Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Akar umbi UMNO telah bersuara menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), serta mendesak UMNO menarik semula sokongan terhadap Perikatan Nasional jika Pilihan Raya tidak dapat diadakan dalam suku pertama 2021.

Di dalam sebuah usul hasil daripada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang hari ini, mereka turut mahukan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional diperkukuhkan, dan menambah bahawa kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai dua tahun lepas.

Berikut merupakan usul mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang:


Mensyukuri, Bahawa UMNO dan BARISAN NASIONAL telah berperanan besar menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan telah menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga Piliharaya Umum 15 demi rakyat;

Mengakui, Bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk tersebut telah menafikan Hak-Hak dan Suara UMNO dan BN dalam Kerajaan Hari ini.

Menginsafi, bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti.

Maka, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang

Membuat Ketetapan Seperti Berikut :-

PERTAMA: Menolak sebarang kerjasama dengan PPBM berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat Cawangan.

KEDUA: Mencadangkan supaya PRU diadakan dalam Suku Pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat dan sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka Ahli Parlimen UMNO mestilah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

KETIGA: Mendesak UMNO bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi Parlimen dan Negeri yang ditandingi dalam PRU ke-14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

KEEMPAT: Mencadangkan supaya UMNO Bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

KELIMA: Mengukuhkan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui pengukuhan Muafakat Nasional. Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.