Ini Komen Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Tentang Abu Chin Peng

(Sinar Harian) – KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan kepulangan abu Chin Peng ke Malaysia yang tular semalam.

Menurutnya, selepas KDN mengeluarkan kenyataan dan hasil siasatan, barulah beliau bersedia menyatakan komennya dalam isu tersebut.

“KDN siasat, minta KDN siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Meskipun terus diasak dengan soalan-soalan berkaitan isu tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja itu tetap konsisten dengan jawapannya.

“Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan, saya akan komen.

“(Adakah ia akan mengguris hati perajurit negara?) Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respons negatif daripada warganet yang mengecam tindakan tersebut.

Tajuk Lapan Penerbitan Diharam KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan lapan penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada ketenteraman dan kepentingan awam serta mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan moral. 

Menurut laporan NST, lima penerbitan diharamkan setelah didapati berbahaya kepada ketenteraman awam, selain mengandungi elemen yang boleh mengelirukan umat Islam dan boleh membahayakan kepercayaan mereka.

Tajuk-tajuk lima buku tersebut adalah: 

  1. Isu Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam
  2. Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan Dan Agama
  3. Menuju Reformasi Perundangan Islam oleh Abdullahi Ahmed An-Na’im
  4. Zainab Srikandi Cucu Baginda SAW  
  5.  Imam Mahdi Yang Ditunggu Dan Malapetaka Akhir Zaman 

Dua lagi penerbitan telah diharamkan kerana mengandungi elemen yang menghina agama Islam dan juga boleh mewujudkan implikasi negatif dari segi keselamatan negara.

Tajuk-tajuk dua buku tersebut adalah:

  1. Al-Yahud: Eternal Islamic Enmity and the Jew oleh Elias Al-Maqdisi dan Sam Solomon
  2. Dari Majapahit ke Putrajaya: Mencari Satu Lagi Malaysia oleh Farish A. Noor 

Manakala penerbitan bertajuk ‘Saucy Seaside Postcard’ diharamkan kerana didapati mengandungi elemen dan imej bersifat pornografi.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, semua buku-buku tersebut bukanlah bahan bacaan yang sesuai serta boleh membahayakan dan mengelirukan orang ramai, terutamanya generasi muda.

Beliau juga berkata bahawa pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilansemula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran penerbitan yang telah diharamkan adalah suatu kesalahan di bawah subseksyen 1 Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Dan mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya di bawah Seksyen 8 Akta 301.

Datuk Seri Alwi Ibrahim menasihatkan orang ramai untuk melaporkan sebarang penerbitan yang melanggar undang-undang negara ke Bahagian Penerbitan Kementerian Penerbitan dan Pengendalian Teks Al-Quran di 03-88868047 atau faks pada 03-88891682.