Ku Li: PPBM Tak Layak Jadi Pakatan Melayu-Islam, Ahli UMNO Perlu Undur Dari Kabinet

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan dengan meminta ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Parti Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata pengumuman Bersatu dengan sendirinya telah menghilangkan kelayakan parti tersebut sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.

“Kita UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PN sekarang ditubuhkan pada 29 Feb, atas dasar sokongan beberapa parti politik iaitu Bersatu, UMNO dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Penubuhan kerajaan itu berlaku apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) hilang sokongan suara dalam Parlimen berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac dan membentuk kabinetnya pada 10 Mac.

Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan PAS pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.  

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Tengku Razaleigh berkata ahli-ahli UMNO berkenaan perlu bertindak cepat bagi membolehkan UMNO menumpukan perhatiannya kepada penyelesaian masalah golongan muda mencari pekerjaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19.

Seramai sembilan Ahli Parlimen daripada UMNO berada dalam kabinet kerajaan PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh anggota Parlimen daripada UMNO iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I  Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datin Mastura Mohd Yazid, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin. —{BERNAMA]

Seorang Ditahan Pasang Jalur Gemilang Terbalik di Johor

Seorang wanita warga tempatan ditahan kerana dipercayai memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berumur 55 tahun itu, yang juga pemilik premis berkenaan ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat pada hari sama.

Sila baca: “Jika Ada Lagi Kes Bendera, Saya Akan Tangkap Lagi” – Datuk Ayob Khan (Video)

“Hasil siasatan mendapati premis ini menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2017 hingga hujung Disember 2019 dan tidak lagi beroperasi sejak Januari tahun ini.“Pemasangan bendera terbalik ini adalah sejak premis beroperasi iaitu pada tahun 2017 sehingga aduan dibuat oleh orang awam. Kenapa baru sekarang dilaporkan? Saya fikir kerana kesedaran orang ramai mulai meningkat sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata turut dirampas adalah sehelai Jalur Gemilang.

Menurut beliau, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Lambang & Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. —{BERNAMA]

Isu PATI: NGO Perlu Turun Padang, Kerjasama Dengan NTF – Aris

Pihak badan bukan kerajaan (NGO) disaran turun padang untuk melihat sendiri implikasi negatif pencerobohan pendatang tanpa izin terutamanya dalam aspek kedaulatan negara, dan bukan sekadar lantang memperjuangkan hak pendatang tanpa izin serta kemanusiaan di media sosial.

Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata ia pastinya akan membuka mata masyarakat dalam memberikan gambaran sebenar impak negatif kemasukan pendatang tanpa izin terhadap negara kerana pihak NGO mempunyai khalayak penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Beliau berkata NGO perlu merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan dan tidak menularkan berita tidak tepat kerana ia mengundang persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

“Selain itu, sebagai entiti (NGO) yang didengari di persada antarabangsa, pihak NGO diseru meraih perhatian komuniti antarabangsa terutamanya negara jiran agar bekerjasama menangani masalah pendatang tanpa izin secara bersepadu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF, di sini, baru-baru ini.

Aris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir NGO yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial berhubung kaedah dan langkah kerajaan dalam mengendalikan pendatang tanpa izin.

“NGO perlu mengetahui bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dan perlu memberi pelindungan kepada rakyat daripada segala bahaya termasuklah wabak COVID-19. 

“Sebenarnya objektif NTF dan NGO adalah sama dan ia bukan persaingan siapa suara lebih lantang, kita boleh bekerjasama cuma keutamaan berbeza yang beruniform ada misi mereka manakala NGO mempunyai penyokong serta mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Aris berkata NTF tidak sewenang-wenangnya mengusir pendatang tanpa izin memandangkan golongan ini mempunyai pelbagai taktik bagi memastikan diri mereka tidak dihantar pulang sekiranya ditahan. 

“Saya ingin mengambil contoh kes penangkapan Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, bot yang membawa 269 pendatang tanpa izin bersama mayat seorang wanita itu didapati sengaja dirosakkan menyebabkan NTF menerusi keputusan Majlis Keselamatan Negara tidak meneruskan pengusiran,” katanya.

Beliau berkata disebabkan itu, Malaysia terpaksa menanggung beban untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan menyediakan tempat tahanan sementara untuk mereka di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Sebelum ketibaan pendatang tanpa izin ini di perairan negara mereka perlu melalui beberapa negara tetapi mengapa NGO-NGO ini tidak menyalahkan negara serantau kerana tidak mengambil tindakan awal seperti menyekat bot-bot asing ini?

Setelah tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan, NGO-NGO berkenaan lantang bersuara mengenai kemanusiaan dan menidakkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial terdapat beberapa NGO dilihat mempersoal dan menyalahkan kaedah dan langkah pihak kerajaan dalam menguruskan pencerobohan pendatang tanpa izin. -{BERNAMA]

Sultan Nazrin tegur sifat kaduk naik junjung sebahagian ahli politik

UTUSAN ONLINE – IPOH 1 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menegur tindakan segelintir pihak termasuk pemimpin yang bersaing mempamerkan ego masing-masing sehingga sanggup merendahkan nilai diri demi mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.

Baginda bertitah, suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hari semakin dipanaskan dan dilakukan oleh pemimpin politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

“Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.

“Perbuatan mengata dulang paku serpih melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara,” titah baginda pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1441H/2019 di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Dikenali sebagai raja yang sering ‘menjentik’ pemimpin jika ada yang tidak kena Sultan Nazrin bertitah, setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin diucapkan.

Titah baginda pelbagai provokasi secara keterlaluan dilakukan antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad.

“Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.

“Sedarilah! Serpihan daripada letupan bom jangka ini tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah Sultan Nazrin.

Titah baginda kebenaran fakta dan kesahihan berita kini tidak dipentingkan, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri termasuk dalam kalangan terpelajar sehingga minda rakyat semakin diracuni dan menjadi terlalu taasub serta berfikiran tertutup.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah setiap insiden daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah atau majikan di pejabat, warna baju pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama.

“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan. Majoriti rakyat di negara ini cintakan keamanan. Mereka semakin resah, semakin gelisah, bimbang dan takut,” titah Sultan Perak.

Baginda bertitah suhu panas itu wajib segera diturunkan dan perbuatan menyalakan api perkauman, meniupkan bara permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah.

Titah baginda undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa dan harta benda rakyat yang tidak berdosa terjamin serta dilindungi.

Mengakhiri titah, Sultan Nazrin turut memanjatkan doa agar Malaysia diamanahkan dengan pimpinan yang amanah, ikhlas, membawa suara kesederhanaan, suara munasabah, suara rasional dan suara persaudaraan agar rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini hidup rukun serta harmoni. – BERNAMA

[Gambar] Ribut Melanda Perlis, Kedah dan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) — Hujan lebat, angin kencang serta ribut melanda beberapa kawasan utara Semenanjung iaitu di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, malam ini, mengakibatkan banyak kerosakan terhadap harta benda, dan juga kejadian pokok tumbang dilaporkan di merata tempat.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran ribut menyeluruh yang dikeluarkan pada 10.10 malam tadi meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga pukul 2.00 pagi ini (Sabtu, 10 Ogos 2019).

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. 

Di PULAU PINANG, angin yang bertiup kencang bermula kira-kira pukul 10.00 malam diikuti hujan lebat di seluruh negeri menyebabkan kes-kes pokok tumbang merentangi jalan raya dilaporkan di beberapa lokasi di George Town, Seberang Perai dan juga Balik Pulau, sehingga ada yang menghempap kenderaan dan ada juga yang menghalang lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata setakat ini lima orang dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Kesemua mereka adalah penduduk di kawasan Bagan, berikutan bumbung rumah serta gerai tempat mereka berniaga diterbangkan ribut dan terkena mereka. Mereka mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan dan kepala,” katanya di sini malam ini.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut berkenaan.

Jabatan itu turut menerima laporan kejadian pokok tumbang sekitar jalan Paya Keladi, Kepala Batas, Lahar Yooi, Pokok Sena, Tasek Gelugor, Penaga, Bertam dan Kepala Batas di bahagian Seberang Perai manakala di bahagian pulau pula melibatkan Persiaran Gurney, Tanjung Bungah, Jalan Baharu Balik Pulau, Batu Feringghi dan Bayan Lepas.

Di PERLIS, hujan lebat disertai angin kencang melanda hampir sejam sehingga mengakibatkan banyak bangunan, kediaman, premis perniagaan serta khemah peniaga rosak.

Turut dilaporkan beberapa kejadian pokok tumbang serta kabel elektrik melintang di tengah jalan raya di samping berlaku beberapa kemalangan kecil.

Tinjauan Bernama mendapati gerai dan khemah di Dataran 350 di Kangar yang didirikan untuk peniaga sempena Hari Raya Haji musnah dipukul angin kencang.

Di KEDAH, laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Kedah menyatakan bahawa lapan daerah di Kedah yang terdiri daripada Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Yan, Padang Terap, Kulim, Sik dan Langkawi, dibadai ribut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata setakat ini 23 panggilan mengenai kejadian pokok tumbang diterima pihaknya.

Berdasarkan laporan awal, beliau  berkata Langkawi dan Alor Setar adalah kawasan yang terjejas teruk akibat kejadian itu, namun pihaknya belum menerima maklumat lengkap mengenainya.

Di Langkawi, laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Langkawi menyatakan ribut membadai di enam mukim di pulau peranginan itu iaitu Kedawang, Bohor, Padang Maksirat, Ayer Hangat, Kuah dan Hulu Melaka.

Kejadian itu menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan ditimpa pokok, selain beberapa jalan utama terhalang oleh pokok tumbang.

— BERNAMA

Gambar – Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI

KUALA LUMPUR 30 Julai – Istana Negara hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.

Ketibaan Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.

Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara juga membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu yang istimewanya juga jatuh pada hari keputeraan Seri Paduka yang ke-60.

Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet, selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan.

Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu ‘Raja Bertabal’, diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat.

Sultan Abdullah kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat.

 

Usai doa, naskhah al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan 6 Jan lalu.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan. – BERNAMA

Rencana berkaitan

Gempa Lombok 7 Skala Richter: Kedutaan Besar Malaysia Buka Bilik Operasi

Antara kediaman ranap di Lombok Timur akibat kesan gempa bumi melanda Pulau Lombok, Indonesia. (Gambar ihsan Berita Harian)

Liputan6.com, melaporkan satu gempa bumi dengan kekuatan 7 Skala Richter telah menggoncang Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat lewat petang tadi.

Menurut Okezone News, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menjelaskan akibat gempa bumi tersebut, kejadian tsunami telah dikesan di  Carik pada pukul 18.48 Waktu Indonesia Barat (WIB) dengan ketinggian 0.135 meter, di Badas pada pukul 18.54 WIB dengan ketinggian 0.100 meter dan di Lembar  pada pukul 19.27 WIB dengan ketinggian 0. 090 meter.

Menurut BMKG lagi, gempa bumi yang memiliki kedalaman 15 km itu berlaku di 27 kilometer Timur Laut Lombok Utara di Nusa Tenggara Barat.

BERNAMA melaporkan Kedutaan Besar Malaysia mengeluarkan kenyataan:

“Kedutaan Besar Malaysia kini mengaktifkan Bilik Operasi dan rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 8138081 3036 (Whatsapp) serta emel mwjakarta@kln.gov.my / jkonsular@gmail.com,” – Kedutaan Besar Malaysia.

Menurut BERNAMA lagi, Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan, ketika dihubungi berkata kedutaan sedang menyelaras tindakan dengan bekerjasama bersama polis Indonesia dan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) bagi mengenalpasti sekiranya ada rakyat Malaysia yang terbabit akibat gempa itu.

Perlantikan Peguam Negara: Agong Dukacita Laporan Tidak Tepat & Negatif Media

Sila klik gambar untuk imej yang lebih besar.

Berita Harian melaporkan bahawa satu kenyataan media bertarikh 4 Jun telah dihantar Istana Negara kepada BERNAMA awal pagi ini yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Kenyataan media itu menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

Kenyataan media itu juga menegaskan bahawa Seri Paduka Baginda menitahkan Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam.

DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Wan Ahmad Dahlan berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa Malaysia Henti Tuntutan Semula Pulau Batu Puteh?

Saya merasa sangat sedih apabila membaca berita ini, lebih sedih lagi kerana ada di kalangan kita yang tidak ambil peduli dan tidak merasa terkesan berkenaan hal ini walaupun ianya membabibitkan kedaulatan negara kita.

Persoalannya, kenapa kerajaan Malaysia “tidak akan meneruskan” tuntutan semula Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca?


[BERNAMA}- SINGAPURA – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memaklumkan kepada Singapura bahawa prosiding tidak diteruskan dalam dua kes dikemukakan Malaysia terhadap republik itu berhubung Penghakiman asal pada 2008 dalam kes membabitkan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, menurut Kementerian Luar Singapura.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, kementerian itu berkata bahawa Malaysia telah memaklumkan kepada ICJ pada 28 Mei, 2018 bahawa ia tidak akan meneruskan prosiding yang dimulakannya sebelum ini.

“Singapura memaklumkan kepada ICJ pada 29 Mei 2018 bahawa ia bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk tidak meneruskannya.

“Sebelum itu, Peguam Cara Malaysia telah menulis surat untuk memaklumkan kepada Peguam Negara Singapura berhubung hasrat Malaysia untuk tidak meneruskan prosiding itu dan Peguam Negara Singapura telah menjawab bagi memaklumkan akan persetujuan Singapura,” kata kementerian itu.

Kes pertama membabitkan permohonan Malaysia bagi semakan semula Penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 61, Statut ICJ, yang difailkan pada 2 Feb, 2017.

Kes kedua membabitkan permohonan Malaysia bagi interpretasi Penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 60, Statut ICJ, yang difailkan pada 30 Jun, 2017.

Dalam surat bertarikh 29 Mei, 2018, kenyataan itu berkata ICJ memaklumkan kepada Malaysia dan Singapura bahawa Mahkamah telah merekodkan untuk tidak diteruskan, dengan persetujuan Pihak-Pihak, prosiding yang dimulakan pada 2 Feb, 2017 dan 30 Jun, 2017 oleh Malaysia terhadap Singapura, dan mengarahkan supaya kes itu dikeluarkan daripada Senarai Mahkamah.

GEMPAR: Rahsia Di Dalam Peti Besi Najib Terbongkar!!

[BERNAMA}- Sebuah peti besi di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini telah berjaya dibuka dan di dalamnya tersimpan mata wang asing lama yang kecil jumlahnya.

Jurucakap bekas perdana menteri, dalam kenyataan lewat malam ini, berkata ia turut mengandungi beberapa dokumen termasuk sijil perkahwinan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Ia merupakan sebuah peti besi yang berusia lebih 20 tahun dan dibuka secara paksa kerana kuncinya telah hilang,” katanya.

Menurutnya, peti besi itu terpaksa dibuka menggunakan kepakaran tukang kunci.

Jurucakap itu seterusnya berkata peti besi di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya merupakan sebahagian daripada rumah berkenaan…..

| Baca seterusnya: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1465298

%d bloggers like this: