Kerat Empat Pun Ambo Takkan Masuk Parti Tun M, Rela Mati Dalam UMNO – Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air yang diterajui bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Tegasnya, perjuangan bersama UMNO sudah sebati dengan jiwanya sejak sekian lama dan beliau tidak akan sesekali meninggalkan parti itu hanya kerana pernah berbeza pendapat dengan pimpinan parti.

Sila baca: Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li

“Kerat empat pun ambo takkan masuk parti Dr. Mahathir. Ambo rela mati dalam UMNO.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Tengku Razaleigh berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati hari ini.

Kenyataannya itu adalah reaksi terhadap pelbagai desakan supaya beliau keluar daripada UMNO berikutan sidang medianya baru-baru ini yang dilihat sebagai ‘sekapal’ dengan Dr. Mahathir.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Dalam sidang akhbar selepas itu, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO menjelaskan, beliau bersama Tun Mahathir kerana ingin memperjuangkan pentingnya keabsahan kerajaan ditentukan.

Katanya, tindakan beliau itu bukan satu kesalahan kerana tidak bertentangan dengan dasar UMNO.

Sila baca: Buang Pemimpin UMNO Yang Mendahulukan Kepentingan Parti Lain – Ku Li

“Saya ahli UMNO. Sebagai seorang ahli politik takkan saya semudah itu nak tukar parti, walaupun saya ini kenalan baik Dr. Mahathir. Lagi pun dia rapat dengan saya dari dulu lagi.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak pernah ada agenda lain kecuali benar-benar serius mahu membantu rakyat  ketika keadaan politik negara tidak stabil dan masalah ekonomi berpanjangan. 

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

“Pelabur luar tidak datang ke negara kita untuk melabur kerana tidak yakin kepada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh yakin UMNO mampu bergerak sendiri tanpa perlu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti lain terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sila baca: Kebangkitan Ku Li: Jawapan Kepada Krisis Politik Negara?

“UMNO dah ada BN, ada Muafakat Nasional, kenapa nak kena masuk sana lagi? Di Sabah baru-baru ini pun ada gagasan. Gagasan jaga pagar ke apa? Banyak sangat nama sekarang.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021