Sambutan Ramadhan Tidak Harus Terhad Pada Orang Islam Sahaja: Menteri Agama

Baca versi Jawi di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, meminta rakyat Malaysia agar bersabar sepanjang bulan Ramadhan yang akan kita sambut dalam masa terdekat ini.

Beliau mengingatkan seluruh warganegara tentang “the new normal” atau kebiasaan baharu yang disebut Perdana Menteri, dan menekankan bahawa rakyat Malaysia haruslah menyambut bulan Ramadhan dengan kebiasaan baharu ini.

“Kita bakal menyambut Ramadhan dengan new normal. Sudah pastinya agak sukar bagi kita dalam membiasakan satu perkara yang tidak biasa. Namun saya yakin ada hikmahnya.”

Ini termasuklah dari segi ibadat dan kehidupan seharian, di mana umat Islam kebiasaannya ke masjid untuk menunaikan solat jemaah, tetapi tahun ini masjid-masjid tidak dibenarkan untuk dibuka bagi membendung wabak Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa perkara ini tidak menghalang umat Islam untuk beribadat, tetapi ia adalah bagi menjaminkan keselamatan seluruh warga Malaysia agar terbendung dari wabak Covid-19.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan bersedekah, dan amalan sedekah itu bukan sahaja terhad kepada umat Islam sahaja, tetapi orang Islam juga digesa untuk bersedekah kepada rakan-rakan bukan Islam dan orang bukan Islam juga digalakkan untuk turut bersedekah dalam apa jua bentuk.

Encik Ali boleh tempah nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Aunty Tam boleh tempah KFC (ayam goreng) sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah nasi kerabu sedekahkan kepada Uncle Muthu. Ramadhan adalah bulan sedekah, dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja sekeliling kita.

Beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk jangan membazir, dan untuk makan dan minum seadanya.

Menjawab soalan yang sering ditanya orang iaitu apakah yang harus dibuat sepanjang hari semasa PKP di dalam bulan Ramadhan ini, Datuk Zulkifli mengsyorkan semua untuk melakukan ibadat di rumah atau tempat masing-masing bagi memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini.

Pekerja barisan hadapan atau frontliners diingatkan untuk terus beribadat sekadar yang mampu, dan mereka diwajibkan untuk terus berpuasa, melainkan jika dikhuatiri akan menjejaskan fokus mereka di dalam pekerjaan mereka, maka adalah harus bagi mereka untuk berbuka dengan lebih awal dan menggantinya pada hari lain.

“Kepada ‘frontliners’, sesibuk manapun anda jangan lupa untuk bersahur. Pada sahur itu ada barakahnya … Anda perlu kuat untuk kami demi negara…

“Sepanjang Ramadhan mungkin ada yang kepenatan berkerja terutamanya ‘frontliners’ yang kita kasihi. Puasa tetap wajib mengikut kemampuan, tetapi diharuskan berbuka puasa apabila tak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut, atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadat puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit.”

Silaturrahim juga harus dieratkan seperti biasa, dengan teknologi yang wujud rakyat Malaysia boleh berhubung dengan keluarga di kampung atau sahabat-sahabat mereka dengan menggunakan panggilan video tidak kira di mana jua mereka berada.

Kerajaan menerusi keputusan kabinet telah besetuju untuk menubuhkan dapur it’am, di mana masjid-masjid akan memasak untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Cara yang dibuat adalah, walaupun masjid terus ditutup dan dikunci, tetapi 6 petugas terpilih yang mana jaraknya dijaga, berpakaian topeng muka dan lain-lain, serta menggunakan pensanitasi tangan, akan memasak makanan dan akan membungkusnya selepas waktu Asar untuk diagihkan kepada rumah-rumah di kawasan sekeliling.

Ini adalah bagi menggantikan jamuan berbuka puasa beramai-ramai yang sering diadakan di setiap masjid dan surau selama ini.

Kerajaan telah menganggarkan bahawa bagi program ini kerajaan hanya akan belanja lebih kurang RM2.16 juta bagi tempoh 30 hari dengan bajet RM1,100 di setiap 72 masjid yang dipilih, maka setiap hari 25,200 keluarga akan diberi makanan iaitu lebih kurang 3 juta individu berkeperluan bagi tempoh sebulan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bazar Ramadhan tidak dibenarkan untuk beroperasi pada tahun ini, dan sebaliknya rakyat boleh membeli makanan melalui perkhidmatan penghantaran ke rumah daripada kedai-kedai dan restoran yang menyediakan makanan untuk berbuka.

Beliau turut menegaskan bahawa ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang senang, di mana jika wujud halangan atau sesuatu yang berbahaya, Islam tidak memaksa umatnya untuk beribadat hingga membahayakan diri, tetapi sebaliknya sentiasa mempunyai jalan alternatif di mana jua.

“Sifat agama Allah ini adalah mudah. Ia tidak membebankan dan tidak memberatkan… Allah tidak mentaklifkan kepada seseorang melainkan dalam ruang lingkup kemampuannya.”

Menteri: Solat Jemaah, Jumaat Ditangguh 10 Hari

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad mengumumkan bahawa semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat bakal ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Jelasnya, perkara itu dinyatakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac lalu.

“Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac 2020.

“Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

“Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas jumlah kes Covid-19 meningkat mendadak semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad mengumumkan bahawa semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat bakal ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Jelasnya, perkara itu dinyatakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac lalu.

“Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac 2020.

“Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

“Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas jumlah kes Covid-19 meningkat mendadak semalam. -{Malaysiakini]

Covid-19: Solat Jumaat Boleh Tidak Dilakukan, kata Menteri Agama

[Free Malaysia Today}- Solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan sekiranya keadaan wabak koronavirus Covid-19 merebak tanpa terkawal menurut Kementerian Kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad.

“Tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli menjelaskan terdapat beberapa garis panduan dalam hal itu, pertama sekali larangan perlu dikeluarkan oleh pemerintah berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

Seterusnya, larangan tersebut termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan rasmi atau tidak, wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai disahkan positif Covid-19, dan pihak bertanggungjawab sudah menjalankan pemeriksaan yang rapi jemaah yang menghadiri masjid atau surau dalam tempoh jangkaan penularan wabak.

Terdahulu, Zulkifli pada satu sidang media memaklumkan Jabatan Perdana Menteri sudah menyediakan 5 kertas kerja berkaitan Covid-19 bagi solat Jumaat dan aktiviti keagamaan untuk dibentang di Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Perbincangan mengenai kertas kerja itu, yang juga memasukkan panduan berkaitan, akan diputuskan dalam masa 2 atau 3 hari lagi.

Sebuah badan pemikir, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa rumah ibadat, termasuk surau, masjid, kuil dan gereja supaya tidak mengadakan perhimpunan dan majlis keagamaan besar susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan.

Perkembangan ini selepas pihak berkuasa mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di sebuah masjid antara kes Covid-19 terbaru, dan pihak berkuasa sedang menjejaki ribuan peserta lain.

Agihan Daging Korban Pada Bukan Islam – Apa Kata Mufti?

Hari Raya Aidiladha semakin hampir, dan pada hari tersebut umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan mengadakan solat sunat Aidiladha, dan kemudiannya diikuti dengan ibadah korban.

Ibadah korban ini cukup besar pahalanya dan merupakan salah satu sunat muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan bagi umat Islam.

Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadat ini, dapat membersihkan jiwa kita dan dapat kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Seperti yang kita ketahui, hukum korban menetapkan sebahagian besar daripada daging yang kita korbankan adalah untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan, yang termasuk di dalam golongan asnaf.

Namun sejak kebelakangan ini, satu persoalan yang sering timbul menjelang kedatangan hari yang penuh barakah ini ialah soalan sama ada daging korban hanya boleh diberikan kepada umat Islam sahaja atau pun boleh juga diberikan kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Ramai yang menyoal apakah hukumnya jika kita agihkan daging korban kepada orang-orang bukan Islam yang termasuk di dalam golongan yang memerlukan?

Malah tidak kurang juga yang berbahas dan memberi berbagai pendapat mereka sendiri tentang persoalan ini, terutamanya di media sosial.

Namun dalam menentukan hukum, kita tidak boleh membuat fatwa sendiri tetapi kita mesti merujuk kepada mereka yang alim dan ditauliahkan untuk mengeluarkan fatwa, jika di Malaysia kita perlu merujuk kepada mufti-mufti negeri.

Mufti bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, Tan Sri Harussani Zakaria yang merupakan seorang mufti kanan dan sangat dihormati telah mengeluarkan kenyataan bahawa daging korban tidak harus diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadat korban adalah perkara `ta’abbudiy’  iaitu hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Menurut beliau, fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa.

Mufti bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pandangan yang sama seperti Tan Sri Harussani Zakaria tentang perkara ini.

Merujuk kenyataan Datuk Dr. Zulkifli di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan; untuk soalan, “Apakah hukum memberi makan orang yang bukan Islam daripada daging korban?”, jawapan yang diberi ialah, “Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT”.

Jelas kedua-dua tokoh ilmuan Islam yang sangat alim tentang hukum-hukum Islam ini berpendapat bahawa berdasarkan Mazhab Syafi’e, yang masyhur daging korban tidak dibolehkan diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban ialah hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Perkara ini patut diambil berat oleh umat Islam di Malaysia memandangkan Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah berpandukan Mazhab Syafi’e.

Umat Islam mesti berhati-hati akan soal ini kerana ianya melibatkan soal kesempurnaan ibadah kita.