perhatian ramai akhirnya diluluskan pada peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat.

Cubaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) supaya pengundian dibuat secara belah bahagi tidak berjaya selepas hanya mendapat 13 sokongan anggota parlimen kurang dua seperti disyaratkan.

Sejarah berbeza jika dua lagi MP pembangkang “berani” 

Sokongan itu diperoleh daripada kesemua empat anggota parlimen Pejuang, enam daripada Amanah dan masing-masing satu daripada PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Bilangan 13 orang itu, bagaimanapun tidak cukup dua orang daripada sekurang-kurangya 15 sokongan yang diperlukan bagi membolehkan undian belah bahagi itu diadakan.

Ia menimbulkan pertikaian hangat di media sosial, khususnya daripada penyokong parti pembangkang yang sebelum ini lantang mengkritik belanjawan berkenaan.

Wong pada hantaran semalam juga menyatakan syabas kepada 13 MP yang bangun meminta undian dibuat secara belah bahagi.

Kata saintis politik itu lagi, sejarah pasti berbeza jika dua orang sahaja lagi ahli parlimen pembangkang “berani” berdiri.

“Sudah sampai masa untuk menggalakkan budaya backbench revolt (pemberontakan penyokong blok).

“Kegagalan hari ini (semalam) bukanlah bukti kekuatan kerajaan. Ia bukti kepada pembangkang yang tak profesional, yang seperti kerajaan, hanya melihat parlimen sebagai satu instrumen kuasa eksekutif,” katanya lagi.

Sementara itu, semalam, ketua parlimen DAP Anthony Loke memohon maaf kepada ahli dan penyokong parti yang kecewa dengan keputusan ahli parlimen yang tidak bangkit semalam.

Katanya, RUU itu hanya lulus di peringkat dasar dan selepas ini ia masih akan dibahaskan secara terperinci dan diluluskan untuk setiap kementerian, maka semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bermula Isnin ini, peluang untuk undi belah bahagi masih ada untuk setiap hari.

Loke menyatakan sebab menolak undi belah bahagi kerana belanjawan itu tidak boleh ditolak sepenuhnya, memandangkan ada perkara yang dipersetujui, dan ada perkara yang tak dipersetujui dalam belanjawan itu.

Malah, jika ahli parlimen pembangkang bangkit menyokong undi belah bahagi, dia membayangkan PN akan menuduh PH ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan memainkan sentimen rakyat dengan tuduhan tersebut.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP merasa amat kecewa terhadap keputusan ini dan mengecam tindakan kita.

“Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah satu keputusan yang salah.

“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua ahli parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan “The fight will go on” (perjuangan akan diteruskan),”katanya lagi. -{Malaysiakini]

Penjelasan Anwar Mengapa Tidak Bantah Belanjawan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata dia telah meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi pada Belanjawan 2021 hari ini.

Ini kerana kata Anwar, dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Sila baca: Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Namun, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN).

Sila baca: Siapakah MP Pembangkang Dikhabarkan Akan Sokong Belanjawan?

Ini kerana isu utama seperti perbelanjaan “tidak realistik” belum dijawab oleh Zafrul, katanya.

“Tetapi apa yang dilakukannya adalah mengumumkan geran dan elaun tambahan untuk barisan depan, petani, nelayan dan lain-lain.

“Itu menjadikan isu ini sulit. Saya tidak mahu dilihat mengabaikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah, yang lebih diterima oleh rakyat.

“Walaupun Lim dan Mohamad mempunyai pandangan yang kuat, saya merayu mereka, berikan tugas itu, buat masa ini kita harus biarkan (belanjawan) terus berjalan,” katanya kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan Anwar untuk tidak melakukan undi belah bahagi dibuat pada saat-saat akhir.

Berikutan itu berlaku satu pertemuan selama dua jam mengenai perkara itu yang dikatakan berlangsung ‘panas’.

“Ia ambil masa lama sebab mereka (MP) sama ada hentam atau pertahankan dia (Anwar),” kata seorang ahli Parlimen Harapan yang hadir dalam mesyuarat itu.

“Keputusan Anwar jadikan semua orang berada dalam posisi yang sangat sulit,” katanya.

Sila baca: Azmi: Jika Belanjawan Ditolak, Bukan Bermakna Anwar Jadi PM

Sumber berkata Presiden Amanah, Mohamad “geram dan kecewa” terhadap presiden PKR itu, manakala DAP “sangat tidak senang” dengan keputusan berkenaan.

Bercakap kepada wartawan, Anwar berkata keputusan hari ini bukan bermaksud Pakatan Harapan akan membenarkan belanjawan diluluskan pada peringkat jawatankuasa atau bacaan kali ketiga nanti.

“Kita telah buat keputusan untuk minta belah bahagi

“Seandainya beberapa kementerian bercanggah dengan pendirian kita dalam pengurusan kerajaan baik, penyelewengan, soal dasar. Ini kita mula dari hari Isnin,” katanya.

PH katanya, juga ingin penjelasan lebih terperinci mengenai pengumuman terbaru yang dibuat oleh menteri kewangan hari ini.

Sila baca: Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Hari ini, Zafrul mengumumkan beberapa perubahan, termasuk meluaskan pengeluaran Akaun 1 KWSP kepada semua pencarum yang terjejas pendapatan tahun ini.

Terdahulu, Umno turut menuntut perkara itu dan membayangkan akan menolak belanjawan jika ia tidak dipenuhi.

Zafrul turut mengumumkan bahawa peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dikurangkan. Perinciannya akan dimaklumkan di peringkat jawatankuasa.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat, Anwar berkata: “Kita akan menyentuh soal itu bila tiba masanya (we will cross it at the right time)”. -{Malaysiakini]

Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Belanjawan 2021 telah dilulus dalam undian pertama ketika persidangan Dewan Rakyat sebentar tadi melalui undian suara.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar cuba untuk mendapatkan undian semula melalui undian blok, tetapi tidak mendapat sokongan 15 Ahli Parlimen yang diperlukan.

Hanya 13 Ahli Parlimen berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz.

Selepas ini belanjawan tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa pula untuk dibahaskan sebelum ia sekali lagi diundi sebelum diluluskan.

Sokongan yang diberikan hari ini dibuat selepas Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pelbagai peruntukan tambahan termasuk kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dituntut pelbagai pihak.

Mengikut peraturan, speaker terlebih dahulu akan bertanya sokongan pihak yang setuju sebelum menguji undian suara mereka yang tidak bersetuju. Sekiranya terdapat lebih banyak suara ahli parlimen yang bersetuju, usul tersebut akan diluluskan.

Namun, mana-mana ahli parlimen boleh mempertikaikan keputusan tersebut atas apa-apa sebab dan boleh meminta undian secara berkumpulan (en bloc) – atau belah bahagi – dibuat.

Bagaimanapun ia memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen untuk menyokongnya.

Berita lanjut akan menyusul kemudian.

Siapakah MP Pembangkang Dikhabarkan Akan Sokong Belanjawan?

Menjelang undian Belanjawan 2021 petang ini, ramai masih tertanya-tanya apakah yang bakal diputuskan oleh Dewan Rakyat. Khabar angin bahawa beberapa Ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong belanjawan tersebut disambut pula dengan kata-kata bahawa mungkin ada beberapa Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan.

Sila baca: Azmi: Jika Belanjawan Ditolak, Bukan Bermakna Anwar Jadi PM

Menurut Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, beliau pernah mendengar khabar angin bahawa beberapa Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan tersebut, dengan janji memdapat sumber dan peruntukan sebagai balasan.

“Khabar angin mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen UMNO tidak akan mengundi dan pada masa sama saya juga pernah mendengar khabar angin beberapa ahli parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan sebagai balasan untuk sumber dan peruntukan kepada ahli parlimen.

“Apa pun yang berlaku, undian belanjawan ini penting untuk membantu menjelaskan kekaburan politik yang bermula setelah kerajaan pintu belakang berkuasa pada Februari 2020.

“Keputusan hari ini, akan menunjukkan dengan jelas siapa sokong siapa.”

Wong Chen -26 November 2020

Sila baca: Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut tidak menafikan kemungkinan sokongan tersebut. Tambah beliau, kerajaan mempunyai kaedah untuk mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, dengan mengambil kira ahli parlimen yang menyatakan tidak akan hadir pengundian, selain ahli parlimen yang meninggal dunia, jumlah 112 yang diperlukan PN untuk mempertahankan kerajaan telah berkurangan.

“Ertinya jumlah 112 yang diperlukan untuk pembentukan sebuah kerajaan itu telah berkurangan.

“Dalam situasi yang begitu tentunya kerajaan yang memerintah mempunyai beberapa kaedah tertentu untuk mendapat dokongan daripada ahli-ahli parlimen yang berada di luar kerajaan.

“Tentu ada beberapa perkara yang sedang dirancangkan oleh mereka.”

Ahmad Zahid Hamidi – 25 November 2020

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Sehingga keputusan dibuat dalam pengundian yang dijangka akan berlaku bila-bila selepas jam 2 petang nanti, orang awam akan terus tertanya-tanya sambil menunggu berita. Adakah suara rakyat akan dibawa oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen?

Azmi: Jika Belanjawan Ditolak, Bukan Bermakna Anwar Jadi PM

Ramai yang berpendapat bahawa jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan, kerusi Perdana Menteri sah akan menjadi milik Anwar Ibrahim.

Namun penganalisis politik dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan mempunyai pandangan yang berbeza.

Sila baca: Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Walaupun jika belanjawan ditolak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, ini tidak bermakna secara automatik Anwar telah mendapat mandat untuk menubuhkan kerajaan baru.

Katanya, sukar untuk Anwar menubuhkan kerajaan baru, walaupun jika belanjawan ditolak dan Muhyiddin meletak jawatan.

Free Malaysia Today – Penganalisis ramal Najib, Anwar pemenang besar jika belanjawan ditolak

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Untuk menubuhkan kerajaan, Anwar mesti membuktikan beliau mempunyai ‘nombor yang mencukupi’.

UMNO tidak mungkin akan bekerjasama dengan DAP, malah ramai pemimpin dan ahli UMNO yang turut menolak PKR.

Sila baca: Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Justeru, jika kerajaan PN jatuh sekalipun, kemungkinan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri masih samar.

Natijahnya, perkara pokok adalah, Anwar perlukan ‘nombor yang mencukupi’ untuk membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri.

“UMNO dan DAP perlu bekerjasama, itu mustahil berlaku.

“Malah, sukar untuk mana-mana ahli Parlimen membukti beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Ini sebabnya kenapa ia mungkin berlaku walaupun jika kerajaan tumbang, Muhyiddin masih akan dilantik sebagai PM sementara sehingga pilihan raya boleh diadakan.”

Azmi Hassan – Penganalisis ramal Najib, Anwar pemenang besar jika belanjawan ditolak – Free Malaysia Today

Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Baca versi Jawi di sini.

Negara sedang ternanti-nanti keputusan undian di Dewan Rakyat untuk menentukan keputusan sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan.

Dalam keadaan krisis politik yang belum ada kesudahannya, ramai yang tidak menolak kemungkinan belanjawan ini tidak dapat diluluskan.

Pembangkang telah menyuarakan pendapat mereka di Dewan Rakyat, dan parti-parti yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai suara yang cukup untuk meluluskan belanjawan ini.

Justeru, PN memerlukan sokongan parti-parti lain yang bersama-sama membentuk kerajaan untuk mengundi secara en bloc menyokong Belanjawan 2021.

Namun, yang jelas, jikalau UMNO mengundi secara en bloc sekalipun, kerajaan kini akan kehilangan 2 undi iaitu:

  • Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Hasbullah Osman yang telah meninggal dunia pada 16 November 2020;
  • dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang masih dalam kuarantin kerana pulang ke Sabah baru-baru ini.

Sila baca: Ahli Parlimen Gerik Meninggal Dunia

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan juga dilaporkan sedang menjalani kuarantin. Menurut Malaysiakini, pemimpin pembangkang mendakwa Jeffrey Kitingan sepatutnya tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada hari tersebut.

Dakwa mereka, tempoh kuarantin Jeffrey Kitingan sepatutnya berakhir paling awal pada 26 Nov ini, memandangkan beliau masih berada di Sabah pada 12 November 2020.

Maka, jika Jeffrey Kitingan tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat, kerajaan akan kehilangan 3 undi.

Pembangkang bersuara tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini. Tambahan pula, terdapat kekangan masa, bilangan Ahli Parlimen yang dapat berada di dalam dewan serta cara perbahasan dilaksanakan kerana mematuhi SOP yang ditetapkan.

Antara isu yang hangat dipertikaikan pembangkang ialah peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Malah, dalam blok kerajaan sendiri pun, ada pemimpin UMNO yang meminta perkara ini diperjelaskan dengan telus kepada dewan dan rakyat, memandangkan ianya melibatkan jumlah wang negara yang sangat besar pada saat rakyat sedang terdesak.

Daripada tulisan dan komen di pelbagai media sosial, ramai dalam kalangan rakyat mencadangkan agar dana itu disalurkan kepada rakyat yang susah untuk meneruskan kehidupan, khasnya golongan B40 yang semakin bertambah dari hari ke sehari; serta untuk menjana ekonomi negara, memerangi Covid-19 dan memastikan kerajaan mampu menyediakan vaksin untuk semua rakyat.

Ramai rakyat telah hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja serta ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar. Tidak kurang juga bilangan rakyat yang pendapatan mereka kini berkurangan; ada yang dikurangkan gaji, manakala ramai peniaga yang kini hasil jualan mereka menyusut teruk.

Hubungan PN dengan UMNO kini sering diperkatakan oleh rakyat. Malah pemimpin mereka secara terang-terangan membuat berbagai-bagai kenyataan yang menzahirkan keadaan tersebut.

Tidak seperti kerajaan-kerajaan terdahulu iaitu Perikatan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bilangan Ahli Parlimen PN tidak cukup untuk mendapatkan majoriti mudah di Dewan Rakyat. Oleh itu PN mengharapkan sokongan BN dan GPS.

Secara teknikalnya, parti-parti ini mempunyai budi bicara sendiri dalam menentukan sokongan mereka kepada apa sahaja usul yang dibentangkan. Tambahan parti-parti ini harus memperjuangkan kebajikan penyokong mereka hasil daripada setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan dan Pontian, Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Maslan berkali-kali bercakap tentang sokongan bersyarat mereka, iaitu berkaitan isu KWSP dan moratorium.

Tengku Razaleigh Hamzah pula mengumumkan tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan melainkan setelah kerajaan menyelesaikan beberapa perkara, kerana amanah pada sumpah jawatan yang telah beliau lafazkan.

… saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan. Maka itu saya tidak dapat mengambil bahagian dlam perbahasan belanjawan ini.

Tengku Razaleigh Hamzah – 19 November 2020

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adakah PN mahu melihat UMNO sebagai kingmaker dalam menyelesaikan kemelut isu Belanjawan 2021?

Sokongan Ahli Dewan Rakyat UMNO secara en bloc adalah penting, terutamanya UMNO mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berbanding parti-parti lain yang membentuk kerajaan PN.

Jika Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan, maka ianya akan menjadi sejarah sebagai belanjawan pertama yang gagal diluluskan dalam sejarah negara. Perkara ini sudah tentu akan menjejaskan kedudukan kerajaan PN.

Apakah perkembangan landskap politik negara seterusnya?