Annuar Musa Tidak Dipecat, Tetapi diGANTI Ahmad Maslan

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa sebenarnya tidak dipecat dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional, namun digantikan dengan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Hal itu dijelaskan Ahmad Maslan ketika ditanya pihak akhbar di Bangunan UMNO sebentar tadi, selepas hal itu kecoh di alam maya apabila akhbar tempatan mula melaporkan perkara tersebut.

Sila baca: Annuar Musa Dipecat Sebagai SUA Barisan Nasional

“Beliau tidak dipecat, beliau diganti. Biasanya Setiausaha Agung UMNO ini juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional. Saya kira itu di antara sebabnya.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Beliau turut menjelaskan bahawa Setiausaha Agung I Muafakat Nasional turut diganti dengannya, kerana Setiausaha Agung bagi Barisan Nasional dan Muafakat Nasional lazimnya adalah Setiausaha Agung UMNO.

“Saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung Muafakat Nasional (bagi menggantikan Annuar Musa). Saya ingin tegaskan ia adalah mengganti. Presiden sebut tadi, perkataannya adalah saya mengganti tugas beliau itu.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Apabila ditanya jika ia berkaitan dengan kecenderungan Annuar Musa kepada menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang merupakan parti pecahan dari UMNO, Ahmad Maslan enggan mengulas apa-apa tentang hal itu.

Untuk rekod, Annuar Musa telah diganti dengan Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO dahulu selepas Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persektuan pada bulan Mac tahun lepas.

Ahmad Maslan juga memaklumkan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ketua-ketua bahagian UMNO melalui usul-usul mereka akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada malam esok.

Sila baca: Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Beliau turut memberitahu bahawa pada jam 5 petang esok, UMNO akan mengadakan mesyuarat biro politik yang melibatkan pengerusi badan-badan perhubungan.

Ahmad Maslan juga ditanya tentang khabar angin bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin UMNO keluar dari kerajaan sebelum bulan Februari, namun beliau kata bahawa itu hanyalah sekadar laporan.

“Itu hanya laporan. Apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi. Jadi keputusan muktamad apa juga yang dibincangkan adalah (pada mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi esok malam.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Ahmad Maslan juga memberitahu bahawa Zahid menyuruh ahlinya bersedia untuk Pilihan Raya dan bahawa itu adalah satu perkara yang mustahak, sebagaimana ucapannya di perasmian Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bagan Datuk baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan Perikatan Nasional merupakan kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis dalam dunia, menjadikannya sebuah kerajaan yang tidak stabil.

“Kerajaan ini sebenarnya betul-betul di atas garisan. Nak menjadi kerajaan di Malaysia ini, kena seratus sebelas campur satu (seratus dua belas), baru boleh jadi kerajaan. Dan kerajaan ini ialah kerajaan seratus sebelas campur satu.

“Bererti dengan lain perkataan sebagaimana saya pernah sebut dalam ucapan-ucapan saya sebelum ini, kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tipis majoritinya dalam dunia. Setakat saya maklum, kerajaan yang paling tipis majoriti dalam dunia.

“Jadi kerajaan ini tidak stabil. Itu kena diakui oleh semua pihak bahawa kerajaan ini tidak stabil.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Annuar Musa Dipecat Sebagai SUA Barisan Nasional

Baca laporan terkini: Annuar Musa Tidak Dipecat, Tetapi diGANTI Ahmad Maslan

BN memecat Anuar Musa sebagai setiausaha agung.

Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan Umno kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Sumber lain memberitahu Malaysiakini, dia akan digantikan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung bersama Muafakat Nasional (MN).

Kata sumber, keputusan itu dibuat selepas pertemuan Umno dengan ketua-ketua bahagiannya di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi ini

Tiada maklumat lanjut setakat ini.

Bagaimanapun Annuar dilihat lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) ketika sentimen berbeza dalam Umno – parti dominan dalam BN.

Malaysiakini sudah menghubungi Annuar dan sedang menungu maklum balasnya.

Semalam, Annuar menegaskan akan mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menolak DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sedia dipecat susulan pendirian itu.

Baru-baru ini, Pemuda Umno Pasir Puteh mengusulkan supaya Annuar dipecat daripada Umno, selepas didakwa tidak menghormati presiden parti serta mendahului keputusan parti.

Usul itu dicadangkan pada mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan, pada Sabtu. -{Malaysiakini]

UMNO & PAS Setuju Daftar Muafakat Nasional

Dua parti Melayu terbesar, Umno dan PAS, bersetuju untuk mendaftarkan kerjasama politik mereka, Muafakat Nasional, selepas Umno mencadangkan hal itu secara terbuka dalam kenyataan baru-baru ini.

Setiausaha agung I dan II gabungan itu, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, mengumumkan kepimpinan kedua-dua parti bersetuju untuk mengorak langkah itu dalam kenyataan hari ini, di sebalik penangguhan jawatankuasa perunding MN yang sepatutnya bertemu semalam.

“Kepimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya hari ini.

Umno mencadangkan kepada PAS supaya mendaftarkan MN sebagai gabungan yang sah ketika mengumumkan ia akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional, yang disertai PAS.

Peneraju PN, PPBM, pada Ogos menyatakan hasrat untuk menyertai MN selepas diundang secara rasmi, namun akar umbi Umno dikatakan tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea itu.

Ketika ini, Umno mempunyai 39 ahli Parlimen manakala PAS pula 18 ahli Parlimen. Lapan wakil rakyat MN memegang jawatan di peringkat eksekutif dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.

Dilaporkan sebelum ini, Umno dengan sejarah sejak 1946 mempunyai lebih 3 juta ahli, manakala PAS yang bertapak 69 tahun lalu mempunyai kekuatan ahli lebih 1 juta, dengan 806,000 daripadanya aktif.

MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin secara rasmi pada 14 Sept 2019, menyusuli kekalahan Umno dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum 2018 di tangan PPBM dan Pakatan Harapan.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, berpendapat cadangan Umno meminta menyegerakan pandaftaran MN ini secara tidak langsung kata dua parti itu kepada PAS, ketika kedudukan kerajaan PN dikatakan semakin tidak menentu susulan pengumuman Umno mempertimbangkan sokongannya.

“Sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN,” katanya. -{Free Malaysia Today]