Belanjawan 2021: Realiti Nombor & Sokongan

Baca versi Jawi di sini.

Negara sedang ternanti-nanti keputusan undian di Dewan Rakyat untuk menentukan keputusan sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan.

Dalam keadaan krisis politik yang belum ada kesudahannya, ramai yang tidak menolak kemungkinan belanjawan ini tidak dapat diluluskan.

Pembangkang telah menyuarakan pendapat mereka di Dewan Rakyat, dan parti-parti yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai suara yang cukup untuk meluluskan belanjawan ini.

Justeru, PN memerlukan sokongan parti-parti lain yang bersama-sama membentuk kerajaan untuk mengundi secara en bloc menyokong Belanjawan 2021.

Namun, yang jelas, jikalau UMNO mengundi secara en bloc sekalipun, kerajaan kini akan kehilangan 2 undi iaitu:

  • Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Hasbullah Osman yang telah meninggal dunia pada 16 November 2020;
  • dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang masih dalam kuarantin kerana pulang ke Sabah baru-baru ini.

Sila baca: Ahli Parlimen Gerik Meninggal Dunia

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan juga dilaporkan sedang menjalani kuarantin. Menurut Malaysiakini, pemimpin pembangkang mendakwa Jeffrey Kitingan sepatutnya tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada hari tersebut.

Dakwa mereka, tempoh kuarantin Jeffrey Kitingan sepatutnya berakhir paling awal pada 26 Nov ini, memandangkan beliau masih berada di Sabah pada 12 November 2020.

Maka, jika Jeffrey Kitingan tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat, kerajaan akan kehilangan 3 undi.

Pembangkang bersuara tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini. Tambahan pula, terdapat kekangan masa, bilangan Ahli Parlimen yang dapat berada di dalam dewan serta cara perbahasan dilaksanakan kerana mematuhi SOP yang ditetapkan.

Antara isu yang hangat dipertikaikan pembangkang ialah peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Malah, dalam blok kerajaan sendiri pun, ada pemimpin UMNO yang meminta perkara ini diperjelaskan dengan telus kepada dewan dan rakyat, memandangkan ianya melibatkan jumlah wang negara yang sangat besar pada saat rakyat sedang terdesak.

Daripada tulisan dan komen di pelbagai media sosial, ramai dalam kalangan rakyat mencadangkan agar dana itu disalurkan kepada rakyat yang susah untuk meneruskan kehidupan, khasnya golongan B40 yang semakin bertambah dari hari ke sehari; serta untuk menjana ekonomi negara, memerangi Covid-19 dan memastikan kerajaan mampu menyediakan vaksin untuk semua rakyat.

Ramai rakyat telah hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja serta ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar. Tidak kurang juga bilangan rakyat yang pendapatan mereka kini berkurangan; ada yang dikurangkan gaji, manakala ramai peniaga yang kini hasil jualan mereka menyusut teruk.

Hubungan PN dengan UMNO kini sering diperkatakan oleh rakyat. Malah pemimpin mereka secara terang-terangan membuat berbagai-bagai kenyataan yang menzahirkan keadaan tersebut.

Tidak seperti kerajaan-kerajaan terdahulu iaitu Perikatan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bilangan Ahli Parlimen PN tidak cukup untuk mendapatkan majoriti mudah di Dewan Rakyat. Oleh itu PN mengharapkan sokongan BN dan GPS.

Secara teknikalnya, parti-parti ini mempunyai budi bicara sendiri dalam menentukan sokongan mereka kepada apa sahaja usul yang dibentangkan. Tambahan parti-parti ini harus memperjuangkan kebajikan penyokong mereka hasil daripada setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan dan Pontian, Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Maslan berkali-kali bercakap tentang sokongan bersyarat mereka, iaitu berkaitan isu KWSP dan moratorium.

Tengku Razaleigh Hamzah pula mengumumkan tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan melainkan setelah kerajaan menyelesaikan beberapa perkara, kerana amanah pada sumpah jawatan yang telah beliau lafazkan.

… saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan. Maka itu saya tidak dapat mengambil bahagian dlam perbahasan belanjawan ini.

Tengku Razaleigh Hamzah – 19 November 2020

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adakah PN mahu melihat UMNO sebagai kingmaker dalam menyelesaikan kemelut isu Belanjawan 2021?

Sokongan Ahli Dewan Rakyat UMNO secara en bloc adalah penting, terutamanya UMNO mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berbanding parti-parti lain yang membentuk kerajaan PN.

Jika Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan, maka ianya akan menjadi sejarah sebagai belanjawan pertama yang gagal diluluskan dalam sejarah negara. Perkara ini sudah tentu akan menjejaskan kedudukan kerajaan PN.

Apakah perkembangan landskap politik negara seterusnya?