MP Machang Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan, Dewan Rakyat Kini 50:50

Jumlah ahli parlimen yang berada di belakang Muhyiddin Yassin berkurangan seorang lagi hari ini apabila Pengerusi Umno Kelantan menarik balik sokongannya kepada presiden Bersatu itu.

Pendirian Ahmad Jazlan Yaakub itu dibuat pada sidang media yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

“Maka dengan ini saya mengumumkan saya menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang juga anggota parlimen Machang.

Pengumuman Ahmad Jazlan hari ini meletakkan kerajaan PN kini hanya berdiri dengan sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi. Bagaimanapun dua daripadanya kosong disebabkan kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sebelum ini seorang lagi ahli parlimen dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin namun belum pernah menzahirkan tentangan terhadap kerajaan melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.

Meskipun hanya ditunjangi 110 ahi parlimen, kerajaan PN masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

Blok utama pembangkang – Pakatan Harapan (PH) – hanya mempunyai 91 ahli parlimen, manakala 17 orang lagi tidak menyertai mereka.

Ahmad Jazlan sebelum ini dilantik kerajaan PN untuk menjadi pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) namun dia meletakkan jawatan itu lima hari lalu.

Pun begitu Ahmad Jazlan berkata walaupun dia tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan PN, kerajaan sedia ada masih bertahan kerana ia masih memiliki kelebihan.

“Saya sedar – sekali lagi saya sebut – apa yang saya buat ini tak menggugat kedudukan kerajaan, tak runtuh kerajaan dan takkan ada PRU kerana PN masih ada 110 sokongan dan pembangkang 108.

“Kerajaan masih ada majoriti, cuma ia berkurangan saja,” katanya.

Ahmad Jazlan juga menambah dia bukanlah orang pertama yang mengambil langkah menarik balik sokongan kepada PN itu kerana ia sudah dilakukan oleh ahli parlimen lain sebelum ini iaitu Tengku Razaleigh.

“Saya ingin tegaskan, saya orang kedua (menarik balik sokongan), bukan yang pertama,” katanya. -{Malaysiakini]

Pesawat Sriwijaya Air Jakarta-Pontianak Terhempas di Laut Jawa

Pesawat Penerbangan SJY182 Sriwijaya Air yang dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak petang tadi, disahkan terhempas di Laut Jawa.

Menurut laporan Flightradar24, pesawat tersebut menjunam sebanyak 10,000 kaki ke bawah dalam masa kurang dari satu minit, sebelum terputus hubungan empat minit setelah berlepas.

Kementerian Perhubungan Indonesia melaporkan bahawa mereka telah menemui ‘serpihan daging‘ dipercayai daging manusia di kawasan pesawat itu dipercayai terhempas.

Memetik laporan Kompas, kapten kapal ronda Kementerian Perhubungan, Eko, mengatakan bahawa beliau juga telah menjumpai bahan bakar pesawat di lokasi kejadian, dan bahawa nelayan berhampiran telah melaporkan kedengaran bunyi seakan-akan petir di kawasan itu.

Berdasarkan data radar, pesawat Boeing 737-500 itu telah membelok hampir 90 darjah ke kanan, sebelum terus turun pada kelajuan yang tinggi.

Penerbangan SJY182 itu berlepas dari Lapangan Udara Soekarno–Hatta, Jakarta pada jam 1.25 petang waktu tempatan dan dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak pada jam 2.50 petang waktu tempatan.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Hargai Sikap Tolong-menolong

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Hargai Sikap Tolong-menolong” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia pada muka surat 16 hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.