Takiyuddin: Kerajaan Mungkin Nasihat Agong Isytihar Darurat Jika Perlu

Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Sarawak sekiranya perlu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dipertimbangkan sekiranya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) semakin bertambah memandangkan kedua-dua kawasan itu bakal berdepan pilihan raya dalam sama terdekat.

“Dalam Artikel 150 jelas Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk adakan proklamasi darurat seluruh negara atau mana-mana bahagian.

“Sekiranya dirasakan perlu mungkin kerajaan akan fikirkan. Kalau tak keseluruhan, mungkin mana-mana bahagian,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung sama ada bercadang untuk menghadap Al-Sultan Abdullah sekali lagi bagi mendapat perkenan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu seperti Batu Sapi dan Sarawak.

Menurut Takiyuddin, secara asasnya dari segi Perlembagaan pengisytiharan darurat adalah dibolehkan. -{Sinar Online]

UMNO Tolak Syor Rais Yatim Cadang Semula Darurat Kepada Agong

Baca versi Jawi di sini.

Umno menolak syor Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim supaya kerajaan mencadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat.

Seorang anggota majlis tertinggi (MT) Umno yang enggan namanya disiarkan berkata, usaha mendapatkan pengisytiharan darurat sekali lagi adalah tidak selaras dengan pendirian parti itu.

“Tindakan Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang meminta kerajaan meneruskan cadangan darurat adalah satu tindakan yang tidak mementingkan rakyat.

“MT tegas untuk menolak mana-mana tindakan yang akan menjejaskan keselamatan rakyat dan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia,” kata pemimpin berkenaan.

Semalam Rais dalam satu laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengesyorkan agar pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 dicadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Rais berkata, sangat mustahak untuk rakyat menghormati keputusan Seri Paduka yang menolak cadangan tersebut tetapi penting juga untuk mengasingkan antara isu kesihatan dan politik.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang meningkat serta situasi ekonomi rakyat yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak berkuasa menyembah jelaskan kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima apa-apa fakta tambahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat harus menghormati titah Seri Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks pentadbiran darurat tidak disalahertikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong mesti bertindak atas nasihat kabinet kecuali jika diperuntukkan oleh perlembagaan.

Rais mengatakan perkara itu jelas dan tidak memerlukan “interpretasi yang bukan-bukan”.

Bagaimanapun pengkritik berkata Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama dengan Perkara 150 (1) yang mengatakan Agong harus berpuas hati bahawa ada keperluan untuk meminta darurat.

Semalam presiden Umno, Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata “Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas untuk menjaga kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan rakyat.”

Ditanya apakah ‘tindakan’ berkenan, sumber tersebut menjawab: “Ada banyak option kalau kerajaan tidak menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia”.

Umno sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional susulan hubungan yang tegang dalam gabungan itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi meminta darurat diisytiharkan, yang dikatakan bagi menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat langkah itu bertujuan mengelakkan kerajaan tewas dalam undi Belanjawan yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan. 

Pada masa ini Muhyiddin mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat dan sekiranya tewas dalam undian Belanjawan, perkara itu boleh menyebabkan kerajaan tumbang dan pilihan raya mengejut diadakan.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa sebelum ini memberi bayangan bahawa darurat adalah jalan terbaik untuk mengelakkan PRU ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara. -{Malaysiakini]

PM Panggil Semua MB, KM Untuk Bermesyuarat, Setelah Agong Umum Tiada Darurat

Pembantu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menjemput Amirudin ke mesyuarat esok.

Perkembangan itu hadir selepas Istana Negara petang ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memutuskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat.

Pembantu Amirudin itu mengesahkan pertemua berkenaan sebagai mengulas laporan yang mengatakan Muhyiddn akan memanggil mesyuarat di Putrajaya esok dengan semua ketua menteri dan menteri besar negeri.

“Menteri besar telah dijemput dan akan hadir esok,” kata pembantu itu ketika ditanya oleh wartawan mengenai mesyuarat berkenaan.

Pejabat Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu juga mengesahkan pertemuan itu akan berlangsung pada pukul 9.30 pagi esok. -{Malaysiakini]

Agong: Tiada Keperluan Isytihar Darurat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Kenyataan tersebut diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sebentar tadi melalui sebuah kenyataan rasmi.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala kelakuan politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara, dan berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonominegara.Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, rakyat Malaysia mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 ini.

Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Terkini: Kabinet Setuju Darurat

Baca versi Jawi di sini.

Baca berita terkini di sini: Muhyiddin Tinggalkan Istana, Selesai Mengadap Agong

Kabinet bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” bagi menangani penularan Covid-19.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

“Tunggu pengumuman,” kata seorang menteri yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi Malaysiakini.

Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.

Sementara itu, memetik sumber, The Malaysian Insight melaporkan perkataan “darurat” itu harus dipakejkan semula supaya tidak mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat.

“Mereka tak akan panggil darurat, tetapi nama baru lain. Sesuatu yang berkaitan dengan Covid-19,” menurut sumber itu.

Malaysiakini difahamkan Muhyiddin dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan baginda.

Bagaimanapun, perkara ini masih tidak dapat disahkan.

Sementara itu, PN BBC Portal melaporkan kerajaan akan mengumumkan “darurat kesihatan” dalam tempoh terdekat bagi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan Covid-19.

Memetik sumber, portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata Muhyiddin sudah mendapatkan pandangan polis, tentera, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya -{Malaysiakini]

Akhbar Utama Mula Membincangkan Spekulasi Darurat: Adakah Benar?

Dipetik dari laporan Malaysiakini[1].


Spekulasi kerajaan akan meminta Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat semakin mendapat perhatian, malah ia dikuatkan lagi dengan laporan beberapa media termasuk dari arus perdana.

Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, belum ada petanda dari Putrajaya bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengambil tindakan sedemikian.

Pengisytiharaan darurat dikatakan pilihan terbaik bagi kerjaan dalam menangani wabak Covid-19 ketika ini.

Namun, ia juga dianggap sebagai jalan bagi Muhyiddin untuk tidak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan, jika dia tidak mempunyai majoriti dari Dewan Rakyat.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan akan ditangguhkan, sekali gus mengenepikan keperluan untuk mengundi.

Pakar Perlembagaan Shamrahayu Aziz dilihat turut membicarakan isu tersebut dengan membangkitkan 15 soalan beserta jawapan mengenai fakta perundangan berkenaan darurat.

Hantaran tersebut juga turut diterbitkan semula oleh agensi berita arus perdana, Bernama dan Astro Awani, sekaligus menjadikannya tular di media sosial.

Dalam catatan yang sama, ulang kicau pengacara Lim Wei Jit mengenai keprihatinannya juga tular secara meluas.

Lim berkata keadaan darurat akan menakutkan pelabur dan memberikan kuasa eksekutif untuk membentuk undang-undang ordinan yang boleh melanggar Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia tanpa melalui Parlimen.

Sementara itu, MalaysiaNow juga dilaporkan menerbitkan artikel yang memetik sumber-sumber mengatakan bahawa kabinet akan mempertimbangkan selepas rayuan ‘beremosi’ pegawai atasan untuk kestablian politik ketika kematian Covid-19 meningkat.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat kabinet khas hari ini, dipercayai akan membincangkan belanjawan 2021 dan keadaan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pertemuan hari ini juga turut mengundang spekulasi akan berlaku rombakan kabinet ekoran pengumuman presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa partinya akan memperkuat kerjasama dengan Perikatan Nasional Muhyiddin, seminggu setelah mengancam untuk menarik sokongan.

Terdapat juga spekulasi bahawa Umno mahu jawatan menteri kanan termasuk timbalan perdana menteri.

Namun, sumber-sumber rapat Malaysiakini tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa pengisytiharan darurat atau rombakan sedang dijalankan.

Apa itu pengisytiharan darurat?

Darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Menurut Shamrahayu, darurat boleh diisytiharkan semasa Parlimen sedang bersidang atau setelah dibubarkan dan ia tidak akan mengakibatkan Dewan digantung jika belum dibubarkan.

Namun, sekiranya Parlimen tidak bersidang atau dibubarkan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat.

Menurut Shamrahayu, kuasa perundangan akan dikembalikan ke Parlimen jika bersidang semasa darurat.

Keadaan darurat boleh diisytiharkan di seluruh negara atau di mana-mana kawasan Persekutuan.

Sekiranya darurat di seluruh negara diisytiharkan, tidak ada pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari Parlimen dibubarkan.

Muhyiddin kini mentadbir kerajaan persekutuan dengan hanya majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim bulan lalu mendakwa mempunyai majotiti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru dan dipercayai dengan sokongan ahli parlimen Umno.

Umno juga minggu lalu dilaporkan sedang menimbang untuk menarik sokongan dari PN.

Bagaimanapun, Zahid mengambil langkah mengumumkan gencatan politik dan susulan Covid-19 dan menegaskan menyokong kerajaan PN.

Zahid berkata, Umno juga mendokong kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.

Ini berlaku seminggu setelah Umno mengancam untuk menimbang menarik sokongannya kepada PN.

Sehingga tengah hari semalam, terdapat 8,183 kes Covid-19 yang aktif dilaporkan dalam negara.