Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Seronok Sangat Dapat ‘Buluh’

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Seronok Sangat Dapat ‘Buluh’” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan saya boleh dibaca di akhbar Utusan Malaysia hari ini, pada muka surat 16, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Sentiasa Positif Walau Sesukar Mana

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Sentiasa Positif Walau Sesukar Mana” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia pada muka surat 33 hari ini, serta di Utusan Digital.

Calon SPM Positif Covid-19, Pelajar MRSM Lipis Dikuarantin

Kumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan dikuarantin sejak semalam selepas seorang calon didapati positif COVID-19.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki ditempatkan di asrama.

“Pemindahan ke I-KPKT dilakukan untuk keselamatan selepas ada kes positif. Ia juga melihat situasi yang mana daripada 20 orang yang bergejala (bilangannya) meningkat kepada 30 orang dalam tempoh 10 hari.

“Setakat pagi ini, terdapat tiga lagi pelajar yang dikuarantin di I-KPKT positif COVID-19 dan dihantar ke hospital,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemindahan pelajar perempuan ke I-KPKT dilakukan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, pemindahan pelajar terbabit dengan menaiki bas turut diiringi anggota polis bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.

“Terdapat juga tiga guru pengiring dibawa bagi menjaga kebajikan pelajar sepanjang ditempatkan di pusat kuarantin,” ujarnya. -{Astro Awani]

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Risau Selipar Nenek Hanyut

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Risau Selipar Nenek Hanyut” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan saya boleh dibaca di akhbar Utusan Malaysia hari ini, pada muka surat 16, serta di Utusan Digital melalui pautan di bawah.

Kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang terkorban akibat bencana banjir yang melanda negara ini. Semoga Allah S.W.T. memelihara kita semua dari segala musibah.

Tun Salleh Abas Meninggal Dunia

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada usia 91 tahun hari ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 3.20 pagi.

Sebelum ini Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad disahkan positif Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed dalam kenyataannya sebelum ini mengesahkan Mohamed Salleh dirawat di ICU HSNZ setelah disahkan dijangkiti Covid-19.

“Pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999. -{Kosmo! Digital]

Agong Perkenan Isytihar Darurat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan pada kenyataan hari ini.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.

Berikut kenyataan penuh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini:

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin di Istana Negara, semalam (11 Januari, 2021).

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

Setelah memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi bin Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.

Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

Menurut statistik, lima belas hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka,

Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal

diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan. -{Malaysiakini]

PKP di 8 Negeri & Wilayah Persekutuan Mulai 13 Januari

Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini (13 Jan) dan akan berlangsung sehingga 26 Jan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Jelas Muhyiddin, perintah itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

Peringkat pertama, PKP dikenakan ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Peringkat kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Peringkat ketiga pula, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak hari ini meletakkan Kuching, Sibu dan Miri di bawah PKPB.Rentas daerah, negeri dilarang

Muhyiddin turut mengumumkan bahawa semua perjalanan rentas daerah dan negeri di seluruh negara tidak dibenarkan.

Bagi peringkat pertama, yang melibatkan lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, hanya perniagaan dalam senarai sektor ekonomi penting yang akan dibenarkan beroperasi.

“Bagi sektor ekonomi, kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi,” kata Muhyiddin.

Sektor-sektor ini dibenarkan beroperasi kerana ia diperlukan untuk memastikan rantaian bekalan barang keperluan rakyat, katanya.

Namun, tambahnya, hanya 30 peratus kakitangan pentadbiran sektor ini akan dibenarkan beroperasi dari pejabat.

Dia juga menggesa mereka yang diizinkan untuk terus bekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dia menambah bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memberikan perincian lebih lanjut mengenai jenis perkhidmatan yang dianggap sebagai sektor ekonomi penting.

Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

Sementara bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000. -{Malaysiakini]

MP Machang Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan, Dewan Rakyat Kini 50:50

Jumlah ahli parlimen yang berada di belakang Muhyiddin Yassin berkurangan seorang lagi hari ini apabila Pengerusi Umno Kelantan menarik balik sokongannya kepada presiden Bersatu itu.

Pendirian Ahmad Jazlan Yaakub itu dibuat pada sidang media yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

“Maka dengan ini saya mengumumkan saya menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang juga anggota parlimen Machang.

Pengumuman Ahmad Jazlan hari ini meletakkan kerajaan PN kini hanya berdiri dengan sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi. Bagaimanapun dua daripadanya kosong disebabkan kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sebelum ini seorang lagi ahli parlimen dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin namun belum pernah menzahirkan tentangan terhadap kerajaan melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.

Meskipun hanya ditunjangi 110 ahi parlimen, kerajaan PN masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

Blok utama pembangkang – Pakatan Harapan (PH) – hanya mempunyai 91 ahli parlimen, manakala 17 orang lagi tidak menyertai mereka.

Ahmad Jazlan sebelum ini dilantik kerajaan PN untuk menjadi pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) namun dia meletakkan jawatan itu lima hari lalu.

Pun begitu Ahmad Jazlan berkata walaupun dia tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan PN, kerajaan sedia ada masih bertahan kerana ia masih memiliki kelebihan.

“Saya sedar – sekali lagi saya sebut – apa yang saya buat ini tak menggugat kedudukan kerajaan, tak runtuh kerajaan dan takkan ada PRU kerana PN masih ada 110 sokongan dan pembangkang 108.

“Kerajaan masih ada majoriti, cuma ia berkurangan saja,” katanya.

Ahmad Jazlan juga menambah dia bukanlah orang pertama yang mengambil langkah menarik balik sokongan kepada PN itu kerana ia sudah dilakukan oleh ahli parlimen lain sebelum ini iaitu Tengku Razaleigh.

“Saya ingin tegaskan, saya orang kedua (menarik balik sokongan), bukan yang pertama,” katanya. -{Malaysiakini]

Pesawat Sriwijaya Air Jakarta-Pontianak Terhempas di Laut Jawa

Pesawat Penerbangan SJY182 Sriwijaya Air yang dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak petang tadi, disahkan terhempas di Laut Jawa.

Menurut laporan Flightradar24, pesawat tersebut menjunam sebanyak 10,000 kaki ke bawah dalam masa kurang dari satu minit, sebelum terputus hubungan empat minit setelah berlepas.

Kementerian Perhubungan Indonesia melaporkan bahawa mereka telah menemui ‘serpihan daging‘ dipercayai daging manusia di kawasan pesawat itu dipercayai terhempas.

Memetik laporan Kompas, kapten kapal ronda Kementerian Perhubungan, Eko, mengatakan bahawa beliau juga telah menjumpai bahan bakar pesawat di lokasi kejadian, dan bahawa nelayan berhampiran telah melaporkan kedengaran bunyi seakan-akan petir di kawasan itu.

Berdasarkan data radar, pesawat Boeing 737-500 itu telah membelok hampir 90 darjah ke kanan, sebelum terus turun pada kelajuan yang tinggi.

Penerbangan SJY182 itu berlepas dari Lapangan Udara Soekarno–Hatta, Jakarta pada jam 1.25 petang waktu tempatan dan dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak pada jam 2.50 petang waktu tempatan.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Hargai Sikap Tolong-menolong

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Hargai Sikap Tolong-menolong” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia pada muka surat 16 hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.