Kerajaan Bakal Kalah Undi Belanjawan Esok?

Tun Mahathir dalam satu sidang akhbar petang tadi mengatakan bahawa kerajaan mungkin akan kalah pada pengundian belanjawan esok, apabila Parlimen bersidang untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Langkah ini sangat mengejutkan di kala pemerhati politik sedang cuba merungkai teka-teki siapakah 113 pemimpin yang dikatakan menyokong Anwar Ibrahim.

“Ada kemungkinan bahawa esok, ketika mereka (Ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk usul belanjawan, ada kemungkinan kerajaan mungkin kalah.

“Jika kerajaan kalah, maka kita tidak mempunyai kerajaan. Maka ada keperluan untuk kita menubuh satu kerajaan. Namun apabila kita mahu menubuh satu kerajaan, kita berharap mereka memilih satu kerajaan yang tekad pada berkhidmat kepada negara dan rakyatnya.”

Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Disember 2020

Sila baca: Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Setakat ini, blok Anwar Ibrahim masih belum berjaya mengalahkan blok kerajaan dalam undian Belanjawan 2021.

Untuk rekod, langkah Anwar tidak mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat Parti Warisan Sabah yang berjumlah seramai lapan orang.

MP Warisan tidak berada di Parlimen untuk undian peringkat jawatankuasa belanjawan sebagai menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Anwar.

Sila baca: Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Persoalannya:

  • Adakah MP Parti Warisan yang selama ini condong ke arah kepimpinan Tun Mahathir akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok untuk menyokong Tun menolak Belanjawan 2021?
  • Apakah benar dakwaan bahawa Anwar telah mendapat 113 sokongan daripada ahli-ahli Parlimen?

Perkara ini menambah kehangatan suhu politik negara kerana kini kita melihat sekurang-kurangnya 3 blok yang berlainan dalam percaturan politik negara.

Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO telah banyak bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesetengah perkara di dalam belanjawan.

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adalah jelas bahawa hubungan UMNO (parti yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen di dalam kerajaan persekutuan) bersama PPBM adalah tidak begitu akrab; dan keadaan ini bertambah buruk apabila PAS gagal bersikap neutral.

Sejak krisis politik di Perak, perbagai spekulasi telah dibuat termasuk kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.

Pada ketika itu, ramai yang melihat bahawa UMNO terpaksa mendapatkan sokongan blok Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak. Nyata andaian itu tidak benar.

Sila baca: Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Apakah yang akan akan berlaku esok?

Yang nyata adalah, jika benar kerajaan kalah pada pengundian untuk bacaan kali ketiga belanjawan esok, jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih berliku.

Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir hari ini telah membuat satu kenyataan bersama mengenai situasi politik tempatan kini.

Kedua-dua mereka percaya bahawa kerajaan kini tidak mempunyai keabsahan, menyebabkan ketidakstabilan negara dari segi politik dan pentadbiran, mengakibatkan keruntuhan ekonomi.

Tengku Razaleigh menegaskan bahawa kerajaan perlu membantu rakyat yang sedang menghadapi kesusahan akibat Covid-19, kerana jika tidak ia akan menjejaskan masa depan generasi muda-mudi negara.

Tun Mahathir mahukan negara kembali ke zaman kegemilangannya seperti satu masa dahulu, kerana Malaysia telah jauh ketinggalan di belakang berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Menurutnya, kerajaan mungkin akan kalah dalam pengundian belanjawan esok ketika bacaan kali ketiganya, dan itu akan menjadikan keadaan lebih teruk daripada sekarang.

Tengku Razaleigh turut mengatakan bahawa kerajaan bukan sahaja perlu membantu rakyat, tetapi mereka perlu membantu rakyat sehinggakan mereka dapat berdiri dengan sendiri.

Kerisauan terbesar mereka adalah bagaimana kebanyakan ahli politik terlalu gilakan kuasa dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

Apabila ditanya jika beliau yakin akan mendapat sokongan Ahli Parlimen UMNO, Tengku Razaleigh hanya menjawab, “jawapannya, mungkin.”

Menurut Tun Mahathir, mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, kerana mereka hanya mahu bersedia sekiranya kerajaan kini jatuh, dan tidak mengejarkan jawatan tersebut.

Tengku Razaleigh mengatakan bahawa beliau hanya berkerjasama untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah sah, kerana kerajaan kini adalah tidak sah dan Perdana Menterinya juga tidak sah.

Tun Mahathir juga menegaskan bahawa dakwaan Anwar Ibrahim tentang 113 akuan bersumpah yang beliau punyai, tidak mempunyai impak selagi tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan di Parlimen.

Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan mengundi untuk belanjawan ketika bacaan kali ketiga esok.