TERKINI – MPT PPBM: Sah Keahlian Tun Mahathir Terhenti, Muktamad Sertai PN

Mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PPBM semalam mengesahkan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain “terhenti” serta-merta menurut perlembagaan parti itu.

“Tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” kata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dalam kenyataan pagi ini.

Mesyuarat juga mengesahkan keputusan memuktamadkan penyertaan PPBM dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional “bertepatan dengan matlamat, tujuan, dan dasar parti”. -{Free Malaysia Today]

Gugur Keahlian Tun Mahathir, Muhyiddin Ucap “Selamat Maju Jaya”

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, pengguguran keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain tidak dilakukan secara terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya mereka dikenakan tindakan.

Katanya, beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan perlu berlandaskan perlembagaan parti serta tiada individu yang mengatasi perlembagaan parti.

“Mereka tidak dipecat daripada parti, sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan dibuat Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti, sepertimana yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Mahathir bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Mahathir, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, keahlian Mahathir bersama anaknya, Mukhriz serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah, dihentikan serta-merta selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat yang bersidang pada 18 Mei lalu.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Pengerusi Lembaga Disiplin, Megat Najimuddin memaklumkan isu membabitkan Mahathir dan 4 pemimpin lain “tidak lagi relevan” untuk dibawa ke lembaga disiplin parti itu “apabila kedudukan keahlian mereka terhenti” mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

Muhyiddin yang mengumumkan dirinya memangku jawatan pengerusi PPBM, meminta ahli parti bersabar dan bertenang kerana beliau yakin ia akan terus teguh selepas menghadapi banyak cabaran sejak penubuhannya.

“Kita sudah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan, yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

“Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang sudah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.” -{Free Malaysia Today]

Tun Mahahthir: Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin

Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berang dengan penggantinya memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 2 tahun lalu, kembali berkuasa.

Sila baca: Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu mempersoalkan kesahihan pakatan Muhyiddin yang berusia 2 bulan setengah dengan Umno.

“Salah untuk membuat penyusunan pintu belakang ini. Kami mahu memberi rakyat kerajaan sah yang mereka pilih. Itu matlamat kami,” katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Muhyiddin yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Mahathir, tanpa disangka dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas mendapat sokongan Umno untuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa Muhyiddin mencuri kuasa dengan menukar perikatan berbanding mendapatkan jawatan nombor satu itu melalui pilihan raya.

Sila baca: Kemelut PPBM: Ke Mana Syed Saddiq Selepas Ini?

Awal minggu ini, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengelakkan undi tidak percaya yang diusulkan Mahathir, dengan bertegas Parlimen memberi keutamaan kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Tetapi, Mahathir berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan 2 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia,” kata Mahathir.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya.”

Katanya, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenarkan dibentang.

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

“Jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?” -{Free Malaysia Today]

Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?

Baca versi Jawi di sini.

Ramai yang merasa terkilan melihat situasi politik Malaysia kembali bergolak menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 18hb Mei ini, dalam keadaan negara yang sedang berjuang memerangi wabak Covid-19.

Tindakan Perdana Menteri ke-7 mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ke-8 telah mendapat perbagai reaksi daripada rakyat marhaen.

Sila baca: Percaturan Mahathir: Siapa Untung, Siapa Rugi?

Kini, tumpuan terarah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di mana keadaan mereka yang bercakaran sesama sendiri secara terang-terangan dan kegagalan untuk bersatu telah menjadi buah mulut rakyat.

Kita maklum bahawa PPBM telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan yang menyokong Perdana Menteri ke-7 dan kumpulan yang menyokong Perdana Menteri ke-8; maka undian Ahli Parlimen PPBM adalah penting dalam mempertahankan kedudukan presiden mereka sebagai Perdana Menteri ke-8 dan kerajaan yang memerintah.

Menariknya cara dan langkah Perdana Menteri ke-7 dan ke-8 adalah sangat berbeza di mana Perdana Menteri ke-8 yang juga Presiden parti mereka dilihat ‘tidak bising’ dalam mengatur langkah.

Tun Dr. Mahathir mahu PPBM kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH); alasan beliau, besar kemungkinan PPBM akan kalah teruk dalam PRU jika mereka memilih untuk bergabung dalam Pakatan Nasional (PN).

Soalnya, adakah peluang PPBM untuk memenangi PRU akan lebih cerah jika mereka kembali kepada PH jika keputusan-keputusan PRK boleh dianggap sebagai indeks sokongan pengundi terhadap parti-parti politik, khasnya pengundi Melayu yang menjadi sasaran undi PPBM?

Hasrat Tun telah dialu-alukan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAN Mohamad Sabu; jelas PH perlukan undi Ahli Parlimen PPBM untuk kembali ke Putrajaya.

Maka siapakah yang dilihat mempunyai sokongan majoriti dalam PPBM?

Pemerhati politik percaya bahawa Presiden PPBM mendapat sokongan yang lebih besar daripada Ahli Parlimen mereka, namun tiada siapa yang dapat memberikan angka yang tepat; yang jelas PPBM tidak akan dapat memberi undian yang disepakati semua ahli, atau secara en bloc.

Armada pusat mahukan mandat rakyat dipulangkan, yang mengikut tafsiran mereka bermakna kembali ke pangkuan PH dan mungkin juga supaya jawatan Perdana Menteri kembali kepada Tun semula.

Tetapi Exco Armada, Muzzammil Ismail menegaskan bahawa kenyataan itu tidak menggambarkan pendirian keseluruhan pimpinan Armada. Muzzammil juga menegaskan bahawa 144 daripada 191 ketua bahagian memberi sokongan penuh terhadap Presiden PPBM serta mencabar Armada pusat menunjukkan sokongan diraih mereka.

Yang jelas, Tun mendapat sokongan yang padu daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan YB Syed Saddiq.

Reaksi Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk Kamaruddin Md Nor kepada seruan Mukhriz supaya PPBM kembali ke pangkuan PH seperti yang dipetik oleh Joceline Tan menarik perhatian saya:

“Politics is a long journey. He is in the middle of the river, it is still a long way to the other side and he must have realised that it is easier to swim back, ” he said.

The Star Online (Bersatu’s 3Ms are torn two ways)

The Star melaporkan pemimpin politik berpengalaman ini berpendapat bahawa kembali ke pangkuan PH pada ketika ini bermakna berunding pada tahap kedudukan yang lemah.

“Previously, we were like a young bride, but to go back like this, we are second hand. Time to move on, ” he said.

The Star Online (Bersatu’s 3Ms are torn two ways)

Persoalannya, bagaimanakah PPBM akan meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh menyatu padukan rakyat Malaysia jika mereka sendiri gagal bersatu?

Saya melihat perpecahan dalaman PPBM hanya akan melemahkan parti dan mengecewakan ahli-ahli mereka. Mungkin keputusan muktamad tentang arah tuju parti akan lebih jelas selepas berlangsungnya pemilihan parti mereka nanti.

Justeru, pada hari persidangan Dewan Rakyat nanti, Ahli-ahli Parlimen PPBM akan berada di blok kerajaan dan juga di blok pembangkang; apakah ini satu keadaan yang menggambarkan semangat demokrasi era norma baharu?

Mereka yang bersama blok pembangkang akan berusaha secara terbuka untuk menumbangkan presiden parti mereka sendiri daripada kerusi Perdana Menteri.

Jika usaha Tun berjaya, maka, dalam masa kurang daripada 3 bulan, Tun telah berjaya menumbangkan 2 buah kerajaan yang dipimpin oleh 2 pemimpin PPBM, iaitu parti Tun sendiri.

Cabaran seterusnya pula ialah untuk mencari kata sepakat dalam menentukan siapakah calon yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri ke-9.

Sila baca: Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?


Kemelut PPBM: Ke Mana Syed Saddiq Selepas Ini?

[Malaysia Gazette}- Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta memecat Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai ketua armada parti.

Justeru, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof mencadangkan Exco Armada, Muzammil Ismail sebagai pemangku sementara pemilihan semula ketua Armada dilakukan.

“Muzammil ada potensi besar dan dapat sokongan akar umbi, saya cadangkan presiden dia (Muzammil) boleh pangku ketua Armada jika Syed Saddiq didapati langgar disiplin parti, kita kena gerak cepat,” katanya.

Beliau ditemui bersama Muzammil di perkarangan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Mohd. Redzuan Yusof, dua ahli pimpinan parti itu adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tindakan itu diambil kerana mendapati Mukhriz dan Syed Saddiq mengambil pendekatan menentang Muhyiddin.

“Kita ada Lembaga Displin dan kita ada peraturan dan akan jalankan proses itu. Nampaknya jawatan Ketua Armada yang disandang oleh Syed Saddiq akan dikosongkan tapi dia boleh memangku tugas itu atas arahan presiden,” katanya.

Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq antara pimpinan Bersatu yang bertindak menyokong bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.