Gambar & Video Banjir Kilat Kuala Lumpur (17/11/2020)

Hujan lebat bermula jam 4.30 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar pusat bandar ditenggelami air termasuk berhadapan Mindef Jalan Semarak di sini.

Twitter ITIS DBKL melaporkan beberapa jalan utama di pusat bandar ditakungi air menyebabkan trafik sesak dan bergerak perlahan.

Antaranya jalan yang dilaporkan sesak ialah di Jalan Kuching dari Bulatan Kepong ke Bulatan Batu Caves, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Desa Tun Razak ke Bandar Tasik Selatan serta Bandar Tasik Selatan menuju Desa Tun Razak.

“Trafik turut dilaporkan sesak di Jalan Klang Lama, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Kinabalu, Jalan Tun Razak dan Jalan KL-Seremban,” menurut ciapan di Twitter ITIS DBKL hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan turut memaklumkan menerima empat panggilan berhubung banjir Jalan Segambut, Jalan Hang Lekiu, Jalan 21/26 Taman Sri Rampai dan Jalan Keramat.

Menurut kenyataan itu, JBPM KL turut menerima panggilan dua kes pokok tumbang melibatkan Jalan Damansara dan Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas.

“Kesemua kes tidak melibatkan mangsa kecuali bagi kejadian banjir kilat di Jalan Keramat melibatkan dua wanita yang berada di dalam rumah, namun berada dalam keadaan selamat, ” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Facebook Warga Taman Keramat turut berkongsi beberapa video keadaan banjir kilat di hadapan Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa dan AU1 serta Keramat Permai.

Hujan lebat petang tadi turut menyebabkan beberapa kawasan sekitar Rawang turut ditenggelami air termasuk Jalan Welman dan berhampiran tol Rawang. -{Sinar Harian]

Kereta Hanyut Dalam Banjir di USJ

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Hujan lebat selama lebih dua jam semasa orang ramai pulang dari tempat kerja petang ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah USJ 8 dan USJ 12 di Subang Jaya, Selangor yang mengakibatkan beberapa buah kenderaan dihanyutkan air manakala ratusan kenderaan terkandas dalam kesesakan.

Dalam video yang tular dalam laman sosial petang ini, beberapa buah kenderaan hanyut di depan IPD Subang Jaya ekoran kawasan berkenaan yang ditenggelami air sedalam hampir setengah meter.

Kawasan lain yang turut terjejas adalah Persiaran Kewajipan dari USJ menghala ke Puchong, sekitar pusat beli-belah IOI Mall, Da Men Mall menghala ke Subang dan Bandar Utama.

Kejadian turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang selain kesesakan teruk dari kedua-dua arah. – UTUSAN ONLINE

[Gambar] Banjir Kilat Sekitar Kuala Lumpur (25/03/19)

KEADAAN banjir di hadapan LRT Setiawangsa. (Gambar ihsan Berita Harian)

[Berita Harian}- Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) dan bayi perempuan berusia empat bulan diselamatkan, dan sekurang-kurangnya 10 rumah terjejas dalam banjir kilat di Kampung Datuk Keramat, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengerahkan tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat, Titiwangsa dan Jalan Tun Razak ke lokasi sebaik menerima laporan pada jam 4.20 petang.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Pegawai Bomba Kanan Suhaimi Abdul Shukor, berkata beberapa kenderaan turut terjejas akibat banjir kilat dengan air sedalam hampir satu meter.

“Kami menyelamatkan seorang gadis OKU berusia 15 tahun dan seorang bayi berusia empat bulan. Anggota kita turut membantu memastikan sistem saliran berfungsi bagi membolehkan air mengalir dengan baik.

“Operasi berakhir pada jam 5.41 petang apabila keadaan kembali pulih dan banjir surut,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan hujan lebat berserta angin kencang bermula jam 3.30 petang tadi turut menyebabkan beberapa laluan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan kelancaran lalu lintas.

Antara laluan terjejas adalah Jalan Jelatek – Setiawangsa, Jalan Maharajalela, Jalan Kelapa Hijau, Segambut dan Jalan Padang Tembak.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Zon DBKL, Muhamad Irwan Abdullah, berkata pihaknya turut menerima laporan kejadian pokok tumbang dan dahan patah, masing-masing di Jalan Genting Klang arah susur masuk ke Jalan Gombak dan Jalan Sentul.

Gambar Sekitar Banjir Kilat KL – Nov 2018