Tunggu Belanjawan 2021, Mungkin Tidak Perlu Keluarkan Wang KWSP – PM

Baca versi Jawi di sini.

Kerajaan sedia mengkaji cadangan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada Akaun 1 untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah dibincangkan beliau bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tegasnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Muhyiddin akui perlu diimbangi keperluan jangka pendek individu yang terjejas dengan masa hadapan jangka panjang dan keperluan simpanan persaraan, lapor Awani.

“Kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan bagaimana kita dapat membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sama ada mereka ini boleh kita benarkan untuk keluar peruntukan dari akaun satu – yang biasanya kita tahu ia adalah untuk jangka masa panjang apabila umur mereka sudah tua atau apabila tidak ada duit.

“Jadi reaksi awal kita adalah seboleh mungkin, jangan sentuh wang itu.

“Ya, mereka menghadapi keadaan yang amat susah, sebab itu belanjawan nanti kalau ditunggu mungkin ada pemberian dan bantuan yang kerajaan sampaikan.

“Kalau itu dianggap memadai, tidak perlu keluarkan wang yang telah disimpan (akaun 1 KWSP) itu,” katanya pada sesi Wawancara Khas Pra-Belanjawan 2021 bersama media secara maya hari ini.

Jelasnya, kerajaan sudah melaksanakan kelonggaran berhubung KWSP, khususnya membenarkan caruman pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus dan juga i-Lestari yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 sebanyak RM6,000 seorang.

“Hampir 70 peratus daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja 11 peratus ke 7 peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) sebanyak hampir RM700 juta sebulan.

“Pada masa yang sama, lebih daripada 30 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM5,000 dan dengan itu, simpanan KWSP tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum KWSP,” katanya. –{Malaysia Gazette]

توڠݢو بلنجاون 2021⹁ موڠکين تيدق ڤرلو کلوارکن واڠ ک.و.س.ڤ. – ڤردان منتري

Baca versi Rumi di sini.

کراجاءن سديا مڠکاجي چدڠن ممبنرکن ڤڠلوارن کوڤولن واڠ سيمڤانن ڤکرجا ﴿ک.و.س.ڤ.﴾ درڤد اکاءون 1 اونتوق ممبانتو رعيت يڠ مڠهادڤي کسوسهن دان يڠ بنر٢ ممرلوکن.

ڤردان منتري⹁ تن سري محى الدين ياسين برکات⹁ ڤرکارا ايت تله دبينچڠکن بلياو برسام منتري کواڠن⹁ تڠکو داتوء سري ظفرل تڠکو عبد العزيز.

تݢسڽ⹁ سباݢاي کراجاءن يڠ برتاڠݢوڠجاوب⹁ محى الدين اکوءي ڤرلو دأيمباڠي کڤرلوان جڠک ڤينديق اينديۏيدو يڠ ترججس دڠن ماس هادڤن جڠک ڤنجاڠدان کڤرلوان سيمڤانن ڤرساراءن⹁ لاڤور اواني.

“کيت ڤد داسرڽ برستوجو دان برسديا اونتوق مڠکاجي چدڠن باݢايمان کيتداڤت ممبنتو رعيت يڠ مڠهادڤي کسوسهن دان مريک يڠ بنر٢ ممرلوکن.

“سام اد مريک اين بوليه کيت بنرکن اونتوق کلوار ڤراونتوقن دري اکاءون ساتو – يڠ بياساڽ کيت تاهي اي اداله اونتوق جڠک ماس ڤنجڠ اڤابيلا عمور مريک سوده توا اتاو اڤابيلا تيدق اد دويت.

“جادي رياکسي اول کيت اداله سبوليه موڠکين⹁ جڠن سنتوه واڠ ايت.

“ي⹁ مريک مڠهادڤي کأداءن يڠ امت سوسه⹁ سبب ايت بلنجاون ننتي کالاو دتوڠو موڠکين اد ڤمبرين دان بنتوان يڠ کراجاءن سمڤايکن.

“کالاو ايت دأڠݢڤ مماداءي⹁ تيدق ڤرلو کلوارکن واڠ يڠ تله دسيمڤن ﴿اکاءون ک.و.س.ڤ.﴾ ايت⹁” کاتڽ ڤد سيسي واونچارا خاص ڤرابلنجاون 2021 برسام ميديا سچارا ماي هاري اين.

جلسڽ⹁ کراجاءن سوده ملقسانکن کلوڠݢارن برهوبوڠ ک.و.س.ڤ.⹁ خصوصڽ ممبنتکن چارومن ڤکرجا دکورڠکن درڤد 11 ڤراتوس کڤد 7 ڤراتوس دان جوݢ اءي-ليستاري يڠ ممبنرکن ڤڠلوارن درڤد اکاءون 2 سباڽق 6,000 ريڠݢيت سأورڠ.

“همڤير 70 ڤراتوس درڤد اهلي ک.و.س.ڤ. مميليه اونتوق مڠورڠکن چارومن ڤکرجا 11 ڤراتوس ک7 ڤراتوس يڠ کيني مڽومبڠ کڤد منيڠکتکن ڤنداڤتن بوليه ݢون (disposable income) سباڽق همڤير 700 جوتا ريڠݢيت سبولن.

ڤد ماس يڠ سام⹁ لبيه درڤد 30 ڤراتوس اهلي ک.و.س.ڤ. ممڤوڽاءي سيمڤنن ک.و.س.ڤ. کورڠ درڤد 5,000 ريڠݢيت دان دڠن ايت⹁ سيمڤنن ک.و.س.ڤ. تيدق سمستيڽ داڤت مناڠني ماسئله اليرن توناي ڤنچاروم ک.و.س.ڤ.⹁” کاتڽ.