Jeffrey Kitingan Letak Jawatan Sebagai Timbalan Menteri

Timbalan ketua menteri Sabah yang baru dilantik, Jeffrey Gapari Kitingan telah meletakkan jawatannya sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya di dalam kerajaan persekutuan.

Menurut akhbar Sin Chew Daily, Kitingan telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat pengunduran dirinya, hari ini.

Kitingan, 72, dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah, di Kota Kinabalu pagi ini.

Dia adalah salah satu daripada tiga timbalan ketua menteri, yang dilantik, hari ini. Selain dirinya, turut dilantik sebagai timbalan kepada ketua menteri Sabah, Hajiji Noor adalah Bung Moktar Radin dan Joachim Gunsalam.

Kitingan adalah presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan anggota Parlimen tunggal parti itu yang mewakili parlimen Keningau.

Pada pilihan raya negeri Sabah, Ahad lalu, dia berjaya mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti yang lebih besar. -{Malaysiakini]