Ahmad Maslan Dilantik Setiausaha Agung UMNO

UMNO hari ini mengumumkan penstrukturan organisasi dengan melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Perubahan lain termasuklah melantik Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan parti itu, bagi menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Annuar mengumumkan perubahan berkenaan menerusi Twitternya, selepas berlangsungnya mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

“Presiden UMNO mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu menggantikan saya.

“Kepada kedua-dua mereka, kita ucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya.

Meskipun Annuar tidak memaklumkan alasan penstruturan semula itu dilakukan, ia dipercayai berkaitan dengan pelantikannya dan Shamsul Anuar sebagai anggota Jemaah Menteri yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong dilantik Menteri Tenaga dan Sumber Asli.