Darurat Cara Tangguh PRK Batu Sapi, PRN Sarawak? Ini Jawapan Tok Mat

Memohon pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sahaja tidak perlu malah bukan jalan terbaik.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, umum mengetahui Barisan Nasional (BN) tidak bertanding PRK Batu Sapi dan beliau menggesa parti-parti lain juga memberikan laluan kepada Warisan bertanding di situ tanpa dicabar.

“Ini sebagai menghormati mendiang Datuk V. K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihan raya kecil diadakan waktu ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, ADUN Rantau itu berkata, jika persefahaman seumpama itu boleh diusahakan dan Warisan diberi laluan di Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional, tentunya boleh mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat.

“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya.

Mengenai PRN Sarawak, kata Mohamad yang lebih popular dengan panggilan Tok Mat, tempoh matang DUN Sarawak ialah pada 7 Jun 2021.

Kataya, jika Kerajaan Negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021  iaitu dalam bulan Ogos tahun yang sama.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang,” katanya.

Mohamad berkata, beliau sangat yakin kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak untuk membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak.

Katanya, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR) yang bebas dan mampu mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekali pun sesuai dengan keperluan Perlembagaan.

“Adalah untuk SPR membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihan raya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik. SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getira sekali pun.

Justeru itu, katanya, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya berkata, PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak hanya boleh ditangguhkan jika darurat diisytiharkan.

Cadangan Kabinet Perikatan Nasional supaya darurat diisytiharkan telah dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun selepas bermesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, baginda memutuskan tiada keperlua untuk berbuat demikian. —{MalaysiaGazette]