Agong Perkenan Isytihar Darurat di Batu Sapi

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati berkenaan cadangan tersebut.

Dengan pengisytiharan itu, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 yang diadakan 26 September lalu.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka berpendapat amatlah wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara. Perkenan Seri Paduka ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19,” jelas Ahmad Fadil dalam satu kenyataan di sini. –{Utusan Digital]

Mokhtar Hashim Meninggal Dunia

Bekas menteri belia dan sukan, Mokhtar Hashim yang menembak mati speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 1982, meninggal dunia.

Sinar Harian melaporkan perkara itu disahkan isteri dan anaknya.

Difahamkan, Mokhtar, 68, menghembuskan nafas terakhir pada 3.10 pagi tadi.

Pada Mac 1983, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mokhtar kerana membunuh Adun Gemencheh dan Speaker DUN Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib.

Motif pembunuhan itu ialah saingan politik.

Hukuman Mokhtar kemudiannya diubah kepada penjara seumur hidup dan dibebaskan pada 10 Julai 1991, selepas mendapat pengampunan diraja. -{Free Malaysia Today]