Harmonikah Negara Tanpa Kontrak Sosial?

Usaha memupuk perpaduan kaum di Malaysia harus dilakukan secara holistik, bermula dengan memahami sejarah negara.

Amat penting bagi rakyat menghayati peranan Raja-Raja Melayu dalam proses pembentukan negara serta menghormati kedudukan Institusi Diraja.

Sebarang gerakan untuk memperkecilkan faktor-faktor penting ini akan mengundang perpecahan kaum yang lebih buruk.

Ini adalah kerana kunci kestabilan negara berada di tangan Institusi Raja-Raja Melayu yang berdaulat.

Tragedi 13 Mei 1969 telah mencatatkan satu titik hitam dalam sejarah negara. Mujurlah tindakan tuntas kerajaan berjaya menghalang rusuhan kaum itu daripada merebak.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula sahabat sekawan; perselisihan kecil dalam kalangan rakyat adalah lumrah namun ianya boleh menjadi api dalam sekam jika tidak dikawal.

Semangat kekitaan semakin luntur diganti dengan sikap individualistik yang kian menular dalam kalangan golongan muda.

Penyokong hak kebebasan pula membantah prinsip-prinsip asas serta undang-undang negara yang dirasakan mengongkong atau bertentangan dengan selera mereka.

Ramai yang menganggap pemahaman tentang prinsip asas kenegaraan sebagai perkara remeh. Tidak kurang juga yang meremehkan Perlembagaan Persekutuan; padahal itulah tiang seri negara.

Berapa ramaikah ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk berbincang tentang hal-hal sejarah dan kenegaraan bersama anak-anak mereka?

Usaha ke arah menyatu padukan rakyat harus berteraskan Kontrak Sosial dan Perlembagaan Persekutuan, kerana di situlah letaknya kunci perpaduan kaum.

Sikap tidak peduli serta tiada kesedaran dalam kalangan rakyat menyebabkan perkara penting sebegini diambil mudah.

Akibat buta sejarah, ada dalam kalangan rakyat yang:

  • Menafikan kewujudan Kontrak Sosial.
  • Mendakwa Kontrak Sosial adalah satu perjanjian lapuk yang sudah tidak relevan lagi.
  • Tidak pernah mendengar istilah Kontrak Sosial.

Tidak kurang juga yang mempertikaikan apa yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, contohnya mahukan Perkara 153 dihapuskan.

Kealpaan orang Melayu tentang sejarah negara bangsa telah mengakibatkan kita hilang jati diri bangsa lantas diambil kesempatan oleh mereka yang menentang asas kenegaraan Malaysia.

Sejarah mencatatkan bahawa menjelang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, imigran-imigran Cina dan India yang berada di Tanah Melayu bukan rakyat Tanah Melayu. Namun mereka diberi peluang untuk menjadi warganegara dengan kemurahan hati Raja-Raja Melayu serta rakyat Raja.

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Di sinilah bermulanya Kontrak Sosial serta peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan untuk melindungi beberapa perkara penting termasuk agama Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan rakyat raja iaitu orang Melayu.

Semua rakyat Malaysia mempunyai hak masing-masing yang harus dihormati serta tidak boleh diganggu-gugat, dan tidak ada sesiapapun yang berhak mempersoalkan hak orang lain yang sah di sisi Perlembagaan.

Kaum Melayu dan Bumiputera ada hak mereka, begitu juga kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang digariskan dalam Perkara 153 Perlembagaan.

Menuduh kaum Melayu sebagai pendatang adalah sikap yang biadab kerana kaum Melayu adalah rakyat Raja. Justeru, akibat dibakar nafsu amarah, sesetengah orang Melayu bertindak menggelar mereka yang menuduh itu kaum pendatang.

Menggelar warganegara sebagai kaum pendatang serta menghalau mereka balik ke negara asal adalah salah kerana setiap rakyat Malaysia mempunyai hak sebagai warganegara dan bukan lagi pendatang.

Jangan bermain api perkauman dengan mempersoalkan serta mencabar hak orang lain.

Sesiapa yang mempersoalkan kewarganegaraan mana-mana pihak boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan.

Tikam-menikam bukanlah cara kita, maka janganlah cemarkan nilai dan budaya kita; dan jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Mereka yang menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat layak dilabelkan sebagai musuh negara kerana pertelingkahan di antara rakyat akan membawa kemusnahan kepada negara bangsa.

Bagaimana hendak kita merentasi jambatan emas, jika kita masing-masing gagal bekerjasama serta terlalu sibuk menolak jatuh rakan sendiri ke dalam jurang sedangkan kita sepatutnya bersatu membina jambatan emas itu.

Hayatilah maksud peribahasa Melayu, tua-tua penyakit, muda ubat; sesudah tersepit baru tahu akan sifat.