Pesawat Sriwijaya Air Jakarta-Pontianak Terhempas di Laut Jawa

Pesawat Penerbangan SJY182 Sriwijaya Air yang dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak petang tadi, disahkan terhempas di Laut Jawa.

Menurut laporan Flightradar24, pesawat tersebut menjunam sebanyak 10,000 kaki ke bawah dalam masa kurang dari satu minit, sebelum terputus hubungan empat minit setelah berlepas.

Kementerian Perhubungan Indonesia melaporkan bahawa mereka telah menemui ‘serpihan daging‘ dipercayai daging manusia di kawasan pesawat itu dipercayai terhempas.

Memetik laporan Kompas, kapten kapal ronda Kementerian Perhubungan, Eko, mengatakan bahawa beliau juga telah menjumpai bahan bakar pesawat di lokasi kejadian, dan bahawa nelayan berhampiran telah melaporkan kedengaran bunyi seakan-akan petir di kawasan itu.

Berdasarkan data radar, pesawat Boeing 737-500 itu telah membelok hampir 90 darjah ke kanan, sebelum terus turun pada kelajuan yang tinggi.

Penerbangan SJY182 itu berlepas dari Lapangan Udara Soekarno–Hatta, Jakarta pada jam 1.25 petang waktu tempatan dan dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak pada jam 2.50 petang waktu tempatan.