Terkini: UMNO Calonkan Saarani Sebagai MB Perak

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu sebulat suara mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohammad sebagai Menteri Besar Perak bagi UMNO.

“Sebulat suara,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya berhubung perkara itu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

“Ya, betullah tu,” ulangnya lagi ketika diminta mengesahkan perkara itu.

Saarani yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut hadir dalam mesyuarat itu. Antara pemimpin UMNO lain yang hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Abdul Rahman Mohamad, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Azalina Othman turut serta dalam mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam itu.

Jumaat lalu, ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya Menteri Besar dalam persidangan DUN apabila hanya mendapat 10 undi wakil rakyat daripada 48 yang menolak.

Undian itu secara tidak langsung menuntut Ahmad Faizal meletakkan jawatannya secara rasmi semalam di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Dalam DUN Perak, UMNO mempunyai kerusi paling banyak iaitu 25 kerusi diikuti DAP (16 kerusi), Parti Amanah Negara (Amanah) (lima kerusi), Bersatu (lima kerusi), PKR (tiga kerusi) dan Pas (tiga kerusi) manakala Gerakan serta Bebas masing-masing satu kerusi.

Terkini, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak menyatakan kesediaan untuk menyokong calon UMNO untuk jawatan Menteri Besar Perak yang baharu demi meneruskan khidmat untuk rakyat. – UTUSAN ONLINE