Ahli Parlimen, Bekas Timbalan Menteri Disiasat Kerana Sebar Berita Palsu

Baca versi Jawi di sini.

Polis Johor sudah membuka siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyebarkan berita palsu di sini malam tadi.

Ia mendakwa situasi di luar kawalan berlaku apabila ribuan pekerja Malaysia di Singapura bersesak-sesak untuk pulang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sekiranya benar tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status mereka kerana perbuatan tersebut tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kegusaran awam.

“Laporan mengenai isu ini sudah dibuat oleh Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir di Balai Polis Larkin jam 11.30 pagi tadi dan siasatan diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terklas Bukit Aman.

“Kita tidak ada dua undang-undang, satu untuk orang awam dan satu lagi untuk Ahli Parlimen. Semua orang adalah sama dan jika melakukan kesalahan akan disiasat di bawah undang-undang yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor di sini hari ini.

Menerusi akaun Facebook milik Ahli Parlimen berkenaan kira-kira jam11 malam tadi, disiarkan video dengan durasi 1 minit 4 saat menunjukkan orang ramai bersesak-sesak di bangunan tersebut sebelum menjadi viral dalam media sosial.

Di samping video yang dimuat naik itu, Ahli Parlimen itu meletakkan kapsyen: “Sedang berlaku di CIQ JB, situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapura cuba balik ke Malaysia secara beramai-ramai. Harap adalah hotel lima bintang untuk quarantine mereka.”

Ayob Khan berkata, siasatan juga akan dilakukan adakah dakwaan itu benar-benar daripada Facebook Ahli Parlimen berkenaan atau pun daripada akaun Facebook palsu, tetapi menggunakan nama wakil rakyat tersebut.

Katanya, siasatan mendapati video berkenaan merupakan visual pada tahun lalu semasa latihan kebakaran dilakukan di bangunan berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Dalam pada itu, semakan di akaun Facebook milik Ahli Parlimen tersebut pada petang ini mendapati wakil rakyat dari Pahang itu sudah pun membuat permohonan maaf dalam status terbaharunya. – Sinar Harian

Covid-19: Kes Simpang Renggan Dipercayai Berkait Kluster Tabligh

Peningkatan mendadak kes positif koronavirus (Covid-19) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang yang kini diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipercayai ada kaitan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada penduduk kampung itu yang menghadiri program tersebut dan tidak mengasingkan diri (kuarantin) selepas pulang dari perhimpunan berkenaan.

“Mungkin ada juga yang menghadiri kenduri di kawasan mereka kerana tidak sedar bahawa diri mereka dijangkiti wabak berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sila baca: Terkini: Penduduk 2 Kawasan Di Simpang Renggam Dilarang Keluar Rumah Mulai Tengah Malam Ini

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada peningkatan kes Covid-19 di kawasan itu berpunca daripada penganjuran majlis kenduri kahwin dan tahlil baru-baru ini.

Ia berikutan dakwaan penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Masjid yang menyebut bahawa penularan wabak itu bermula daripada majlis kenduri kahwin dan tahlil yang diadakan pada 15 Mac.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihak berkuasa telah mengadakan sekatan jalan raya di lima laluan utama dan 11 laluan ‘tikus’ yang menjadi akses keluar masuk ke dua kawasan berkenaan.

Sekatan dilakukan sejumlah 181 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Sebelum PKPD dikuatkuasakan, seramai 80 pegawai dan anggota ditugaskan di kawasan berkenaan, namun bermula hari ini, jumlah itu ditambah menjadi 181 pegawai dan anggota.

“Begitu juga sekatan jalan raya, sebelum ini hanya lima sekatan dibuat, pagi ini ditambah menjadi tujuh selain 11 laluan tikus di ladang-ladang berhampiran dikawal,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya pagi tadi, penduduk kedua-dua kawasan juga didapati mematuhi arahan PKPD yang dilaksanakan.

Semalam, kerajaan memutuskan PKPD dilaksanakan di kedua-dua lokasi berikutan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di kawasan terbabit iaitu sebanyak 61 kes.

PKPD melibatkan seramai 3,570 penduduk tempatan yang terdiri daripada 650 keluarga. – Bernama

Terkini: Penduduk 2 Kawasan Di Simpang Renggam Dilarang Keluar Rumah Mulai Tengah Malam Ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam, Johor berikutan jumah kes baharu positif Covid-19 yang tinggi di kawasan tersebut mulai tengah malam ini.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Perintah tersebut melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, Johor.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurut beliau, tujuan PKPD adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Dengan pelaksanaan perintah ini:

  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.kawasan.

“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434. – MalaysiaGazette

Senarai Portfolio Exco Baharu Negeri Johor

Sila baca: 10 ADUN Johor Angkat Sumpah Sebagai Exco (Gambar)

  • Samsol Bari Jamali – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor
  • Mazlan Bujang – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor
  • Vidyananthan Ramanadhan – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor
  • Tosrin Jarvanthi- Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor
  • Ayub Jamil – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor
  • Mohd. Solihan Badri – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor
  • Zaiton Ismail – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor
  • Onn Hafiz Ghazi – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor
  • Mohd. Izhar Ahmad – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Korperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor
  • Chong Fat Full – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor

10 ADUN Johor Angkat Sumpah Sebagai Exco (Gambar)

Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Berangkat sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Turut berangkat, YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini (6 Mac).

Datuk Hasni Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-18 pada 28 Februari lalu.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah ialah Datuk Samsol Bari Jamali (ADUN Semarang); Ayub Jamil (ADUN Rengit), Zaiton Ismail (ADUN Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Layang-Layang) dan R. Vidyananthan (ADUN Kahang).

Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (ADUN Tenang); Tosrin Jarvanthi (ADUN Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (ADUN Larkin) dan Dr. Chong Fat Full (ADUN Pemanis).

(Dipetik dari laman Facebook rasmi Istana Johor)


TERKINI – ADUN PKR Johor Keluar Parti

ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun secara rasminya keluar parti tersebut, dan menyertai Gabungan Baharu yang merupakan kerajaan di negeri Johor.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad di dalam sebuah sidang media bersama-sama dengan Dr. Chong.

Sila tonton rakaman penuh sidang media tersebut di sini.

Dr. Chong menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat pagi tadi, dan keputusan itu adalah amat sukar untuk dibuat.

Dr. Chong semasa sidang media tersebut.

Beliau yang telahpun menjadi ahli PKR selama 11 tahun, menyifatkan perkara tersebut sebagai sebuah “matured” decision, setelah meminta pandangan ahli keluarganya dan rakyat di kawasannya.

Ia bukan satu keputusan yang senang dibuat. It’s a very painful decision (ia satu keputusan yang sukar dibuat), and ia bukan satu keputusan yang ikut hati saya sendiri. It’s a matured decision (ia satu keputusan yang matang), di mana saya sudah buat consultation (telah meminta nasihat) dengan penyokong saya, dengan pengundi saya, famili, kawan-kawan. Dan lepas tu, sudah fikir bagi saya cukup matang, saya baru buat keputusan. Pagi ini saya baru buat.

Dr. Chong Fat Full

Dr. Chong mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Baharu kerana bersikap sangat sabar dengannya semasa proses ini.

Apabila ditanya oleh wartawan tentang khabar angin tentang caj yang dikenakan kepada ahli untuk keluar parti, beliau menyifatkan perkara tersebut kurang penting berbanding kepentingan rakyat Pemanis dan Johor.

“I will decide for the good of the people first … macam mana pun we have to face it.”

Dr. Chong Fat Full

Kerajaan Johor percaya bahawa adalah amat penting bagi barisan exco untuk diwakili oleh bukan sahaja ADUN berbangsa Melayu, tetapi juga bangsa-bangsa lain.

Menurut Hasni, gandingan Gabungan Baharu antara Barisan Nasional, BERSATU dan PAS tidak memiliki sebarang wakil rakyat dalam kalangan masyarakat kaum Tionghwa, maka beliau yaking dan percaya bahawa sekiranya diperkenankan kehadiran Dr. Chong dalam Gabungan Baharu, beliau akan jadi suara yang mewakili masyarakat kaum Tionghwa.

Dr. Chong kini belum menyertai mana-mana parti dan bergerak sebagai seorang ADUN bebas.

VIDEO – Rakaman Penuh Sidang Media Menteri Besar Johor

Kemenangan JDT ke atas Kedah Memberi Gambaran Kejayaan Perikatan Nasional?

Semalam, pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim telah menewaskan Skuad Lang Merah, Kedah, di perlawanan Piala Sumbangsih 2020 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Perlawanan tersebut disifatkan sebagai perlawanan yang bersejarah, kerana ia merupakan perlawanan pertama di stadium yang baharu dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj pada 22hb Februari yang lalu.

Menarik sekali, perlawanan ini berlaku semasa hangatnya “perlawanan” di antara dua calon Perdana Menteri ke-8, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berasal dari negeri Johor dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berasal dari negeri Kedah.

Kemenangan pasukan JDT disusuli pula oleh terpilihnya Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ada persamaan menarik di antara kedua-dua kejadian ini:

  • JDT menentang Kedah di stadium baharu mereka setelah Perikatan Nasional berjaya mendapat “stadium” atau gelanggang pertama mereka selepas terbentuknya kerajaan Gabungan Baharu di Johor yang kini dipimpin oleh Dato’ Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.
  • Pasukan JDT telah menewaskan Kedah di dalam perlawanan yang sengit manakala seorang pemimpin dari Johor, Tan Sri Muhyiddin telah menang menentang pemimpin dari Kedah, Tun Dr Mahathir dalam perlawanan yang amat sengit.

Menariknya susunan kejadian yang diatur oleh Allah S.W.T..

RASMI – Hasni Dilantik MB Johor

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu sebentar tadi.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh pihak Istana Johor.

Beliau yang juga merupakan ADUN Benut telah mengangkat sumpah sebagai MB Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru sebentar tadi.

Sila klik di sini untuk gambar-gambar istiadat angkat sumpah.

Rencana berkaitan:

Gabungan Baharu Johor: PH Pertikai Keputusan Sultan Johor?

Petang semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menitahkan bahawa sebuah Gabungan baharu telah diwujudkan bersama beberapa Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) dan berjaya memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Oleh yang demikian, Gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

Namun malam semalam pula, Pakatan Harapan (PH) Johor telah membuat satu sidang media mendakwa Gabungan Baharu itu telah gagal mendapat majoriti seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

“PH Johor ingin menegaskan bahawa kami ada sokongan 28 adun – sembilan dari Amanah, 14 dari DAP dan lima dari PKR. Dan semua hadir malam ini.

“Jadi gabungan baru itu tiada majoriti untuk tubuh kerajaan negeri,” kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Malaysiakini melaporkan bahawa PH Johor mendakwa Gabungan Baharu itu hanya memegang 27 kerusi dan bukannya 28 kerusi.

Baca laporan Malaysiakini di sini.

Daripada jumlah 56 kerusi, gabungan baru itu kini memegang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Adakah ini bermakna PH Johor berani mempertikaikan keputusan sesi temubual yang dibuat oleh DYMM Tuanku Sultan Johor bersama ADUN Johor, yang disaksikan YB Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Penasihat Undang-undang Negeri Johor?

Adakah wujud seorang ADUN yang berubah pendirian walaupun telah menandatangani surat akuan bersumpah di hadapan Tuanku Sultan?

Di dalam laporan yang sama, Malaysiakini juga menulis:

Terdahulu, Chong dilaporkan menyokong gabungan baru itu, walaupun hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap PH.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Untuk rekod, seramai 54 orang ADUN hadir mengadap Sultan Johor untuk sesi temubual tersebut yang berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim dua hari lepas.

Menurut kenyataan media daripada Istana Johor, setelah selesai sesi temubual bersama-sama ADUN Johor, Sultan Johor telah berpuas hati bahawa Gabungan parti yang baharu telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih Gabungan Baharu berbanding 26 ADUN memilih Pakatan Harapan.

Sila tekan untuk merujuk kepada kenyataan media Istana Johor.

Saya yakin bahawa Sultan Johor amat teliti dalam melaksanakan tanggungjawab baginda semasa sesi temubual tersebut.

Rakyat Johor mesti menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, dan tidak bersikap biadap terhadap Tuanku Sultan, apatah lagi apabila ianya melibatkan fitnah yang memberi persepsi buruk terhadap Baginda sebagai Sultan Johor Darul Ta’zim.

Rencana berkaitan: