Sultan Selangor Bimbang Gelombang Baru Covid-19 Jika Ramai Tidak Patuh SOP

Sultan Selangor bimbang kealpaan orang ramai terhadap ancaman Covid-19 apabila ramai tidak lagi mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan mengundang gelombang pandemik baru.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, ramai orang tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan seperti berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.

“Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Selangor menyeru rakyat terus mengamalkan disiplin tinggi dalam berdepan Covid-19, termasuk tidak keluar ke tempat awam jika tidak sihat.

“Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Sultan Selangor berkata, selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, rakyat perlu mematuhi SOP walaupun banyak kelonggaran diberikan sepanjang PKPP. -{Free Malaysia Today]

Pelajar Tingkatan 5 dan 6 Mula Sekolah 24 Jun Ini

Sesi persekolahan bakal bermula pada 24 Jun bagi pelajar kelas peperiksaan awam – tingkatan lima dan tingkatan enam.

Sila tonton: Rakaman Penuh Sidang Media Khas Mengenai Pembukaan Semula Sekolah – 10/06/2020

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“KPM tetapkan bahawa tarikh buka sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Peperiksaan Antarabangsa adalah pada hari Rabu 24 Jun 2020,” katanya dalam satu sidang media khas secara langsung hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula secara berperingkat pada tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini. -{Malaysiakini]

Rakaman Penuh Sidang Media Khas Mengenai Pembukaan Semula Sekolah – 10/06/2020

Sesi Perutusan Khas

Sesi Soal Jawab

Video ihsan Radio Televisyen Malaysia (RTM)

PKPB Dilanjutkan Sehingga 9 Jun

Versi Jawi akan menyusul.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya.

“Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.

“Justeru, atas nasihat KKM dan MKN, saya ingin mengumumkan PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Tambah Muhyiddin, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. -{Malaysiakini]

Ku Li: Menurut Syariah, Fikir Hendak Kenakan Faedah Pun Salah, Apatah Melaksanakan

Baca versi Jawi di sini.

Tokoh kewangan negara, Tengku Razaleigh Hamzah jarang bersuara melainkan jika ianya menyentuh isu yang amat penting.

Laporan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah oleh Free Malaysia Today (FMT) bahawa, “Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil pendirian yang memihak kepada peminjam, di sebalik kontroversi akibat kekeliruan mengenai moratorium pinjaman bank baru-baru ini,” telah membuat saya terfikir tentang beberapa persoalan.

Sepatutnya sebagai sebuah badan penyelia kewangan, BNM, di waktu sebegini, perlu berada di sisi peminjam.

Tengku Razaleigh Hamzah -FMT (Sektor bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li)

Ini ekoran pengumuman BNM dan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) mengenai tawaran moratorium bagi pinjaman sewa beli, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat berbeza daripada apa yang difahami oleh rakyat dan amat mengecewakan rakyat marhaen.

“Apalah sangat jumlah pendapatan beberapa bulan yang hilang daripada faedah pinjaman sewa beli yang tidak kemas ini? Bertimbang rasalah,”

Tengku Razaleigh Hamzah -FMT (Sektor bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li)

Menurut FMT lagi, BNM bagaimanapun menafikan pernah berkata faedah akan dilupuskan, sebaliknya kesal timbul kekeliruan yang “mungkin disebabkan ilustrasi pengiraan” yang ditunjukkan pada versi awal soalan lazim.

Tengku Razaleigh bagaimanapun berkata, adalah jelas apa yang disasarkan moratorium.

Tengku Razaleigh juga memberi kenyataan yang tegas berkenaan isu yang melibatkan hukum Syariah dalam sistem kewangan Islam:

“Kalau diberi ‘moratorium’, (ia) bererti, mesti dikecualikan ‘penalti, faedah dan sebagainya’ dan bagi institusi ‘Islamik’ bukan saja tak boleh kenakan faedah bahkan fikir hendak kenakan faedah pun salah, kerana itu bertentangan dengan perundangan syariah,” katanya.

Tengku Razaleigh Hamzah -FMT (Sektor bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li

Meneliti perkara ini, saya terfikir:

  1. Apakah keputusan ini menguntungkan negara dalam menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan?
  2. Apakah perkara yang menjadi keutamaan dalam polisi dan dasar BNM dalam menangani isu kewangan yang melibatkan nasib rakyat di saat kecemasan sebegini?
  3. Apakah pendirian BNM tentang hukum perundangan Syariah bagi kes-kes yang melibatkan sistem perbankan Islam?

Tengku Razaleigh berharap BNM dapat memberikan pengecualian kepada peminjam.

“Dalam keadaan susah sekarang, elok sangat pengecualian diberi kepada mereka yang terhutang.
Ia tidak akan menyebabkan kerugian besar sangat,” kata beliau.

Tengku Razaleigh Hamzah -FMT (Sektor bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li

ABM juga patut bersikap lebih prihatin tentang nasib pelanggan mereka yang sebahagian besarnya terjejas akibat musibah yang tidak dijangka ini.

Pada saat seperti ini, ABM sepatutnya ada sikap patriotik dan memainkan peranan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara; dan bukannya mementingkan keuntungan semata-mata.

Meneliti kata-kata tokoh kewangan ini, saya merasakan bahawa pengorbanan yang diminta ini adalah begitu kecil bagi ABM berbanding kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan mereka yang selama ini telah menyumbang pendapatan yang lumayan kepada institusi perbankan negara.

“Dengan ‘lockdown’ atau separa ‘lockdown’, sama ada kita kerja mahupun tidak, sebenarnya sewaktu semua orang sedang tidur, mereka sedang menjana keuntungan.

Meskipun dengan moratorium, industri bank mendapat keuntungan daripada pinjaman yang lain. Mereka tidak mungkin rugi melainkan mereka mencuri atau menipu.”

Tengku Razaleigh Hamzah -FMT (Sektor bank selalu untung, BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li

Ekonomi negara tidak akan dapat berkembang jika sebilangan besar rakyat dihimpit masalah kewangan.

Maka dalam keadaan ini, semua pihak mesti mendahulukan tanggungjawab mereka kepada negara.


سمبوتن رمضان تيدق هاروس ترحد ڤد اورڠ اسلام سهاج: منتري اݢام

Baca versi Rumi di sini.

منتري دجابتن ڤردان منتري ﴿حال إيهول اݢام﴾ داتوق ذوالکفل محمد البکري، ممينتا رعيت مليسيا اݢر برصبر سڤنجڠ بولن رمضان يڠ اکن کيت سمبوت دالم ماس تردکت اين‮.

بلياو مڠيڠتکن سلوروه ورݢنݢارا تنتڠ کبياساان بهارو يڠ دسبوت ڤردان منتري، دان منکنکن بهاوا رعيت مليسيا هاروسله مڽمبوت بولن رمضان دڠن کبياساان بهارو اين‮.

“کيت باکل مڽمبوت رمضان دڠن ‘new normal’ ﴿کبياساان بهارو﴾. سوده ڤستيڽ اݢق سوکر باݢي کيت دالم ممبياساکن ساتو ڤرکارا يڠ تيدق بياسا. نامون ساي يقين اد حکمهڽ.“

اين ترماسوقله دري سݢي عبادت دان کهيدوڤن سهارين، دمان اومت اسلام کبياساانڽ کمسجد اونتوق منونايکن صلاة جماعه، تتاڤي تاهون اين مسجد٢ تيدق دبنرکن اونتوق دبوک باݢي ممبندوڠ وابق کوۏيد-١٩‮.

بلياو منݢسکن بهاوا ڤرکارا اين تيدق مڠهالڠ اومت اسلام اونتوق برعبادت، تتاڤي اي اداله باݢي منجامينکن کسلامتن سلوروه ورݢ مليسيا اݢر تربندوڠ دري وابق کوۏيد-١٩‮.

داتوق ذوالکفل جوݢ مڠيڠتکن بهاوا بولن رمضان اين اداله بولن برصدقه، دان عمالن صدقه ايت بوکن سهاج ترحد کڤد اومت اسلام سهاج، تتاڤي اورڠ اسلام جوݢ ديݢسا اونتوق برصدقه کڤد راکن٢ بوکن اسلام دان اورڠ بوکن اسلام جوݢ دݢالقکن اونتوق توروت برصدقه دالم اڤ جوا بنتوق‮.

“انچئ علي بوليه تمڤه ناسي عرب، صدقهکن کڤد اه چوڠ. ‘Aunty’ تم بوليه تمڤه کي ايف سي ﴿ايم ݢوريڠ﴾ صدقهکن کڤد ڤوان واني. انچئ نوردين بوليه تمڤه ناسي کرابو صدقهکن کڤد ‘Uncle’ موثو. رمضان اداله بولن صدقه، دان برکوڠسي کݢمبيرأن دڠن سسياڤا سهاج سکليليڠ کيت.”

بلياو توروت مڠيڠتکن سلوروه رعيت مليسيا اونتوق جاڠن ممباذير، دان اونتوق ماکن دان مينوم سأداڽ‮.

منجواب سؤالن يڠ سريڠ دتاڽ اورڠ ايايت اڤاکه يڠ هاروس دبوات سڤنجڠ هاري سماس ڤرينته کاولن ڤرݢرقن ددالم بولن رمضان اين، داتوق ذوالکفل مڠشورکن سموا اونتوق ملاکوکن عبادت درومه اتاو تمڤت ماسيڠ٢ باݢي ممنفعتکن بولن يڠ ڤنوه برکة اين‮.

ڤکرجا باريسن هادڤن دايڠتکن اونتوق تروس برعبادت سقدر يڠ ممڤو، دان مريک دواجبکن اونتوق تروس برڤواسا، ملاءينکن جک دخواطيري اکن منججسکن فوکوس مريک ددالم ڤکرجأن مريک، مک اداله هاروس باݢي مريک اونتوق بربوک دڠن لبيه اول دان مڠݢنتيڽ ڤد هاري لاءين‮.

“کڤد ‘frontliners’ ﴿ڤکرجا باريسن هادڤن﴾، سيسيبوق مانڤون اندا جاڠن لوڤا اونتوق برسحور. ڤد سحور ايت اد برکةڽ … اندا ڤرلو کوات اونتوق کامي دمي نݢارا…

“سڤنجڠ رمضان موڠکين اد يڠ کڤناتن برکرجا تراوتماڽ ‘frontliners’ ﴿ڤکرجا باريسن هادڤن﴾ يڠ کيت کاسيهي. ڤواسا تتڤ واجب مڠيکوت کممڤوان، تتاڤي دهاروسکن بربوک ڤواسا اڤابيلا تق ممڤو ملقساناکن ڤواسا سڤنجڠ هاري ترسبوت، اتاو دخواطيري سکيراڽ منروسکن عبادت ڤواسا اکن منججسکن فوکوس دان کممڤوانڽ اونتوق مراوات ڤساکيت.“

صلة الرحيم جوݢ هاروس دإرتکن سڤرتي بياسا، دڠن تيکنولوݢي يڠ وجود رعيت مليسيا بوليه برهوبوڠ دڠن کلوارݢ دکامڤوڠ اتاو صحابة٢ مريک دڠن مڠݢوناکن ڤڠݢيلن ۏيديو تيدق کيرا دمان جوا مريک برادا‮.

کراجأن منروسي کڤوتوسن کابينيت تله بيسيتوجو اونتوق منوبوهکن داڤور إطعام، دمان مسجد٢ اکن مماسق اونتوق دأݢيهکن کڤد ڤندودوق ستمڤت‮.

چارا يڠ دبوات اداله، والاوڤون مسجد تروس دتوتوڤ دان دکونچي، تتاڤي ٦ ڤتوݢس ترڤيليه يڠ مان جارقڽ دجاݢ، برڤاکاين توڤيڠ موک دان لاين٢، سرتا مڠݢوناکن ڤنسانيتسي تاڠن، اکن مماسق ماکنن دان اکن ممبوڠکوسڽ سلڤس وقتو عصر اونتوق دأݢيهکن کڤد رومه٢ دکاواسن سکليليڠ‮.

اين اداله باݢي مڠݢنتيکن جاموان بربوک ڤواسا براماي٢ يڠ سريڠ داداکن دستياڤ مسجد دان سوراو سلاما اين‮.

کراجأن تله مڠڠݢرکن بهاوا باݢي ڤروݢرام اين کراجأن هاڽ اکن بلنجا لبيه کورڠ ٢٫١٦ جوت ريڠݢيت مليسيا باݢي تيمڤوه ٣٠ هاري دڠن باجيت ١٬١٠٠ ريڠݢيت مليسيا دستياڤ ٧٢ مسجد يڠ دڤيليه؛ مک ستياڤ هاري ٢٥٬٢٠٠ کلوارݢ اکن دبري ماکنن ايايت لبيه کورڠ ٣ جوت اينديۏيدو برکڤرلوان باݢي تيمڤوه سبولن دولايه ڤرسکوتوان سهاج‮.

داتوق ذوالکفل جوݢ مڠيڠتکن بهاوا بازر رمضان تيدق دبنرکن اونتوق براوڤرسي ڤد تاهون اين، دان سباليقڽ رعيت بوليه ممبلي ماکنن ملالوءي ڤرخدمتن ڤڠهانترن کرومه درڤد کداي٢ دان ريستورن يڠ مڽدياکن ماکنن اونتوق بربوک‮.

بلياو توروت منݢسکن بهاوا اين منونجوقکن بهاوا اسلام مروڤاکن اݢام يڠ سنڠ، دمان جک وجود هالڠن اتاو سسواتو يڠ بربهاي، اسلام تيدق ممقسا اومتڽ اونتوق برعبادت هيڠݢ ممبهاياکن ديري، تتاڤي سباليقڽ سنتياس ممڤوڽاءي جالن الترناتيف دمان جوا‮.

“صفة اݢام الله اين اداله موده. اي تيدق ممببنکن دان تيدق ممبرتکن…  الله تيدق منتکليفکن کڤد سساورڠ ملاءينکن دالم رواڠ ليڠکوڤ کممڤوانڽ.“

Sambutan Ramadhan Tidak Harus Terhad Pada Orang Islam Sahaja: Menteri Agama

Baca versi Jawi di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, meminta rakyat Malaysia agar bersabar sepanjang bulan Ramadhan yang akan kita sambut dalam masa terdekat ini.

Beliau mengingatkan seluruh warganegara tentang “the new normal” atau kebiasaan baharu yang disebut Perdana Menteri, dan menekankan bahawa rakyat Malaysia haruslah menyambut bulan Ramadhan dengan kebiasaan baharu ini.

“Kita bakal menyambut Ramadhan dengan new normal. Sudah pastinya agak sukar bagi kita dalam membiasakan satu perkara yang tidak biasa. Namun saya yakin ada hikmahnya.”

Ini termasuklah dari segi ibadat dan kehidupan seharian, di mana umat Islam kebiasaannya ke masjid untuk menunaikan solat jemaah, tetapi tahun ini masjid-masjid tidak dibenarkan untuk dibuka bagi membendung wabak Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa perkara ini tidak menghalang umat Islam untuk beribadat, tetapi ia adalah bagi menjaminkan keselamatan seluruh warga Malaysia agar terbendung dari wabak Covid-19.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan bersedekah, dan amalan sedekah itu bukan sahaja terhad kepada umat Islam sahaja, tetapi orang Islam juga digesa untuk bersedekah kepada rakan-rakan bukan Islam dan orang bukan Islam juga digalakkan untuk turut bersedekah dalam apa jua bentuk.

Encik Ali boleh tempah nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Aunty Tam boleh tempah KFC (ayam goreng) sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah nasi kerabu sedekahkan kepada Uncle Muthu. Ramadhan adalah bulan sedekah, dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja sekeliling kita.

Beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk jangan membazir, dan untuk makan dan minum seadanya.

Menjawab soalan yang sering ditanya orang iaitu apakah yang harus dibuat sepanjang hari semasa PKP di dalam bulan Ramadhan ini, Datuk Zulkifli mengsyorkan semua untuk melakukan ibadat di rumah atau tempat masing-masing bagi memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini.

Pekerja barisan hadapan atau frontliners diingatkan untuk terus beribadat sekadar yang mampu, dan mereka diwajibkan untuk terus berpuasa, melainkan jika dikhuatiri akan menjejaskan fokus mereka di dalam pekerjaan mereka, maka adalah harus bagi mereka untuk berbuka dengan lebih awal dan menggantinya pada hari lain.

“Kepada ‘frontliners’, sesibuk manapun anda jangan lupa untuk bersahur. Pada sahur itu ada barakahnya … Anda perlu kuat untuk kami demi negara…

“Sepanjang Ramadhan mungkin ada yang kepenatan berkerja terutamanya ‘frontliners’ yang kita kasihi. Puasa tetap wajib mengikut kemampuan, tetapi diharuskan berbuka puasa apabila tak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut, atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadat puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit.”

Silaturrahim juga harus dieratkan seperti biasa, dengan teknologi yang wujud rakyat Malaysia boleh berhubung dengan keluarga di kampung atau sahabat-sahabat mereka dengan menggunakan panggilan video tidak kira di mana jua mereka berada.

Kerajaan menerusi keputusan kabinet telah besetuju untuk menubuhkan dapur it’am, di mana masjid-masjid akan memasak untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Cara yang dibuat adalah, walaupun masjid terus ditutup dan dikunci, tetapi 6 petugas terpilih yang mana jaraknya dijaga, berpakaian topeng muka dan lain-lain, serta menggunakan pensanitasi tangan, akan memasak makanan dan akan membungkusnya selepas waktu Asar untuk diagihkan kepada rumah-rumah di kawasan sekeliling.

Ini adalah bagi menggantikan jamuan berbuka puasa beramai-ramai yang sering diadakan di setiap masjid dan surau selama ini.

Kerajaan telah menganggarkan bahawa bagi program ini kerajaan hanya akan belanja lebih kurang RM2.16 juta bagi tempoh 30 hari dengan bajet RM1,100 di setiap 72 masjid yang dipilih, maka setiap hari 25,200 keluarga akan diberi makanan iaitu lebih kurang 3 juta individu berkeperluan bagi tempoh sebulan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bazar Ramadhan tidak dibenarkan untuk beroperasi pada tahun ini, dan sebaliknya rakyat boleh membeli makanan melalui perkhidmatan penghantaran ke rumah daripada kedai-kedai dan restoran yang menyediakan makanan untuk berbuka.

Beliau turut menegaskan bahawa ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang senang, di mana jika wujud halangan atau sesuatu yang berbahaya, Islam tidak memaksa umatnya untuk beribadat hingga membahayakan diri, tetapi sebaliknya sentiasa mempunyai jalan alternatif di mana jua.

“Sifat agama Allah ini adalah mudah. Ia tidak membebankan dan tidak memberatkan… Allah tidak mentaklifkan kepada seseorang melainkan dalam ruang lingkup kemampuannya.”

زکاة فطره سلاڠور بوليه باير دالم تالين

Baca versi Rumi di sini.

لمباݢ زکاة سلاڠور ممعلومکن زکاة فطره باݢي اومت اسلام دسلاڠور تاهون اين ککال ٧ ريڠݢيت مليسيا سڤرتي تاهون سبلومڽ.

کتوا ڤݢاواي ايکسيکوتيف، صيفوليازن محمد يوسف برکات، اي سلارس دڠن کلولوسن مشوارت جاوتنکواس فتوى سلاڠور يڠ مڠکلکن قدر زکاة فطره ڤد تاهون اين.

“ڤنتڤن قدر زکاة فطره ٧ ريڠݢيت مليسيا برداسرکن هرݢ باݢي ٢٫٦ کيلوݢرام برس سوڤر تمڤتن ݢريد اي يڠ لازيمڽ دݢوناکن مشارکت دسلاڠور،“ کاتڽ ڤد سيدڠ ميديا.

لمباݢ زکاة سلاڠور مڠݢالقکن ݢولوڠن يڠ برکممڤوان منونايکن زکاة فطره مڠيکوت هرݢ برس يڠ دماکن ستياڤ هاري باݢي ديري دان تڠݢوڠن.

صيفوليازن برکات سچارا تيدق لڠسوڠ اومت اسلام برڤلواڠ ملاکوکن کبايکن دالم مرايه کبرکتن رمضان.

“قدر زکاة فطره سباڽق ١٤٫٠٠ ريڠݢيت مليسيا سأورڠ باݢي اينديۏيدو يڠ ماکن برس ڤوتيه ايمڤوت، برس ڤيراڠ، برس ڤولوت، هربا ڤوني، اتاو برس واڠي، اتاو ٢١٫٠٠ ريڠݢيت مليسيا سأورڠ باݢي اينديۏيدو يڠ ماکن برس بسمثي، برس جڤون، اتاو برس ميره،“ کاتڽ.

دالم ڤد ايت، لمباݢ زکاة سلاڠور سدر راماي اورڠ اسلام هيلڠ ڤونچا ڤنداڤتن دان موڠکين ترماسوق دالم ݢولوڠن تيدق برکممڤوان سماس ڤرينته کاولن ڤرݢرقن دان کسن وابق کوۏيد-١٩ کأتس ايکونومي.

اوليه ايت، اينديۏيدو يڠ ترباتس کممڤوان ايکونومي کتيک اين بوليه منونايکن کواجيڤن زکاة فطره مڠيکوت کممڤوان ديري دان کلوارݢ.

“سکيراڽ لبيهن يڠ اد ايت هاڽ منچوکوڤي اونتوق منونايکن زکاة، هندقله دکلوارکن زکاة فطره سقدر سباهاݢين سهاج درڤد اهلي کلوارݢڽ،“ کات صيفوليازن.

سمنتارا ايت، لمباݢ زکاة سلاڠور مڽدياکن ڤلباݢاي ڤلتفوم ڤمبايرن دالم تالين يڠ لبيه ڤانتس دان سلامت، باݢي ممودهکن اومت اسلام تراوتما سماس ڤرينته کاولن ڤرݢرقن.

اورڠ راماي بوليه ممباير زکاة سچارا دالم تالين ملالوءي:

  • اي-زکاة-ڤاي دڠن ملايري https://fpx.zakatselangor.com.my
  • ڤربنکن اينترنيت دسمبيلن بڠک ايايت ڤابليق بڠک (Public Bank)، هوڠ لييوڠ بڠک (Hong Leong Bank)، مايبڠک، سي اي عيم بي (CIMB)، عيمبڠک (Ambank)، بڠک رعيت، ار ايچ بي (RHB)، بڠک اسلام دان الاينس بڠک (Alliance Bank)
  • ڤورتل ماي-اي-جي (MyEg)
  • ڤوس اونلاين (Pos Online)
  • اڤليکسي اي-دومڤيت ݢوڤايز (GoPayz) دان بوست (Boost).

لمباݢ زکاة سلاڠور توروت منمڤتکن کود قيو ار دلوکاسي ترڤيليه اونتوق ممودهکن مشارکت مڠاکسيس تروس ڤلتفوم ڤمبايرن دالم تالين اي-زکاة-ڤاي.

اومت اسلام جوݢ بوليه ممبوات ڤمبايرن فيديه سچارا دالم تالين د-اي-زکاة-ڤاي دڠن ملايري https://fpx.zakatselangor.com.my.

Zakat Fitrah Selangor Boleh Bayar Dalam Talian

Baca versi Jawi di sini.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 seperti tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata, ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini.

“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 berdasarkan harga bagi 2.6kg beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor,” katanya pada sidang media.

LZS menggalakkan golongan yang berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

Saipolyazan berkata secara tidak langsung umat Islam berpeluang melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan Ramadan.

“Kadar zakat fitrah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang makan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, atau beras wangi, atau RM21.00 seorang bagi individu yang makan beras basmathi, beras Jepun, atau beras merah,” katanya.

Dalam pada itu, LZS sedar ramai orang Islam hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan tidak berkemampuan semasa perintah kawalan pergerakan dan kesan wabak Covid-19 ke atas ekonomi.

Oleh itu, individu yang terbatas kemampuan ekonomi ketika ini boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kemampuan diri dan keluarga.

“Sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat, hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya,” kata Saipolyazan.

Sementara itu, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat, bagi memudahkan umat Islam terutama semasa PKP.

“Orang ramai boleh membayar zakat secara atas talian (online) melalui:

  • EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  • Perbankan internet di 9 bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank,
    Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank
  • Portal MyEg
  • Pos Online
  • Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

LZS turut menempatkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus platform pembayaran atas talian EzakatPay.

Umat Islam juga boleh membuat pembayaran fidyah secara dalam talian di EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my. -{Free Malaysia Today]

Covid-19: PKPD di Pusat Bandar Utara, Pasar Borong KL

Versi Jawi akan menyusul.

Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit.

Pihak berkuasa memasang kawat duri di sekitar Taman Sri Murni, Selayang.
Pihak berkuasa memasang kawat duri di sekitar Taman Sri Murni, Selayang.

Katanya, parcel yang membabitkan Pusat Bandar Utama adalah Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B:Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Ismail Sabri berkata, PKPD itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan COVID-19, sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 15,000 penduduk di kawasan sekitar terkesan akibat pelaksaan PKPD berkenaan.

Pihak berkuasa memperketatkan kawalan di Taman Sri Murni. Selayang sejak malam tadi.
Pihak berkuasa memperketatkan kawalan di Taman Sri Murni. Selayang sejak malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD itu tidak membabitkan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang, justeru ia tidak akan menjejaskan bekalan barangan dan makanan dari pasar itu.

“Kita menutup kawasan perumahan terutama ramai rakyat Rohingya pemegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) (di kawasan itu), manakala pasar borong dibuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212.

Jalan masuk dan keluar Taman Sri Murni turut ditutup.
Jalan masuk dan keluar Taman Sri Murni turut ditutup.

Terdahulu, pihak berkuasa dilihat memperketatkan kawalan di kawasan Taman Sri Murni dekat Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini sejak jam 12 tengah malam tadi.

Seorang anggota polis yang ditemui ketika tinjauan BH memaklumkan pihaknya menerima arahan untuk memperketatkan kawalan di kawasan itu, semalam.

Tinjauan BH mendapati kawat duri dipasang di laluan keluar dan masuk kawasan perumahan itu.

Turut berada di lokasi, beberapa anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal situasi semasa.

Hanya penduduk yang mempunyai alasan munasabah termasuk hal kecemasan dibenarkan keluar dan masuk kawasan terbabit. -{Berita Harian]