5 Kesilapan dan Kesalahtanggapan Lazim Dalam Menulis Jawi

Baca versi Jawi di sini.

Dalam era moden di mana tulisan Jawi semakin jarang digunapakai, tidak ramai dalam kalangan kita yang mahir tentang sistem menulis tulisan Jawi; ini termasuk diri saya sendiri yang sering membuat berbagai kesilapan.

Sepanjang hampir enam bulan saya menulis teks Jawi di laman blog saya ini, banyak perkara yang telah saya pelajari tentang sistem tulisan Jawi hasil daripada pembacaan serta teguran daripada guru-guru serta rakan-rakan saya.

Saya akan mengongsikan ilmu yang telah saya perolehi; semoga ianya dapat memberi manfaat khasnya kepada pembaca yang masih baharu berjinak-jinak dengan tulisan Jawi seperti saya.

1. Jawi menggunakan nombor-nombor Arab

Anggapan bahawa dalam tulisan Jawi nombor ditulis menggunakan nombor Arab (contohnya: ١, ٢, ٣) adalah kurang tepat kerana walaupun penggunaan nombor Arab boleh diterima, tetapi cara yang tepat ialah menggunakan nombor seperti di dalam tulisan Rumi (1, 2, 3)

Namun nombor Arab wajib digunakan dalam menandakan kata ganda seperti “surat-surat” yang menjadi “سورت٢”.

2. Tanda kata Jawi diambil dari tulisan Arab

Ketika menulis di dalam Jawi, ramai yang menggunakan tanda kata dari tulisan Arab termasuk tanda koma berbentuk “،” dan tanda koma bertitik berbentuk “؛”. Sebenarnya, tanda kata Jawi yang diambil dari tulisan Arab hanyalah tanda soal “؟”, manakala tanda koma Jawi adalah berbentuk “⹁”, dan tanda koma bertitik adalah berbentuk “⁏”.

Kesilapan ini turut dibuat oleh alat-alat penukar tulisan Rumi-Jawi, di mana kebanyakannya menukarkan tanda koma Rumi kepada tanda koma Arab, dan bukannya tanda koma Jawi.

3. Kaf berbentuk ك berbanding Kaf berbentuk ک

Perkara ini telah saya tulis di dalam salah satu tulisan saya yang terdahulu mengenai tulisan Jawi. Bentuk huruf Kaf di dalam tulisan Jawi sebenarnya adalah berbeza daripada bentuk Kaf di dalam tulisan Arab (ك). Jawi menggunakan Kaf yang bentuknya mirip bentuk Kaf ketika berada di tengah-tengah iaitu “ک”.

Perkara yang sama terpakai bagi huruf Ga di mana bentuknya adalah seperti Kaf Jawi (ݢ) dan bukannya seperti Kaf Arab seperti yang sering digunakan oleh orang ramai termasuk alat penukar tulisan Rumi-Jawi.

4. Beberapa kesilapan lazim dalam ejaan

Ramai yang mengikut sistem ejaan Rumi apabila mengeja di dalam Jawi, terutamanya dalam menulis imbuhan seperti “di sana” dan “ke atas”, yang walaupun terpisah di dalam ejaan Rumi, tetapi ia sebenarnya bersambung apabila di dalam ejaan Jawi iaitu “دسان” dan “کأتس”.

Jika dua bunyi vokal daripada imbuhan awalan dan kata dasar atau imbuhan akhiran dan kata dasar bertemu seperti “ke-ada-an”, maka Hamzah di atas Alif akan diguna (کأدأن).

5. Sistem alat penukar tulisan Rumi-Jawi adalah tepat

Ramai yang menganggap bahawa alat-alat penukar tulisan Rumi-Jawi mampu menukar teks Rumi kepada teks tulisan Jawi dengan tepat, walhal alat-alat ini sepatutnya hanya diguna bagi memudahkan tugasan dan hasilnya perlu disemak semula kerana terdapat beberapa kesilapan lazim hasil penggunaan aplikasi sebegini.

Sila baca: Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Baca versi Jawi di sini.

Kita berbangga dengan semangat membara rakyat Malaysia untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu.

Adanya alat dalam talian seperti laman sesawang Ejawi yang menyediakan khidmat pertukaran tulisan Rumi ke Jawi telah membantu mempermudahkan kerja kita.

Namun, malang sekali apabila ramai yang tidak menyedari bahawa versi Jawi yang dihasilkan melalui aplikasi itu mesti disemak kembali ejaan dan formatnya kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering berlaku.

Proses ini bukan senang untuk dilakukan, kerana ia memerlukan pembacaan yang teliti dan juga kesabaran yang tinggi, apatah lagi bagi saya yang masih dalam proses mempelajarinya tulisan Jawi.

Banyak perkara yang harus diambil berat apabila kita mahu menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan saya sering merujuk kepada akhbar Utusan versi Jawi untuk memahirkan diri dan lebih memahami proses ini.

Ejaan istilah sasar dalam tulisan Jawi adalah mengikut sebutan, berbeza dengan ejaan Rumi di mana ejaannya akan mirip atau sama dengan ejaan dari istilah sumber dan tidak semestinya mencerminkan sebutannya secara sepenuhnya.

Saya mengambil contoh tangkap layar di bawah:

Saya mengira hantaran tersebut harus dibaca, “Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3”.

Kita perhatikan contoh kesalahan ejaan yang sering berlaku hasil penggunaan aplikasi ini:

  1. Ejaan Covid-19 bukanlah “چۏيد-١٩”, tetapi sebaliknya “کوۏيد-19” kerana sebutannya adalah “/’kəʊvɪd/” dan bukannya “/’tʃɒvɪd/”, namun alat-alat seperti Ejawi akan menukarkan huruf “C” dengan huruf “چ” kerana lazimnya dalam bahasa Melayu huruf “C” berbunyi “/tʃ/”, seperti “cemara” atau “cereka”. Namun Covid-19 ialah kata nama khas yang mana huruf “C” bunyinya “/k/” dan harus dieja menggunakan huruf “ک” dan bukannya “چ”.
  2. Perkataan “ققم” bukanlah versi Jawi untuk “KKM” iaitu akronim kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kebanyakan alat penukar tulisan Rumi-Jawi mengidentifikasi akronim sebagai satu perkataan, kerana sistemnya tidak dapat membezakan di antara akronim dan perkataan.
    Cara yang sepatutnya adalah sama ada menulis setiap huruf dalam akronim tersebut di dalam ejaan Jawi iaitu “کي کي عيم”, ataupun yang lebih baiknya menulis nama penuh kementerian tersebut iaitu “کمنترين کصيحتن مليسيا”.
  3. Perkataan singkatan “takda” ditukar kepada “تقد”, satu perkataan yang tidak wujud dan sukar untuk dikenal pasti.

Di bawah adalah satu lagi hantaran di laman Facebook yang sepatutnya berbunyi, “Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official 😅”.

Saya meneka bahawa tulisan ini juga ditulis dengan bantuan aplikasi menukar tulisan Rumi kepada Jawi tanpa disemak ejaannya:

  1. Perkataan “Facebook” dieja “فاچبووق” yang kalau kita baca berbunyi lebih kurang “Fachebuwuq” atau “/fɑtʃəbuwuk/”. Facebook adalah perkataan Inggeris, maka ianya boleh ditulis dalam tulisan Rumi di dalam tanda petikan, atau jika masih mahu menulis dalam tulisan Jawi, eja perkataan tersebut mengikut sebutannya iaitu “فيسبوک”.
  2. Perkataan “اوففيچيال” jika dibaca ia akan berbunyi lebih kurang “ofefichiyal” atau “/ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. Maka “official” sepatutnya di eja “اوفيشل” atau tulis nama penuh grup Facebook tersebut iaitu “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” di dalam tulisan Rumi.

Inilah di antara contoh kesalahan ejaan Jawi yang mungkin tidak disedari akibat kita menyerahkan sepenuhnya kerja mengeja Jawi kepada aplikasi komputer tanpa menyemak kembali hasilnya.

Itu belum termasuk istilah-istilah yang belum didaftar ke dalam alat penukar tulisan itu, seperti “Sabah” dan “Kamaruddin” bagi sesetengah versi alat penukar tulisan, yang akan menukarnya menjadi “سابه” dan “کامروددين”, walaupun ejaan sebenarnya adalah “صباح” dan “قمر الدين”.

Saya belum mahir mengeja di dalam Jawi dan kadang kalanya saya tidak tahu bahawa ejaan yang saya tulis itu adalah salah. Contohnya ketika saya menulis rencana tentang Pilihan Raya Kecil Kimanis, saya mengeja “Sabah” sebagai “سابه” dan setelah ditegur oleh guru saya, Profesor Dato’ Naser Disa barulah saya tahu bahawa ejaan yang betul ialah “صباح”.

Pada pendapat saya, tidak salah untuk kita menggunakan alat-alat penukar tulisan Rumi ke Jawi untuk memudahkan urusan kita tetapi kita harus menyemaknya kembali dan membuat pembetulan jika ada kesalahan.

Dalam kita bersemangat untuk menggunakan tulisan Jawi, biarlah ianya dilakukan dengan penuh tertib dan teliti. Maka, kita mesti mempelajari ejaan Jawi dengan betul supaya kita mampu menjaga warisan ini dengan sempurna agar tulisan Jawi tidak bertukar menjadi satu sistem tulisan yang cacamarba.

Lihat proses penciptaan versi Jawi bagi rencana ini di sini.

کلماهن الات ڤنوکر توليسن جاوي-رومي يڠ ڤرلو کيت سداري

Baca versi Rumi di sini.

کيت بربڠݢ دڠن سماڠت ممبارا رعيت مليسيا اونتوق مڠمباليکن کݢميلڠن توليسن جاوي⹁ ايايت توليسن اصل بهاس ملايو.

اداڽ الت دالم تالين سڤرتي لامن سساواڠ اي-جاوي ﴾Ejawi﴿ يڠ مڽدياکن خدمت ڤرتوکرن توليسن رومي کجاوي تله ممبنتو ممڤرمودهکن کرجا کيت.

نامون⹁ مالڠ سکالي اڤابيلا راماي يڠ تيدق مڽدري بهاوا ۏرسي جاوي يڠ دحاصيلکن ملالوءي اڤليکسي ايت مستي دسمق کمبالي ايجأن دان فورمتڽ کران ترداڤت ببراڤ کسالهن يڠ سريڠ برلاکو.

ڤروسيس اين بوکن سنڠ اونتوق دلاکوکن⹁ کران اي ممرلوکن ڤمباچان يڠ تليتي دان جوݢ کصبرن يڠ تيڠݢي⹁ اڤاته لاݢي باݢي ساي يڠ ماسيه دالم ڤروسيس ممڤلاجريڽ توليسن جاوي.

باڽق ڤرکارا يڠ هاروس دأمبيل برت اڤابيلا کيت ماهو منوکر توليسن رومي کڤد جاوي دان ساي سريڠ مروجوق کڤد اخبار اوتوسن ۏرسي جاوي اونتوق مماهيرکن ديري دان لبيه ممهمي ڤروسيس اين.

ايجأن اصطلاح ساسر دالم توليسن جاوي اداله مڠيکوت سبوتن⹁ بربيذا دڠن ايجأن رومي دمان ايجأنڽ اکن ميريڤ اتاو سام دڠن ايجأن دري اصطلاح سومبر دان تيدق سمستيڽ منچرمينکن سبوتنڽ سچارا سڤنوهڽ.

ساي مڠمبيل چونتوه تڠکڤ لاير دباوه:

ساي مڠيرا هانترن ترسبوت هاروس دباچ⹁ ‭“Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3‭”‭.

کيت ڤرهاتيکن چونتوه کسالهن ايجأن يڠ سريڠ برلاکو حاصيل ڤڠݢونأن اڤليکسي اين:

  1. ايجأن “Covid-19” بوکنله “چۏيد-١٩“⹁ تتاڤي سباليقڽ “کوۏيد-19“ کران سبوتنڽ اداله “/’kəʊvɪd/” دان بوکنڽ “/’tʃɒvɪd/”⹁ نامون الت٢ سڤرتي اي-جاوي اکن منوکرکن حروف “C“ دڠن حروف “چ“ کران لازيمڽ دالم بهاس ملايو حروف “C” بربوڽي “/tʃ/”⹁ سڤرتي “cemara / چمارا” اتاو”cereka / چريک”. نامون Covid-19 اياله کات نام خاص يڠ مان حروف “C” بوڽيڽ “/k/” دان هاروس دإيجا مڠݢوناکن حروف “ک“ دان بوکنڽ “چ“.
  2. ڤرکاتأن “ققم” بوکنله جاوي اونتوق “KKM” ايايت اکرونيم کڤد کمنترين کصيحتن مليسيا ﴿Kementerian Kesihatan Malaysia﴾. کبڽقان الت ڤنوکر توليسن رومي-جاوي مڠأيدينتيفيکاسي اکرونيم سباݢاي ساتو ڤرکاتأن⹁ کران سيستمڽ تيدق داڤت ممبيذاکن دأنتارا اکرونيم دان ڤرکاتأن.
    چارا يڠ سڤاتوتڽ اداله سام اد منوليس ستياڤ حروف دالم اکرونيم ترسبوت ددالم ايجأن جاوي ايايت “کي کي عيم“⹁ اتاوڤون يڠ لبيه باءيقڽ منوليس نام ڤنوه کمنترين ترسبوت ايايت “کمنترين کصيحتن مليسيا“.
  3. ڤرکاتأن سيڠکتن “takda” دتوکر کڤد “تقد“⹁ ساتو ڤرکاتأن يڠ تيدق وجود دان سوکر اونتوق دکنل ڤستي.

دباوه اداله ساتو لاݢي هانترن دلامن فيسبوک يڠ سڤاتوتڽ بربوڽي ‭“Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official ‭😅‭”‭.

ساي منک بهاوا توليسن اين جوݢ دتوليس دڠن بنتوان اڤليکسي منوکر توليسن رومي کڤد جاوي تنڤا دسمق ايجأنڽ:

  1. اصطلاح “Facebook” دإيجا “فاچبووق“ يڠ کالاو کيت باچ بربوڽي لبيه کورڠ “Fachebuwuk” اتاو “/fɑtʃəbuwuk/”. اصطلاح “Facebook” اياله کات نام خاص يڠ برأصل دري ڤرکاتأن ايڠݢريس⹁ مک اياڽ بوليه دتوليس دالم توليسن رومي ددالم تندا ڤتيکن⹁ اتاو جک ماسيه ماهو منوليس دالم توليسن جاوي⹁ ايجا ڤرکاتأن ترسبوت مڠيکوت سبوتنڽ ايايت “فيسبوک“.
  2. ڤرکاتأن “اوففيچيال“ جک دباچ اي اکن بربوڽي لبيه کورڠ “ofefichiyal” اتاو” /ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. مک “official” سڤاتوتڽ دإيجا “اوفيشل“ اتاو توليس نام ڤنوه ݢروڤ فيسبوک ترسبوت
    ايايت “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” ددالم توليسن رومي.

اينله دأنتارا چونتوه کسالهن ايجأن جاوي يڠ موڠکين تيدق دسدري عقيبة کيت مڽراهکن سڤنوهڽ کرجا مڠيجا جاوي کڤد اڤليکسي کومڤوتر تنڤا مڽمق کمبالي حاصيلڽ.

ايت بلوم ترماسوق اصطلاح٢ يڠ بلوم ددفتر کدالم الت ڤنوکر توليسن ايت⹁ سڤرتي “Sabah” دان ”Kamaruddin” باݢي سستڠه ۏرسي الت ڤنوکر توليسن⹁ يڠ اکن منوکرڽ منجادي “سابه“ دان “کامروددين“⹁ والاوڤون ايجأن سبنرڽ اداله “صباه“ دان “قمر الدين“.

ساي بلوم ماهير مڠيجا ددالم جاوي دان کادڠ کالنيا ساي تيدق تاهو بهاوا ايجأن يڠ ساي توليس ايت اداله ساله. چونتوهڽ کتيک ساي منوليس رنچان تنتڠ ڤيليهن راي کچيل کيمنيس⹁ ساي مڠيجا “Sabah” سباݢاي “سابه“ دان ستله دتݢور اوليه ݢورو ساي⹁ ڤروفيسور داتوق ناصر ديسا باروله ساي تاهو بهاوا ايجأن يڠ بتول اياله “صباه“.

ڤد ڤنداڤت ساي⹁ تيدق ساله اونتوق کيت مڠݢوناکن الت٢ ڤنوکر توليسن رومي کجاوي اونتوق ممودهکن اوروسن کيت تتاڤي کيت هاروس مڽمقڽ کمبالي دان ممبوات ڤمبتولن جک اد کسالهن.

دالم کيت برسماڠت اونتوق مڠݢوناکن توليسن جاوي⹁ بيارله اياڽ دلاکوکن دڠن ڤنوه ترتيب دان تليتي. مک⹁ کيت مستي ممڤلاجري ايجأن جاوي دڠن بتول سوڤاي کيت ممڤو منجاݢ واريثن اين دڠن سمڤورنا اݢر توليسن جاوي تيدق برتوکر منجادي ساتو سيستم توليسن يڠ چاچمربا.

ليهت ڤروسيس ڤنچيڤتأن ۏرسي جاوي باݢي رنچان اين دسيني‮.

Tulisan Jawi dan Identiti Malaysianya Yang Tersendiri

Walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Baca versi Jawi di sini.

Jawi, kebiasaannya perkataan ini hanya dikaitkan dengan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu sebelum pengenalan tulisan Rumi kepada budaya kita.

Namun, sebenarnya definisi perkataan Jawi bukanlah hanya sekadar nama sejenis tulisan tetapi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Jawi bermaksud Melayu; justeru tulisan Jawi membawa makna tulisan Melayu.

Pada akhir tahun 2019, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengumumkan bahawa Baginda akan menggunakan tulisan Jawi di laman Twitter Baginda.

Perkara ini telah membangkitkan semangat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengembalikan penggunaan dan memperkasakan tulisan Jawi; dan hasilnya ramai dalam kalangan warga maya telah mula menggunakan tulisan Jawi di pelbagai platform media sosial.

Namun sejauh manakah kita mengenali keistimewaan khazanah warisan kita ini, khasnya abjad yang digunakan dalam tulisan Jawi?

Walaupun benar bahawa abjad Jawi berasal daripada abjad Arab, tetapi bukan sahaja tidak kesemua abjad Jawi wujud di dalam abjad Arab, malah, tidak semua abjad Jawi ditulis dalam bentuk yang sama seperti cara tulisan abjad Arab.

Seperti yang kita maklum, huruf-huruf Jawi seperti ca (چ), nga (ڠ) dan nya (ڽ) tidak ada di dalam abjad Arab kerana berbeza dengan bahasa Melayu, bunyi-bunyi bagi huruf tersebut tidak wujud di dalam bahasa Arab.

Dalam hal yang lain, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa terdapat juga huruf yang walaupun ada di dalam kedua-dua tulisan Arab dan Jawi, tetapi cara huruf-huruf itu ditulis di dalam kedua-dua sistem tulisan ini adalah berbeza, iaitu huruf kaf.

Mereka yang boleh membaca Al-Quran dan teks Arab tentu maklum bahawa cara menulis huruf kaf di dalam bahasa Arab adalah seperti ini, “ك”, dan bentuknya tidak berubah apabila berada di akhir sesebuah perkataan, iaitu “ـك”. Ia hanya mempunyai rupa yang berbeza apabila berada di awal atau pertengahan perkataan iaitu “كـ” atau “ـكـ”.

Dengan persepsi bahawa abjad Jawi adalah sama dengan abjad Arab, ada dalam kalangan kita yang menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi dengan cara yang sama dengan huruf kaf dalam tulisan Arab; walhal cara penulisan huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah berbeza apabila kedudukannya di akhir perkataan atau apabila ianya tidak bersambung dengan abjad lain.

Berbeza dengan bahasa Arab, cara menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah “ک” jika tidak bersambung, dan “ـک” apabila berada di akhir perkataan, sepertimana bentuknya apabila berada di tengah-tengah dan di permulaan perkataan.

Begitu juga dengan huruf ga, yang ramai ingatkan bahawa ia ditulis seperti ini “ڬ”, namun sebenarnya ditulis begini “ݢ”.

Ini ialah kerana cara menulis huruf kaf dalam tulisan Jawi telah dipengaruhi oleh sistem penulisan bahasa Farsi, namun ianya bukanlah bermakna bahawa kesemua abjad Jawi adalah sama dengan abjad Farsi; contohnya abjad ga atau disebut gaf dalam bahasa Farsi.

Berbeza dengan tulisan Jawi, abjad tersebut ditulis seperti ini, “گ” di dalam sistem tulisan Farsi.

Malah lebih menarik, cara menulis huruf ga di dalam tulisan Jawi adalah unik kepada tulisan Jawi sahaja dan berbeza daripada cara huruf atau bunyi tersebut ditulis di dalam sistem tulisan lain.

Seperti yang kita ketahui, huruf pa (ڤ) di dalam tulisan Jawi yang membawa bunyi yang sama seperti bunyi huruf “P” di dalam tulisan Rumi tidak wujud di dalam sistem tulisan Arab dan Farsi.

Di dalam bahasa Farsi, huruf yang digunakan bagi bunyi tersebut ialah pe (پ), iaitu adaptasi daripada huruf Arab ba (ب).

Menariknya, walaupun huruf pa (ڤ) wujud di dalam tulisan lain termasuk Arab Mesir dan Kurdi, namun dalam bahasa-bahasa tersebut, huruf itu dipanggil ve dan membawa bunyi seperti huruf “V” dan bukannya digunakan untuk bunyi huruf “P” seperti di dalam tulisan Jawi.

Ini bermakna bahawa walaupun huruf-huruf seperti pa (ڤ) dan nga (ڠ) juga terdapat di dalam bahasa lain, namun sebutannya dan kegunaannya adalah berbeza berbanding dalam tulisan Jawi.

Manakala, huruf-huruf seperti ga (ݢ), nya (ڽ) dan va (ۏ) pula hanya wujud di dalam tulisan Jawi sahaja, dan tidak boleh didapati di dalam mana-mana tulisan lain di dunia ini.

Ini membuktikan keistimewaan tulisan Jawi, yang walaupun berasal daripada tulisan Arab, namun mempunyai identitinya yang tersendiri yang bertunjangkan lenggok bahasa dan budaya kita, bersesuaian dengan semangat negaranya iaitu Malaysia.

Ibaratnya, walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Sebaliknya, dalam hal tulisan Rumi pula, abjadnya diambil secara total daripada sistem tulisan lain dan tidak terikat dengan budaya kita, tanpa sebarang penambahan atau pengadaptasian langsung.

Justuru, hargailah warisan budaya kita, belajarlah mengenali yang mana intan dan yang mana kaca.

Hayatilah pesanan orang tua-tua, yang lama dikelek, yang baharu didukung agar kita tidak hilang khazanah negara ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Polis Dapat Perintah Mahkamah Batal Kongres Jawi Dong Jiao Zong

Polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

[MalaysiaKini}- Polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menggesa semua pihak menghormati perintah mahkamah itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggarnya.

“Polis menggesa semua pihak terlibat dan orang ramai agar tidak hadir ke persidangan tersebut atau mana-mana perhimpunan bagi membantahnya yang dianjurkan NGO, persatuan dan pertubuhan.

“Bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, polis khasnya ibu pejabat polis daerah Kajang telah emmohon perintah ini atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata perintah mahkamah itu telah diserahkan kepada pada jam lima petang tadi.

Menurut dokumen itu yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah itu ditandatangani majistret Syahrul Sazly Md Sain.

“…Telah didapati oleh mahkamah ini bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan persidangan tersebut akan diadakat pada 28 Disember 2019 (Sabtu) dan berdasarkan kepada maklumat terkini yang diperolehi oleh pihak pemohon mendapati akan berlaku satu gaduh-gempar/rusuhan akan berlaku sekiranya persidangan tersebut diteruskan.

“Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu,” menurut dokumen itu.

Menurut penganjur program Low Chee Cheong, Dong Zong akan membatalkan kongres itu dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan butiran lanjut, hari ini.

“Kami hormat perintah mahkamah, program kami esok akan dibatalkan,” katanya.

Menurut laporan terdahulu, penganjur Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menjangka kongres itu akan disertai 1,000 hadirin.

Dong Jong sebelum ini berkata, program itu hanya akan dilakukan di tingkat lima kolej tersebut, dan tiada ada rancangan untuk para peserta keluar bagi mengadakan perhimpunan.

Pihaknya juga mengeluarkan larangan kepada peserta untuk membawa sepanduk, plakad dan bahan berunsur provokasi.

Beberapa NGO menyuarakan bantahan terhadap kongres itu, dengan tiga daripadanya – Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) – berkata akan mengadakan himpunan jika Dong Zong tidak membatalkannya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran tulisan Jawi hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Bagaimanapun Dong Zong bertegas mahu Lembaga Pengelola Sekolah dilibatkan dalam proses membuat keputusan berhubung pengajaran itu, yang dijadual dimulakan tahun depan untuk murid tahun empat.

Dong Zong Rasis, Tak Suka Melayu – Tun M

UTUSAN ONLINE – LANGKAWI 12 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

“Dong Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu.

“Dia tak suka orang Melayu, semua dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penentangan Dong Zong yang melakukan petisyen terhadap pembelajaran dalam Jawi dan tulisan khat yang kononnya merupakan satu bentuk Islamisasi untuk menyebarkan agama Islam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menjelaskan, sebelum negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar dalam bahasa Jawi sebelum memperkenalkan tulisan roman.

“Saya masih ingat ketika negara hendak merdeka, kita dapati bukan Melayu susah hendak belajar, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan roman untuk memudahkan mereka.

“Kerajaan sudah memberi pertimbangan khusus kepada bukan Melayu, manakala Melayu masih terus belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir secara sinis ‘mengiktiraf’ Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempunyai kedudukan yang setaraf dengannya susulan kenyataan pemimpin DAP itu terhadap beliau yang sering membuat keputusan secara berseorangan.

“Pada masa depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau tidak Santiago bersetuju, kalau dia tak bersetuju saya tak buatlah, mesti dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” ujarnya.

Hari ini, Charles dalam satu kenyataan pada Facebook miliknya berkata, Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun datang dari parti yang kecil. – UTUSAN ONLINE