TERKINI – Ahmad Faizal Letak Jawatan MB Perak

[Berita Harian}- Datuk Seri Ahmad Faizal meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuat kuasa hari ini selari dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pengerusi BERSATU Perak itu, beliau telah menyembah maklumkan mengenai peletakan jawatannya kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam pertemuan di Istana Kinta di sini, hari ini.

“Saya telah jelaskan kepada Tuanku (Sultan Nazrin) apabila BERSATU keluar daripada PH maka tergugurlah kerajaan PH di Perak.

“Maka selari dengan perkara itu saya telah menyampaikan, mempersembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar dan memaklumkan tentang pelucutan semua jawatan Exco serta merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin selama kira-kira sejam.

Selepas kerajaan PH tumbang akhir bulan lalu, muncul landskap politik baharu di Perak.

Kemelut politik di negeri ini berakhir dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada PH semalam bertindak meninggalkan parti masing-masing yang membolehkan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada PH.

Mereka yang terbabit ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai BERSATU, dan yang lain ialah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, kedua-duanya daripada DAP serta ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain dari AMANAH menyertai Bebas.

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul bagaimanapun menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) Perak selaras dengan jajaran politik baharu di negeri ini.

Penyertaan Abdul Yunus ke dalam BERSATU menjadikan parti itu kini mempunyai empat daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, selain Ahmad Faizal (Chenderiang), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Tindakan dua anggota DAP itu keluar parti menyebabkan kerusi yang dipegang DAP dalam DUN Perak berkurang daripada 18 kepada 16, sementara AMANAH pula hilang satu daripada enam kerusi yang dipegangnya dalam DUN Perak.

Exco Nangis, ADUN Kemas Meja: Perak Bakal Tumbang?

Semalam tular sebuah video di media sosial menunjukkan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) merangkap Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menangis teresak-esak sambil mengemas barang-barang di pejabatnya.

Sila baca: Video Exco Perak Menangis Teresak-esak Terpaksa Turunkan Gambar Sendiri

Turut tular ialah rakaman video di mana ADUN Sungkai, Sivanesan Achalingam membidas Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu kerana telah menghilang dan tidak dapat dihubungi.

Beliau yang telahpun mengemas mejanya di pejabatnya, mendesak Ahmad Faizal mengadakan sebuah mesyuarat tergempar bagi menjelaskan kedudukan sebenar kerajaan negeri.

Ekoran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertindak meninggalkan PH, kerajaan PH telah tumbang akibat kehilangan majoriti. PH juga telah hilang majoriti di Johor dan Melaka.

Di Perak, Muafakat Nasional dan PH kedua-duanya mempunyai 28 kerusi manakala PPBM mempunyai 2 kerusi di samping 1 kerusi bebas.

Ini bermakna PPBM merupakan game changer yang akan menentukan masa depan politik negeri Perak.

Ahmad Faizal yang telah berkunjung ke kediaman Tan Sri Muhyiddin pada hujung munggu yang lalu, dilihat sebagai penyokong PM ke-8 dan ramai yang menjangka beliau juga akan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Apakah kerajaan PH di negeri Perak juga bakal tumbang ke tangan Perikatan Nasional seperti Johor dan Melaka?

Video MB Perak: DAP & PKR Tuntut MB Mohon Maaf

[Malaysiakini}- Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkenaan DAP sebagai sangat memalukan.

Malah Farhash berkata pemimpin Bersatu itu tidak layak menjadi menteri besar.

“Silalah bermuhasabah diri dan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sebelum ia mengeruhkan keadaan sehingga memberi impak kepada calon PH Karmaine Sardini dalam PRK Tanjung Piai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, jika Faizal menganggap DAP sebagai musuh dalam kerajaan negeri, beliau tidak seharusnya menjadi menteri besar Pakatan Harapan (PH).

“Mandat yang dikongsi bersama tidak harus dipertikaikan.

“Malah sudah menjadi tugasnya untuk meyakinkan rakyat akan ketelusan pakatan ini. Mengapa masih mahu mengamalkan politik bersifat perkauman yang jijik dalam Malaysia baru?,” soalnya yang juga setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Farhash turut menyifatkan Faizal sebagai “munafik” kerana memperlekehkan menteri PH dan mengutamakan hubungannya dengan anggota Umno, selain mendakwanya “melindungi amalan korupsi rakan-rakannya dalam Umno”.

“(Ia) menjelaskan mengapa wujud pemberian kontrak Marris (Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian) tanpa tender dan isu pembalakan haram melibatkan pencabulan hak Orang Asli yang masih berlarutan.

“Sebelum ini saya pelik mengapa para penasihatnya bagaikan tidak melakukan tugas kerana wujud isu tertangguh seperti lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan di beberapa tempat.

“Namun setelah melihat video tular di mana Faizal dengan berseloroh menghina jemaah menteri kerajaan PH dan menabur fitnah kepada DAP demi memancing undi membuktikan beliau tidak layak menjadi menteri besar,” katanya.

Video itu menunjukkan Faizal dalam satu pertemuan tidak rasmi dengan beberapa individu, termasuk Karmaine. Beliau antara lain bercakap tentang keseorangan dalam berdepan dengan DAP di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.

“Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah… kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya,” katanya.

Beliau juga berkata tidak duduk bersama menteri ketika hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama Umno.

Dalam reaksinya, Faizal berkata rakaman itu diambil di luar konteks dan tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

“Saya telah mengatakan bahawa saya telah melalui banyak perkara di Perak dan terdapat pemimpin DAP cuba memburuk-burukkan saya. Apa yang penting ialah kita semua bekerjasama rapat,” katanya seperti dilapor FMT.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula berkata kenyataan Faizal mungkin pengalaman peribadinya di Perak, dan menyifatkan DAP tetap rakan penting dalam kerajaan negeri itu.

DAP Perak tuntut permohonan maaf

Dalam pada itu, DAP Perak mendesak Faizal agar memohon maaf kepada Majlis Presiden PH berhubung kenyataannya itu.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh berkata kenyataan itu sangat memalukan dan bercanggah dengan permuafakatan dalam PH.

“Kenyataan beliau yang mengangkat pembangkang tetapi memperlekehkan sahabat dalam PH adalah sama sekali tidak boleh diterima .

“Semangat kemuafakatan PH harus didukung pada setiap masa dan Faizal selaku pengerusi PH Perak seharusnya memimpin melalui teladan, bukan sebaliknya,” katanya.