Remaja Bermasalah: Salah Siapa?

Demi mencapai kemajuan bangsa, kita harus membina satu masyarakat yang berdisiplin, berakhlak mulia dan berbudi pekerti. Ketaatan kepada agama berserta semangat kenegaraan yang tinggi akan melahirkan insan-insan yang patriotik serta sayangkan negara bangsa.

Masalah sosial dalam kalangan remaja telah membawa begitu banyak kerosakan kepada masyarakat dan negara. Perkara ini jika dibiarkan, ianya akan bertambah parah dari sehari ke sehari. Kita bukan sahaja kehilangan insan-insan yang sepatutnya bersama-sama membina negara tetapi begitu banyak masa dan tenaga yang terpaksa yang terpaksa digunakan untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagaimanakah remaja mahu menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada umur 18 tahun jika mereka tidak mahu mengambil tahu tentang politik, prinsip asas serta sejarah negara? Akibatnya ramai yang hanya terikut-ikut tanpa memahami kenapa mereka membuat pemilihan itu.

Remaja ialah pemimpin hari esok yang akan menentukan hala tuju dan masa depan negara. Setelah dewasa merekalah yang akan menggarap dan mencorak keadaan masyarakat dan menentukan dasar-dasar negara. Maka akhlak dan cara pemikiran mereka akan mempengaruhi segala tindakan yang akan diambil.

Kemajuan fizikal dan kejayaan material tidak akan membawa makna jika masyarakat kita rosak dan tidak bermoral. Jenayah akan berleluasa di mana-mana sahaja dan keadaan sosial akan menjadi tidak selamat. Kita akan hidup dalam kerisauan, ketakutan, stres serta tiada ketenangan jiwa. Ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang bukan sahaja bukan sahaja akan menimpa golongan dewasa tetapi juga para remaja dan kanak-kanak.

Kerakusan manusia yang tidak bertanggungjawab akan turut membawa kepada kerosakan kepada alam sekitar seperti pencemaran alam sekitar, pembalakan haram, pencerobohan hutan, pembuangan sisa toksik di merata tempat dan sebagainya yang akhirnya akan merosakkan bumi kita.

Remaja yang bermasalah mesti dibimbing dan ditangani dengan cara yang betul supaya mereka dapat kembali ke pangkal jalan. Masyarakat tidak harus memandang ringan akan masalah ini kerana jika hal ini tidak ditangani dengan tuntas, lebih ramai lagi remaja yang akan terpengaruh dan terjebak dalam masalah sosial. Bermula daripada hanya melepak, kemudiannya cuba menghisap rokok dan akhirnya mungkin dipujuk atau dipaksa untuk mengambil dadah.

Para remaja mesti sedar akan tanggungjawab besar kita kepada agama dan negara. Kita bukan sahaja mesti bertekad dan berusaha untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah membesarkan kita, tetapi kita juga mesti menumpahkan taat setia kepada agama dan negara bangsa. Perkara ini memerlukan banyak pengorbanan dan sukar untuk dicapai jika kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Pengisian kerohanian amat penting dalam membentuk sahsiah diri serta mengawal tindak-tanduk kita agar tidak tersasar daripada landasan iman. Kita juga perlu membina kekuatan mental berdasarkan iman, amalan dan kefahaman agama yang kukuh untuk mengharungi masa depan yang mencabar.

Kita mesti hidup di alam yang nyata serta serta bijak mengimbangi kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri kita. Berpijaklah di bumi yang nyata. Sikap menunjuk-nunjuk untuk dilihat hebat dan bergaya boleh membawa kita kepada masalah kewangan.

Remaja mesti lebih banyak belajar tentang kehidupan daripada mereka yang lebih dahulu makan garam. Jika kita mahu pendapat kita dihormati, maka kita mesti lebih dahulu menghormati pendapat mereka yang lebih tua daripada kita, lebih-lebih lagi ibu bapa kita.

Ibu bapa harus amanah dalam menunaikan tanggungjawab mendidik anak-anak. Pendidikan sepatutnya bermula daripada rumah. Penerapan nilai, ajaran agama serta pendidikan awal kanak-kanak harus bermula sejak dari kecil, dan bukannya hanya mengharapkan pihak tadika dan sekolah untuk mengajar dan membentuk akhlak murid-murid mereka.

Kanak-kanak juga harus dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif dan selamat serta dipantau rapi oleh ibu bapa. Tanpa pemantauan yang rapi daripada ibu bapa, kanak-kanak akan terdedah kepada bahaya secara fizikal dan emosi, pengaruh sikap dan pemikiran yang negatif serta sukar untuk mencapai potensi diri secara maksima. Hal sebegini akan membawa kepada masalah sosial remaja.

Ibu bapa mesti memperuntukkan masa dan tenaga untuk membimbing serta bermesra bersama anak-anak mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus membentuk disiplin diri anak-anak mereka sejak mereka masih kecil. Kanak-kanak yang membesar secara bebas tanpa kawalan dan tidak pernah dimarahi akan sukar untuk dikawal serta mungkin menghadapi masalah untuk mematuhi undang-undang apabila mereka besar nanti.

Ibu bapa juga mesti mengambil tahu siapakah kawan anak-anak mereka serta memantau kegiatan yang mereka lakukan sehari-hari. Bersahabatlah dengan anak-anak remaja dan luangkan waktu untuk melakukan aktiviti bersama. Bagi kami para remaja, aktiviti di masa lapang bersama ibu bapa adalah sangat berharga serta menjadi kenangan yang sangat bermakna dalam hidup kami.

Kemewahan semata-mata tidak dapat membentuk insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Semoga kita mampu muhasabah diri dan cuba bangkit menjadi insan-insan yang amanah dan bertanggungjawab.

Restoran Diserbu Setelah Didakwa Menghidang Daging Babi Dalam Mi Kari

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa dan merampas bahan mentah berupa daging ayam, di sebuah restoran terkenal di Subang Jaya semalam, susulan tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual premis itu mengandungi daging babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan lima anggota penguat kuasa itu, bagaimanapun mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sah sehingga 30 Nov ini.

“Menurut pengurus restoran itu, beliau mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak.

“Pemeriksaan lanjut ke bahagian dapur restoran menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging disyaki daging ayam disita, bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhamad Zikril Azan, turut disita semasa pemeriksaan itu adalah Sijil Halal JAKIM dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Katanya, pengurus premis memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.

Muhamad Zikril Azan berkata kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti di bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.

Tambah beliau lagi, KPDNHEP Selangor akan terus memantau serta memeriksa bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM sentiasa mematuhi peraturan selain menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini. -{Bernama]

Gangguan Bekalan Air di 7 Wilayah Berikutan Pencemaran Sumber Air (10/11/2020)

SIARAN MEDIA PENGURUSAN AIR SELANGOR SDN BHD

Lanjutan pengumuman daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 12.45 tengahari, 10 November 2020. Sehingga jam 2:30 petang ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup pada jam 6.00 petang. Senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan ini seperti di Lampiran A.

Usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari
Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangsan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari. Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di http://www.airselangor.com.

ELINA BASERI
Ketua Komunikasi Korporat
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd


LAMPIRAN A

2 Mangsa Tanah Runtuh di Ipoh Ditemukan Maut

Mayat dua mangsa tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di sebuah resort pelancongan terkenal di Tambun berjaya ditemui pada pukul 9.55 pagi ini.

Mangsa pertama yang dijumpai dikenali Ooi Chee Wei, 39, manakala wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, ditemukan lima minit kemudian.

Sila baca: 2 Dikhuatiri Tertimbus Tanah Runtuh Berhampiran Hotel di Tambun

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi villa berkenaan yang ditimpa runtuhan tanah.

Katanya, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian.

“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh daripada pemilik resort tersebut pada pukul 2.15 pagi di mana dipercayai terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta-merta namun terpaksa dihentikan ekoran terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian sebelum disambung semula pada pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. –{Utusan Digital]

2 Dikhuatiri Tertimbus Tanah Runtuh Berhampiran Hotel di Tambun

Dua individu dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel yang terletak di kawasan gunung di Tambun di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa masing-masing seorang lelaki dan perempuan yang menginap di hotel itu pada pukul 1.28 pagi.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan mengenai kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pasukan bomba masih giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa manakala maklumat lanjut mengenai mangsa belum dikenal pasti.

Pasukan penyelamat turut menemukan dua pasang kasut sukan dipercayai milik kedua-dua mangsa di kawasan kejadian. -{BERNAMA]

DUN Kelantan Lulus Kenaikan Gaji ADUN, Exco

Dewan undangan negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) saraan anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri pindaan 2020.

RUU itu dicadangkan timbalan menteri besarnya, Mohd Amar Abdullah sebagai suatu enakmen dengan tiga kali bacaan.

Mohd Amar (PAS- Panchor) ketika membentangkan cadangan tersebut berkata, pindaan dikemukakan berikutan keadaan terkini yang mencabar kepada anggota-anggota pentadbiran dan Adun.

Ia, katanya, juga bagi menyelaraskan dengan elaun di negeri-negeri lain.

“Selain daripada itu, tugas anggota pentadbiran dan Adun semakin berat dan membawa harapan tinggi daripada rakyat terutama berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian kerajaan mencadangkan pindaan dibuat ke atas RUU berkenaan.

“Adalah diharapkan dengan pindaan ini akan mendorong anggota pentadbiran dan ahli-ahli yang berhormat untuk bekerja lebih gigih dan membantu untuk berkhidmat kepada orang ramai pada tahap yang maksimun,” katanya pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Selepas pembentangan itu Speaker DUN Kelantan, Abdullah Yaakob, memberi laluan untuk cadangan tersebut dibahaskan, namun tiada seorang pun wakil rakyat berbuat demikian sekali gus diluluskan sebulat suara.

Kenaikan itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan. -{Malaysiakini]

2 Helikopter Bertembung, 1 Terhempas

Helikopter yang terhempas berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati di sini, hari ini,dipercayai bertembung dengan sebuah helikopter lain ketika sedang membuat ujian penerbangan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 11.46 pagi.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas.

“Terdapat empat mangsa termasuk seorang wanita. Dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

“Dua mangsa selamat selepas membuat pendaratan cemas di kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba masih menjalankan operasi di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses selanjutnya.

Helikopter yang terhempas (gambar kiri) dan (gambar kanan) helikopter yang melakukan pendaratan cemas di padang sekolah di Taman Melawati, Ampang. Foto Ihsan Pembaca
Helikopter yang terhempas (gambar kiri) dan (gambar kanan) helikopter yang melakukan pendaratan cemas di padang sekolah di Taman Melawati, Ampang. Gambar: myMetro

Tarikh Peperiksaan SPM, STPM, SVM & STAM Dipinda

Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun ini dijadualkan semula ekoran masalah Covid-19.

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata langkah itu diambil selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira situasi semasa dalam negara.

Katanya perkembangan yang ada memang memberi kesan kepada calon peperiksaan berkenaan.

“Mengambil kira situasi semasa, KPM membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.

“Peperiksaan SPM, SVM, dan STAM akan bermula pada 22 Feb 2021, manakala peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

“Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Radzi bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun ini membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Jan 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya.

Menurut naib presiden Bersatu itu juga semua ketetapan berkenaan terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Mengenai kemasukan pelajar ke sekolah khusus seperti termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik, kolej vokasional dan maktab tentera diraja, Radzi berkata, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan tingkatan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

KPM juga, katanya, akan menjadualkan semula peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang memang dijadualkan sehingga Dis ini namun belum diselesaikan.

“Terdapat juga pertanyaan berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021.

“Untuk makluman, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. -{Malaysiakini]

بيدن منڠ ڤيليهن راي اميريک شريکت 2020

Baca versi Rumi di sini.

چالون ڤرتي ديموکرات⹁ جو بيدن برسام-سام چالون ڤاسڠنڽ⹁ کاملا هاريس تله ممناڠي ڤيليهن راي ڤريسيدن اميريک شريکت 2020 ستله مڠالهکن چالون ڤرتي ريڤابليکن⹁ دونلد ترامڤ دالم ڤرتاروڠن سڠيت ترسبوت.

ستله دصاحکن سباݢاي ڤمنڠ بݢي نݢري ڤينسيلۏينيا⹁ بيدن دعمومکن سباݢاي ڤمنڠ ڤيليهن راي ترسبوت اوليه ذى ايسوسييتد ڤريس⹁ دان اکن منجادي ڤريسيدن اميريک شريکت ک-46.

ڤيليهن راي اين تله ممڤرليهتکن ساتو ڤرلاونن کتت دأنتارا کدوا-دوا ڤرتي ترسبوت⹁ سامبيل سلوروه ورݢ اميريک شريکت مننتي-ننتيکن ڤڠعمومن کڤوتوسن ڤيليهن راي يڠ اکن مننتوکن ماد دڤن نݢارا ترسبوت بݢي امڤت تاهون يڠ اکن داتڠ.

والاو باݢايمانڤون⹁ترامڤ تله مندقوا کڤوتوسن ترسبوت سباݢاي تيدق صاح⹁ مڠاتکن بهاوا سباݢاين درڤد اوندي يڠ دکيرا تيدق دکيرا دڠن بتول⹁ دان بلياو باکل کمهکمه اونتوق منچابر کڤوتوسن ڤيليهن راي اين.

بيدن دجڠک اکن مڠاڠکت سومڤه جاوتن سباݢاي ڤريسيدن اميريک شريکت دالم ماس يڠ تردکت.

Biden Menang Pilihan Raya AS 2020

Baca versi Jawi di sini.

Calon Parti Demokrat, Joe Biden bersama-sama calon pasangannya, Kamala Harris telah memenangi Pilihan Raya presiden Amerika Syarikat 2020 setelah mengalahkan calon Parti Republikan, Donald Trump dalam pertarungan sengit tersebut.

Setelah disahkan sebagai pemenang bagi negeri Pennsylvania, Biden diumumkan sebagai pemenang pilihan raya tersebut oleh The Associated Press, dan akan menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-46.

Pilihan raya ini telah memperlihatkan satu perlawanan ketat di antara kedua-dua parti tersebut, sambil seluruh warga Amerika Syarikat menanti-nantikan pengumuman keputusan pilihan raya yang akan menentukan masa depan negara tersebut bagi empat tahun yang akan datang.

Walau bagaimanapun, Trump telah mendakwa keputusan tersebut sebagai tidak sah, mengatakan bahawa sebahagian daripada undi yang dikira tidak dikira dengan betul, dan beliau bakal ke mahkamah untuk mencabar keputusan pilihan raya ini.

Biden dijangka akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat dalam masa yang terdekat.