Kekuatan dan Kelemahan Remaja: Dari Kaca Mata Anak Muda

Lihatlah di sekeliling kita, apakah kita telah berjaya membentuk generasi muda yang cemerlang akhlak dan sahsiahnya dan bersedia dalam menghadapi krisis kehidupan?

Pelbagai masalah dan persepsi berkaitan golongan remaja sering dibicarakan dan dalam mencari jawapannya ada pula yang saling menuding jari mencari siapakah yang bersalah atau patut dipersalahkan.

Hari ini statistik menunjukkan semakin ramai para remaja yang telah terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan substan, masalah hutang, jenayah dan sebagainya yang mengakibatkan masa hadapan mereka terjejas.

Ada yang mendakwa masalah ini berpunca daripada sikap remaja itu sendiri yang dikatakan kurang matang, beremosi, suka membantah, tidak berfikir panjang dan sering memberontak.

Remaja juga dilihat senang terpengaruh dengan suasana sekeliling, mudah diperalatkan dan ada yang bersikap suka mengambil mudah akan segala perkara termasuk hal-hal yang penting, contohnya soal pendidikan rohani dan akademik mereka.

Jika benar kenyataan-kenyataan di atas, maka tindakan tuntas harus diambil oleh ibu bapa, masyarakat dan pihak berwajib untuk memperbaiki keadaan ini supaya golongan remaja dapat diperkasakan.

Namun, kita juga melihat ramai remaja yang cekal dalam menghadapi dugaan hidup, tidak mudah berputus asa serta sentiasa berusaha untuk berjaya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi saya, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak secara holistik sejak mereka dilahirkan dan menyediakan persekitaran yang kondusif adalah amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak mereka.

Pendidikan agama dan kerohanian adalah amat penting dan dapat menghindari para remaja daripada terjebak dalam budaya hedonisme yang penuh dengan kepura-puraan, melekakan serta boleh merosakkan sahsiah diri mereka.

Remaja harus dididik supaya bersikap positif dalam menghadapi rintangan dan berusaha menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Melarikan diri daripada masalah yang dihadapi hanya akan mengundang pelbagai masalah lain yang lebih besar.

Dalam menghadapi musibah, kekuatan rohani adalah amat penting dan dapat mengelakkan remaja daripada masalah kemurungan atau mencari alternatif yang merosakkan seperti rokok, dadah, alkohol dan sebagainya

Kematian ahli keluarga terdekat, khasnya ibu bapa adalah satu kehilangan yang besar dan merupakan peristiwa yang traumatik kepada remaja; apalah lagi jika mereka terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai masalah lain selepas itu.

Masalah kewangan yang menyusul akan memburukkan lagi keadaan; malah ada yang kehilangan tempat tinggal dan menghadapi pelbagai tekanan setelah ayah mereka meninggal dunia.

Ada dalam kalangan remaja yang tidak dapat menerima keadaan hidup yang berubah secara begitu drastik, lantas gagal untuk menyesuaikan diri dalam suasana yang baharu yang seba kekurangan daripada suasana yang biasa mereka nikmati sejak kecil.

Hal ini akan mengundang berbagai masalah serius, apalagi jika tiada sistem sokongan yang baik yang boleh memberikan remaja terbabit kekuatan mental serta membantu mereka mencari jalan keluar yang terbaik.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, walau seberat mana pun musibah yang melanda, para remaja harus kuat dan cekal dalam meneruskan kehidupan di samping bertawakal kepada Allah.

Penularan pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan kita dalam sekelip mata. Para remaja yang akan menduduki peperiksaan-peperiksaan penting terpaksa berhadapan dengan situasi yang sukar kerana cara pembelajaran tiba-tiba telah berubah setelah sekolah terpaksa ditutup.

Kita tiada pilihan lain dan terpaksa menghadapinya dengan bijaksana. Walaupun sukar, para remaja haruslah bersikap terbuka dan mampu mengadaptasikan diri kepada situasi baharu di samping kekal fokus untuk belajar.

Ramai dalam kalangan remaja yang merasa tertekan apabila tidak dapat keluar bersama teman-teman. Ini disebabkan kerana kebiasaan bersantai bersama teman-teman sudah menjadi seolah-olah satu keperluan di dalam kehidupan mereka.

Walhal alangkah baiknya jika mereka melihat perkara ini secara positif dan menggunakan peluang ini untuk merapatkan hubungan bersama keluarga di samping memberi lebih tumpuan kepada pelajaran.

Dalam menghadapi masa yang sukar ini, terdapat keluarga yang hilang mata pencarian mereka dan menyebabkan ramai remaja yang terpaksa berhadapan dengan keadaan yang amat sukar dalam hanya sekelip mata. Keadaan ini menjadi bertambah sukar jika selama ini mereka sangat taasub dengan budaya materialisme.

Kekuatan mental remaja lahir daripada pemikiran yang yang positif. Carilah kebaikan daripada musibah yang melanda kita, mudah-mudahan kita akan lebih cekal pada hari-hari yang mendatang.

Musibah sememangnya tidak dapat diduga, maka ibu bapa sepatutnya berbincang mengenai hal ini sejak awal agar anak-anak mereka lebih bersedia dari segi mental apabila hal yang tidak diingini berlaku.

Dalam masa menghadapi situasi sebegini, ibu bapa sepatutnya berterus terang dengan anak-anak mereka tentang keadaan sebenar yang mereka hadapi. Hal ini akan memudahkan anak-anak memahami apa yang berlaku dan menolong mereka menerima kenyataan.

Kekuatan dan ketabahan ibu bapa akan membakar semangat para remaja untuk menjadi insan yang lebih cekal. Peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka adalah sangat penting.

Bimbingan dan sokongan yang berterusan daripada ibu bapa akan menolong para remaja menjadi lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan. Proses pemerkasaan remaja haruslah bermula dari rumah dan ianya memerlukan komitmen yang tinggi dan usaha yang berterusan agar penerapan nilai-nilai ini dapat diterapkan dengan lebih berkesan.