MP Machang Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan, Dewan Rakyat Kini 50:50

Jumlah ahli parlimen yang berada di belakang Muhyiddin Yassin berkurangan seorang lagi hari ini apabila Pengerusi Umno Kelantan menarik balik sokongannya kepada presiden Bersatu itu.

Pendirian Ahmad Jazlan Yaakub itu dibuat pada sidang media yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

“Maka dengan ini saya mengumumkan saya menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang juga anggota parlimen Machang.

Pengumuman Ahmad Jazlan hari ini meletakkan kerajaan PN kini hanya berdiri dengan sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi. Bagaimanapun dua daripadanya kosong disebabkan kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sebelum ini seorang lagi ahli parlimen dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin namun belum pernah menzahirkan tentangan terhadap kerajaan melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.

Meskipun hanya ditunjangi 110 ahi parlimen, kerajaan PN masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

Blok utama pembangkang – Pakatan Harapan (PH) – hanya mempunyai 91 ahli parlimen, manakala 17 orang lagi tidak menyertai mereka.

Ahmad Jazlan sebelum ini dilantik kerajaan PN untuk menjadi pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) namun dia meletakkan jawatan itu lima hari lalu.

Pun begitu Ahmad Jazlan berkata walaupun dia tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan PN, kerajaan sedia ada masih bertahan kerana ia masih memiliki kelebihan.

“Saya sedar – sekali lagi saya sebut – apa yang saya buat ini tak menggugat kedudukan kerajaan, tak runtuh kerajaan dan takkan ada PRU kerana PN masih ada 110 sokongan dan pembangkang 108.

“Kerajaan masih ada majoriti, cuma ia berkurangan saja,” katanya.

Ahmad Jazlan juga menambah dia bukanlah orang pertama yang mengambil langkah menarik balik sokongan kepada PN itu kerana ia sudah dilakukan oleh ahli parlimen lain sebelum ini iaitu Tengku Razaleigh.

“Saya ingin tegaskan, saya orang kedua (menarik balik sokongan), bukan yang pertama,” katanya. -{Malaysiakini]

PPBM Mahu Kekalkan PN, Tidak Mahu PRU

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu mengekalkan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional, dan tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat ini, kata Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan.

Menerusi sebuah kenyataan akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut malam semalam, Wan Saiful berkata Pilihan Raya Umum hanya wajar diadakan apabila perkembangan pandemik Covid-19 berada pada tahap terkawal.

Selain daripada itu, parti itu juga bersetuju untuk mengadakan satu siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat bagi memberi penerangan berkenaan isu semasa.

Mesyuarat PPBM Tentang Banjir, Covid; Kenyataan Esok

Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanyalah tentang kepentingan rakyat termasuk isu banjir dan Covid-19.

Perkara itu dikatakan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ahmad Faizal Azumu sebentar tadi ketika ditemui wartawan di luar pejabat parti itu.

Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal pula memaklumkan kepada pihak akhbar bahawa parti itu akan mengeluarkan sebuah kenyataan pada pagi esok.

Berita lanjut menyusul esok.

Mesyuarat MKT: UMNO Bincang Putus Hubungan Dengan PPBM PRU15

Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membincangkan usul-usul yang dibangkit Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO baru-baru ini, termasuk untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam sebuah kenyataan akhbar bertulis yang dikeluarkan sebentar tadi, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

Perbincangan tersebut dibuat ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diadakan sebentar tadi bagi membincangkan beberapa hal termasuk usul-usul lain seperti untuk memperkukuhkan kerjasama UMNO-PAS melalui Muafakat Nasional, dan mendesak PRU15 diadakan dalam suku pertama tahun ini.

Kesemua hal ini akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO nanti yang akan diadakan pada 31 Januari 2021.

Terdahulu, UMNO telah mengadakan sebuah mesyuarat biro politik yang melibatkan pengerusi badan-badan perhubungan parti tersebut, dan adalah dipercayai bahawa ia juga telah membincangkan hal ini sekali.

Ahmad Maslan: Zahid Minta Bersedia PRU; Kerajaan Malaysia Tidak Stabil

Kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis di dunia pada saat ini dengan memegang hanya 111 kerusi di Dewan Rakyat berbanding 109 kerusi pembangkang.

Perkara itu dikatakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional, Ahmad Maslan ketika sebuah sidang akhbar di Bangunan UMNO sebentar tadi, setelah dilantik menjadi Setiausaha Agung gabungan parti itu.

Sila baca: Annuar Musa Tidak Dipecat, Tetapi diGANTI Ahmad Maslan

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tipis majoritinya dalam dunia. Setakat saya maklum, kerajaan yang paling tipis majoriti dalam dunia.

“Jadi kerajaan ini tidak stabil. Itu kena diakui oleh semua pihak bahawa kerajaan ini tidak stabil.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Menurutnya juga, kerajaan Perikatan Nasional kini betul-betul di atas garisan kerana kedudukannya sebagai kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis dalam sejarah negara.

Ahmad Maslan juga memaklumkan bahawa Presiden Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi meminta agar ahlinya bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum seterusnya, yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita kena bersiap sedia untuk Pilihan Raya. Itu satu perkara yang mustahak yang disampaikan (Ahmad Zahid), sebagaimana ucapan beliau di perasmian Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bagan Datuk.

“Beliau menyatakan, kita tidak perlu takut mengadakan Pilihan Raya.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Terdahulu, akhbar melaporkan bahawa 189 daripada 191 Bahagian UMNO menolak kerjasama parti tersebut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang merupakan parti pecahan daripada UMNO.

Sila baca: Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Hal itu telah dikatakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi beberapa hari sebelumnya, apabila beliau mengatakan bahawa 145 bahagian enggan melihat kerjasama dengan parti itu kekal berterusan.

Ahmad Maslan juga mengatakan bahawa parti itu ingin memulihkan ekonomi negara, yang memerlukan satu kerajaan yang stabil, tetapi kerajaan Malaysia kini adalah amat rapuh.

“Kita ingin memulihkan ekonomi, dan pemulihan ekonomi ini, salah satu syaratnya ialah kerajaan mesti stabil. Kita tahu bahawa pelabur yang mungkin tidak singgah ke Malaysia, dan juga saya tahu ketika saya di MITI, pelabur datang ke Malaysia adalah kerana kerajaannya stabil. Tetapi kerajaan Malaysia (kini) tidak stabil. Amat-amat rapuh. Macam juga kerajaan Johor, cuma ada satu majoriti, kerajaan pusat ini juga ada satu majoriti.

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Annuar Musa Dipecat Sebagai SUA Barisan Nasional

Baca laporan terkini: Annuar Musa Tidak Dipecat, Tetapi diGANTI Ahmad Maslan

BN memecat Anuar Musa sebagai setiausaha agung.

Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan Umno kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Sumber lain memberitahu Malaysiakini, dia akan digantikan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung bersama Muafakat Nasional (MN).

Kata sumber, keputusan itu dibuat selepas pertemuan Umno dengan ketua-ketua bahagiannya di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi ini

Tiada maklumat lanjut setakat ini.

Bagaimanapun Annuar dilihat lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) ketika sentimen berbeza dalam Umno – parti dominan dalam BN.

Malaysiakini sudah menghubungi Annuar dan sedang menungu maklum balasnya.

Semalam, Annuar menegaskan akan mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menolak DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sedia dipecat susulan pendirian itu.

Baru-baru ini, Pemuda Umno Pasir Puteh mengusulkan supaya Annuar dipecat daripada Umno, selepas didakwa tidak menghormati presiden parti serta mendahului keputusan parti.

Usul itu dicadangkan pada mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan, pada Sabtu. -{Malaysiakini]

Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Akar umbi UMNO telah bersuara menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), serta mendesak UMNO menarik semula sokongan terhadap Perikatan Nasional jika Pilihan Raya tidak dapat diadakan dalam suku pertama 2021.

Di dalam sebuah usul hasil daripada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang hari ini, mereka turut mahukan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional diperkukuhkan, dan menambah bahawa kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai dua tahun lepas.

Berikut merupakan usul mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang:


Mensyukuri, Bahawa UMNO dan BARISAN NASIONAL telah berperanan besar menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan telah menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga Piliharaya Umum 15 demi rakyat;

Mengakui, Bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk tersebut telah menafikan Hak-Hak dan Suara UMNO dan BN dalam Kerajaan Hari ini.

Menginsafi, bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti.

Maka, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang

Membuat Ketetapan Seperti Berikut :-

PERTAMA: Menolak sebarang kerjasama dengan PPBM berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat Cawangan.

KEDUA: Mencadangkan supaya PRU diadakan dalam Suku Pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat dan sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka Ahli Parlimen UMNO mestilah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

KETIGA: Mendesak UMNO bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi Parlimen dan Negeri yang ditandingi dalam PRU ke-14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

KEEMPAT: Mencadangkan supaya UMNO Bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

KELIMA: Mengukuhkan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui pengukuhan Muafakat Nasional. Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

Kerat Empat Pun Ambo Takkan Masuk Parti Tun M, Rela Mati Dalam UMNO – Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air yang diterajui bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Tegasnya, perjuangan bersama UMNO sudah sebati dengan jiwanya sejak sekian lama dan beliau tidak akan sesekali meninggalkan parti itu hanya kerana pernah berbeza pendapat dengan pimpinan parti.

Sila baca: Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li

“Kerat empat pun ambo takkan masuk parti Dr. Mahathir. Ambo rela mati dalam UMNO.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Tengku Razaleigh berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati hari ini.

Kenyataannya itu adalah reaksi terhadap pelbagai desakan supaya beliau keluar daripada UMNO berikutan sidang medianya baru-baru ini yang dilihat sebagai ‘sekapal’ dengan Dr. Mahathir.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Dalam sidang akhbar selepas itu, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO menjelaskan, beliau bersama Tun Mahathir kerana ingin memperjuangkan pentingnya keabsahan kerajaan ditentukan.

Katanya, tindakan beliau itu bukan satu kesalahan kerana tidak bertentangan dengan dasar UMNO.

Sila baca: Buang Pemimpin UMNO Yang Mendahulukan Kepentingan Parti Lain – Ku Li

“Saya ahli UMNO. Sebagai seorang ahli politik takkan saya semudah itu nak tukar parti, walaupun saya ini kenalan baik Dr. Mahathir. Lagi pun dia rapat dengan saya dari dulu lagi.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak pernah ada agenda lain kecuali benar-benar serius mahu membantu rakyat  ketika keadaan politik negara tidak stabil dan masalah ekonomi berpanjangan. 

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

“Pelabur luar tidak datang ke negara kita untuk melabur kerana tidak yakin kepada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh yakin UMNO mampu bergerak sendiri tanpa perlu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti lain terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sila baca: Kebangkitan Ku Li: Jawapan Kepada Krisis Politik Negara?

“UMNO dah ada BN, ada Muafakat Nasional, kenapa nak kena masuk sana lagi? Di Sabah baru-baru ini pun ada gagasan. Gagasan jaga pagar ke apa? Banyak sangat nama sekarang.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 3 Januari 2021

Kerajaan Bakal Kalah Undi Belanjawan Esok?

Tun Mahathir dalam satu sidang akhbar petang tadi mengatakan bahawa kerajaan mungkin akan kalah pada pengundian belanjawan esok, apabila Parlimen bersidang untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Langkah ini sangat mengejutkan di kala pemerhati politik sedang cuba merungkai teka-teki siapakah 113 pemimpin yang dikatakan menyokong Anwar Ibrahim.

“Ada kemungkinan bahawa esok, ketika mereka (Ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk usul belanjawan, ada kemungkinan kerajaan mungkin kalah.

“Jika kerajaan kalah, maka kita tidak mempunyai kerajaan. Maka ada keperluan untuk kita menubuh satu kerajaan. Namun apabila kita mahu menubuh satu kerajaan, kita berharap mereka memilih satu kerajaan yang tekad pada berkhidmat kepada negara dan rakyatnya.”

Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Disember 2020

Sila baca: Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Setakat ini, blok Anwar Ibrahim masih belum berjaya mengalahkan blok kerajaan dalam undian Belanjawan 2021.

Untuk rekod, langkah Anwar tidak mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat Parti Warisan Sabah yang berjumlah seramai lapan orang.

MP Warisan tidak berada di Parlimen untuk undian peringkat jawatankuasa belanjawan sebagai menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Anwar.

Sila baca: Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Persoalannya:

  • Adakah MP Parti Warisan yang selama ini condong ke arah kepimpinan Tun Mahathir akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok untuk menyokong Tun menolak Belanjawan 2021?
  • Apakah benar dakwaan bahawa Anwar telah mendapat 113 sokongan daripada ahli-ahli Parlimen?

Perkara ini menambah kehangatan suhu politik negara kerana kini kita melihat sekurang-kurangnya 3 blok yang berlainan dalam percaturan politik negara.

Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO telah banyak bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesetengah perkara di dalam belanjawan.

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adalah jelas bahawa hubungan UMNO (parti yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen di dalam kerajaan persekutuan) bersama PPBM adalah tidak begitu akrab; dan keadaan ini bertambah buruk apabila PAS gagal bersikap neutral.

Sejak krisis politik di Perak, perbagai spekulasi telah dibuat termasuk kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.

Pada ketika itu, ramai yang melihat bahawa UMNO terpaksa mendapatkan sokongan blok Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak. Nyata andaian itu tidak benar.

Sila baca: Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Apakah yang akan akan berlaku esok?

Yang nyata adalah, jika benar kerajaan kalah pada pengundian untuk bacaan kali ketiga belanjawan esok, jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih berliku.

Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir hari ini telah membuat satu kenyataan bersama mengenai situasi politik tempatan kini.

Kedua-dua mereka percaya bahawa kerajaan kini tidak mempunyai keabsahan, menyebabkan ketidakstabilan negara dari segi politik dan pentadbiran, mengakibatkan keruntuhan ekonomi.

Tengku Razaleigh menegaskan bahawa kerajaan perlu membantu rakyat yang sedang menghadapi kesusahan akibat Covid-19, kerana jika tidak ia akan menjejaskan masa depan generasi muda-mudi negara.

Tun Mahathir mahukan negara kembali ke zaman kegemilangannya seperti satu masa dahulu, kerana Malaysia telah jauh ketinggalan di belakang berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Menurutnya, kerajaan mungkin akan kalah dalam pengundian belanjawan esok ketika bacaan kali ketiganya, dan itu akan menjadikan keadaan lebih teruk daripada sekarang.

Tengku Razaleigh turut mengatakan bahawa kerajaan bukan sahaja perlu membantu rakyat, tetapi mereka perlu membantu rakyat sehinggakan mereka dapat berdiri dengan sendiri.

Kerisauan terbesar mereka adalah bagaimana kebanyakan ahli politik terlalu gilakan kuasa dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

Apabila ditanya jika beliau yakin akan mendapat sokongan Ahli Parlimen UMNO, Tengku Razaleigh hanya menjawab, “jawapannya, mungkin.”

Menurut Tun Mahathir, mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, kerana mereka hanya mahu bersedia sekiranya kerajaan kini jatuh, dan tidak mengejarkan jawatan tersebut.

Tengku Razaleigh mengatakan bahawa beliau hanya berkerjasama untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah sah, kerana kerajaan kini adalah tidak sah dan Perdana Menterinya juga tidak sah.

Tun Mahathir juga menegaskan bahawa dakwaan Anwar Ibrahim tentang 113 akuan bersumpah yang beliau punyai, tidak mempunyai impak selagi tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan di Parlimen.

Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan mengundi untuk belanjawan ketika bacaan kali ketiga esok.