Politik Cantas Mencantas Dalam Kehidupan

Dalam kehidupan hari ini, nampaknya bukan hanya orang politik sahaja yang bermain politik; tetapi ianya berlaku di mana-mana sahaja.

Malah, permainan politik di luar parti politik tidak kurang hangatnya.

Ada politik pejabat, politik dalam syarikat, pertubuhan, persatuan, organisasi dan termasuk juga permainan politik dalam keluarga.

Sering kali juga timbul permainan politik kotor yang membawa kepada salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya akibat perasaan tamak, hasad dengki dan tidak amanah.

Hakikatnya, permainan politik kotor bukan hanya berlaku di dalam gelanggang politik negara, tetapi kerap berlaku di mana-mana sahaja atas tujuan tertentu.

Fitnah jahat serta mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri adalah di antara amalan-amalan keji yang akhirnya merosakkan sistem kemasyarakatan. Telunjuk lurus, kelingking berkait.

Perkara ini bukanlah perkara baharu. Malah, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dahulu pun adalah akibat pengkhianatan orang dalam yang tidak amanah dan sanggup bersekongkol dengan musuh.

Pemimpin cerminan kepada rakyat, jika pemimpin bermasalah, maka itulah gambaran keadaan masyarakatnya, baik negara, pertubuhan atau apa sahaja organisasi yang berkaitan.

Lihat gelagat sesetengah pemimpin politik ketika perbahasan di Dewan Rakyat. Ada yang tidak segan-silu menjerit-jerit, tidak menjaga adab, bercakap kasar serta menggunakan bahasa yang kurang sopan; walaupun mereka tahu bahawa rakyat sedang memerhati; dan percakapan mereka direkodkan dalam hansard.

Apakah itu sikap yang patut diteladani rakyat, khususnya generasi muda?

Ada juga pemimpin politik serta pemimpin masyarakat yang mempertikaikan undang-undang serta apa yang telah jelas digariskan di dalam Perlembagaan dengan membuat tafsiran baharu mengikut selera mereka.

Malah ada yang bersikap biadap sehingga sanggup mempertikaikan kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu, mempertikaikan kuasa eksekutif Yang DiPertuan Agong serta tiada perasaan taat setia kepada Raja dan negara.

Maka tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan rakyat yang terpengaruh sehingga bukan sahaja tidak menghormati, malah sanggup menghina Raja-Raja Melayu.

Ironinya, mereka sendiri tidak suka jika mereka dihina sebegitu atau dipersoal tindakan mereka. Mereka mahu dihormati serta dipatuhi secara mutlak.

Masyarakat yang tidak beradab dan bertindak sesuka hati mengikut nafsu akan meruntuhkan budaya dan tamadun bangsa.

Ini membawa kepada budaya anarki yang sinonim dengan sikap individuistik dan hanya mementingkan diri sendiri, ganas, cenderung memberontak serta menolak pelaksanaan undang-undang yang didakwa satu paksaan ke atas diri mereka.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Mesir dan Libya akibat pemberontakkan rakyat.

Negara mereka hancur, dan setelah mereka bergadai nyawa mengadakan revolusi, hidup mereka lebih sengsara daripada sebelumnya.

Ramai yang terpaksa menjadi pelarian untuk mencari kehidupan di negara luar.

Amat sukar untuk membina sesebuah negara namun ianya boleh dihancurkan dengan hanya sekelip mata; ibarat kata pepatah bahasa Inggeris, “Rome wasn’t built in a day, but burned in one“. Ini juga terpakai kepada sebarang organisasi dalam masyarakat.

Sukar dan menyiksakan untuk hidup dalam dunia yang tidak lagi mengenal erti kejujuran dan keikhlasan. Ramai yang ibarat menahan lukah di pergentingan.

Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah dan kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.