بلنجاون: سڤيکرستوجو دسقن اهلي ڤرليمن کراجاءن⹁ ڤمبڠکڠ سوڤاي برسيدڠ ڤنوه

Baca versi Rumi di sini.

يڠ دڤرتوا ديوان رعيت⹁ داتوء اظهر عزيزن @ هارون اخيرڽ برستوجو دڠن دسقن ماجوريتي اهلي٢ ديوان رعيت سوڤاي سموا اهلي ديوان رعيت دبنرکن براد ددالم ديوان کتيک ڤمبنتڠن بلنجاون 2021.

سبلومڽ⹁ هاڽ 80 اهلي ڤرليمن دبنرکن براد ددالم ديوان سماس ڤرسيدڠن برمولا هاري اين دسببکن ڤنولرن وابق کوۏيد-19.

ڤرکارا ترسبوت دبڠکيتکن اوليه اهلي ڤرليمن ڤورت ديکسن⹁ داتوء سري انوار ابرهيم سجوروس ستله ڤرسيدڠن ڤرليمن برمولا⹁ دان دسوکوڠ اوليه اهلي٢ ديوان رعيت دري ڤيهق کراجاءن دان ڤمبڠکڠ⹁ ترماسوق باݢن⹁ ليم ݢوان ءيڠ⹁ اراو⹁ شهيدان قاسم دان کيناباتڠن⹁ بوڠ مختر رادين.

ڤد مولاڽ⹁ داتوء اظهر تيدق ممبنرکنڽ کران ڤرکارا ترسبوت تلهڤون دڤوتوسکن ملالوءي ساتو اصول يڠ دلولوس سبلوم اين⹁ نامون اتس داسر ديموکراسي⹁ اهلي٢ ڤرليمن تله مندسق اونتق ڤرکارا ترسبوت دسيمق سمولا⹁ دان اخيرڽ داتوء اظهر برستوجو اونتوق ممبنرکن سموا اهلي ديوان رعيت اونتوق ماسوق کدالم ديوان.

Belanjawan: Speaker Setuju Desakan MP K’jaan, Pembangkang Supaya Bersidang Penuh

Baca versi Jawi di sini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya bersetuju dengan desakan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya semua Ahli Dewan Rakyat dibenarkan berada di dalam dewan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Sebelumnya, hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada di dalam dewan semasa persidangan bermula hari ini disebabkan penularan wabak Covid-19.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejurus setelah persidangan Parlimen bermula, dan disokong oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk Bagan, Lim Guan Eng, Arau, Shahidan Kassim dan Kinabatangan, Bung Moktar Radin.

Pada mulanya, Datuk Azhar tidak membenarkannya kerana perkara tersebut telahpun diputus melalui satu usul yang dilulus sebelum ini, namun atas dasar demokrasi, Ahli-ahli Parlimen telah mendesak untuk perkara tersebut disemak semula, dan akhirnya Datuk Azhar bersetuju untuk membenarkan semua Ahli Dewan Rakyat untuk masuk ke dalam dewan.