VIP Langgar PKP: Polis Akan Rakam Percakapan Timb. Menteri

Baca versi Jawi di sini.

Polis akan memanggil Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bagi membantu siasatan berhubung isu tular mengenai kehadirannya pada majlis di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, berdasarkan siasatan awal, timbalan menteri terbabit sebelum itu meninjau persiapan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lenggong atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

“Beliau diiringi sebahagian Exco negeri Perak, termasuk salah seorang pemilik sebuah maahad tahfiz.

“Exco yang juga pemilik maahad tahfiz itu kemudian membawa timbalan menteri berkenaan melawat maahad tahfiznya sebelum satu majlis makan diadakan oleh pengurusan maahad berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Razarudin berkata, mungkin kerana pihak pengurusan sudah menyediakan jamuan makan, maka timbalan menteri itu tidak menolak untuk menyertai majlis itu.

“Bagaimanapun berdasarkan gambar majlis makan yang tular di laman sosial, kesemua hadirin termasuk timbalan menteri berkenaan didapati duduk dalam keadaan berjarak antara satu sama lain.

“Bagaimanapun siasatan tetap akan dilakukan terhadap kesemua individu yang menghadiri majlis berkenaan,” katanya.

Razarudin memaklumkan pihaknya masih lagi melengkapkan siasatan termasuk memanggil kesemua yang terbabit dalam masa terdekat. -{Sinar Harian]

Infografik – PKPD di Jalan Masjid India & Kawasan Sekitar Dijelaskan

Sumber: Berita Harian Online

SPM, SVM, STAM ditunda pada suku pertama 2021

Versi Jawi akan menyusul.

Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun depan,

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama tahun depan.

“Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya pada sidang media hari ini. -{Berita Harian]

Covid-19: Selangor Tangguh Solat di Masjid, Surau Hingga 31 Mei

Baca versi Jawi di sini.

Sultan Selangor mengarahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Mohamad Munir Bani berkata arahan baru akan dikeluarkan sekiranya wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal.

“Melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Selangor, sultan menzahirkan kebimbangannya terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam kenyataan.

Sultan juga mengarahkan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardhu, serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

Sultan Sharafuddin juga kecewa dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu berkaitan wabak itu yang semakin menular.

Semua pihak diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Sultan juga berharap agar rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” katanya. -{Free Malaysia Today]

Teks Perutusan Khas PM Mengenai Covid-19 (10/04/20)

Baca versi Jawi di sini.

Sila baca: Covid-19: PKP Dilanjutkan Hingga 28 April, Selaras Nasihat WHO

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat sejahtera bersama keluarga di rumah. Bagi yang sedang bekerja, selamat bekerja dan jaga kesihatan. Sentiasa amalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan apabila balik ke rumah jangan lupa mandi dulu. Kemudian barulah buat apa-apa aktiviti bersama keluarga.

Di awal ucapan saya ini, saya nak menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada anda semua sebagai rakyat Malaysia. Anda adalah manusia yang hebat.

Doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan, anda mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad. Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit COVID 19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan COVID 19 untuk dirawat.

Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.

Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih.

Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Samada grab food, food panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat.

Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Saudari-saudari yang saya kasihi,

Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil. Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar 7%, iaitu di bawah benchmark 10% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO. Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.

Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43% pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes. Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular.

Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenalpasti menjadi punca penularan wabak ini.

Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020. Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugaspetugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.

Tindakan ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negaranegara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal. Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin

berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.

Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak. Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya.

Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolah sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah. Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

Walaupun keadaan di negara kita insyaAllah akan kembali pulih dengan langkahlangkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini. Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran kita.

Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat loronglorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini. Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah.

Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.

Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.

Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudarasaudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa. Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang

terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garispanduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahankan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor-sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.

Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Perintah ini masih berkuatkuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi. Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan.

Senarai sektor ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.

Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Let me remind you that the war on COVID-19 is not yet over. The fight is still on. We are doing well so far, so just uplift your spirit and continue to fight. If we persevere, insyaAllah we will win.

Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang. Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini

menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. InsyaAllah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Covid-19: PKP Dilanjutkan Hingga 28 April, Selaras Nasihat WHO

Baca versi Jawi di sini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dilanjutkan selama 14 hari lagi (2 minggu) sehingga 28hb April 2020.

Sila baca: Teks Perutusan Khas PM Mengenai Covid-19 (10/04/20)

Keputusan ini dibuat selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesyorkan agar segala kawalan pergerakan di seluruh dunia diteruskan dan tidak dihentikan untuk membendung wabak Covid-19.

Sesi persekolahan di seluruh negara turut di tangguhkan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya, dan Tan Sri Muhyiddin telah meminta Kementerian Pendidikan agar melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home-based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat di dalam perkhidmatan kesihatan, keselamatan, serta kebajikan.

Beliau mengingatkan bahawa rakyat harus biasa dengan kebiasaan baharu atau “the new normal“, di mana kita perlu membiasakan amalan perkara-perkara yang baharu untuk mengawal penularan wabak ini, termasuk tidak berjabat tangan yang telah digantikan dengan isyarat tunduk sahaja.

Beberapa sektor-sektor ekonomi terpilih juga akan dibuka semula secara berperingkat, tetapi terdapat garis panduan ketat yang harus dipatuhi; dan kebenaran akan ditarik balik jika syarikat gagal mematuhi arahan kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan diri serta ahli keluarga, dan mengingatkan semua untuk terus berusaha dalam mengawal penularan Covid-19, berdoa dan berserah kepada Allah S.W.T. sentiasa.

Mendepani Badai Pasca Covid-19: Bersiagakah Remaja?

Baca versi Jawi di sini.

Dalam sekelip mata, penularan pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan manusia di seluruh dunia; satu kenyataan yang selama ini tidak dapat kita bayangkan bakal berlaku.

Sebagai seorang remaja, saya tertanya-tanya bagaimanakah sikap golongan remaja dalam menghadapi saat ini dan apakah persediaan yang diambil untuk menghadapi kemungkinan berlakunya cabaran yang lebih besar selepas ini?

Kini, ramai dalam kalangan remaja cuma terkesan dengan cara kehidupan baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin ada yang sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berbeza daripada rutin harian mereka sebelum ini.

Namun apakah mereka sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya jika keadaan ekonomi keluarga terjejas selepas ini?

Saya benar-benar berharap para remaja tidak alpa tentang kemungkinan berlakunya ujian yang lebih besar jika ditakdirkan ibu bapa mereka hilang punca pendapatan atau mereka hilang tempat bergantung.

Pelbagai industri telah merasa kesan akibat wabak ini khasnya industri penerbangan, pelancongan, industri penghotelan dan pelbagai industri lain yang berkaitan termasuk mereka yang menjual hasil kraftangan dan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong-pelancong.

Penjual makanan seperti Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang mungkin hilang pendapatan semasa PKP, tetapi jika mereka berjimat menggunakan Bantuan Prihatin Nasional, mereka akan boleh kembali berniaga apabila keadaan pulih; tetapi bagaimana pula dengan mereka yang akan diberhentikan kerja jika keadaan ekonomi dunia bertambah buruk selepas ini?

Dapatkah seorang remaja yang selama ini hidup mewah, mementingkan gaya hidup bersifat materialistik, hidup berpaksikan budaya hedonisme menerima kenyataan jika ibu bapa mereka secara tiba-tiba hilang pendapatan atau tidak lagi mempunyai pendapatan sebanyak sebelumnya?

Hakikatnya, ada dalam kalangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi tidak mempunyai simpanan tunai yang banyak kerana mereka berbelanja besar, contohnya untuk membayar rumah serta kenderaan yang mahal, berpakaian daripada jenama terkenal, makan di restoran ternama dan sering bercuti ke luar negara.

Malah terdapat juga dalam kalangan mereka ini yang menanggung pelbagai hutang kerana sering berbelanja melebihi daripada pendapatan.

Apakah para ibu bapa bersedia untuk berterus-terang dengan anak remaja mereka tentang kemungkinan berlakunya perkara sebegini serta membantu anak-anak mereka membuat persediaan mental dan emosi sebelum ianya terjadi?

Bagi sesetengah remaja yang suka mempamerkan kemewahan hidup khasnya di media-media sosial, sudah tentu akan merasa tertekan jika tidak lagi dapat bercuti keluar negara atau berbelanja seperti sebelumnya.

Mereka mungkin merasa terpinggir kerana tidak lagi mampu untuk berbelanja besar dan bersuka-ria bersama teman-teman mereka seperti sebelumnya.

Keadaan ini akan bertambah parah jika ibu bapa mereka juga mengalami tekanan mental dan emosi akibat kehilangan pendapatan, sama seperti anak remaja mereka. Kehidupan kekeluargaan akan menjadi tegang dan jika gagal di atasi, ianya akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah sosial yang lain.

Sebagai seorang remaja, saya merasakan bahawa ibu bapa sepatutnya menjadi tonggak kekuatan anak-anak, mereka mesti berterus-terang dan berbincang dari hati ke hati jika ada kemungkinan perkara ini akan berlaku supaya anak-anak mereka lebih bersedia dan kuat untuk menghadapi rintangan.

Di sinilah pentingnya hubungan kekeluargaan yang erat serta adanya komunikasi yang baik di antara setiap ahli keluarga.

Daripada pengalaman saya, kekuatan semangat dan kasih sayang ibu dan kakak-kakak telah memudahkan saya mengadaptasikan cara kehidupan yang sangat berbeza daripada sebelumnya setelah arwah ayah pergi meninggalkan kami secara tiba-tiba.

Kami sering berbincang tentang pelbagai perkara termasuk perbelanjaan keluarga di mana ibu berterus-terang tentang keadaan kami sekarang, agar kami faham keadaan yang sebenarnya dan boleh merancang perbelanjaan keluarga dengan lebih baik.

Sila baca: Setahun Yang Amat Getir

Para remaja mesti kuat dan redha dalam menghadapi dugaan dan janganlah menyalahkan orang lain di atas musibah yang melanda kehidupan mereka.

Janganlah memberontak dan bersikap mementingkan diri sendiri kerana semuanya itu hanya akan memburukkan keadaan. Remaja tidak harus meminta sesuatu yang tidak lagi mampu disediakan oleh ibu bapa mereka; walaupun dahulunya apa yang mereka minta itu adalah perkara yang biasa dalam kehidupan mereka.

Remaja tidak boleh berputus asa, kita mesti bangkit dengan semangat yang jitu dan berusaha membantu ibu bapa mencari rezeki, termasuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Belajarlah hidup dengan seadanya dan berikan kekuatan serta kasih sayang kepada ibu bapa kita di saat mereka berhadapan dengan dugaan hidup.

Kasih sayang dan keredhaan ibu bapa lebih berharga daripada harta benda dan sebagai anak kita mesti sanggup berkorban untuk ibu bapa kita.

Ukur baju di badan sendiri; belajarlah untuk hidup berdasarkan kemampuan diri kita dan janganlah kita hidup berteraskan budaya materialistk dan hendonisme yang melalaikan dan merugikan kita.

Rezeki datang daripada Allah S.W.T., bersyukurlah dengan segala kurnian Allah, semoga kita semua dilimpahi keberkatan dan sentiasa berada di bawah lindunganNya, aamiin.

Covid-19: Tengku Hassanal Sumbang Elaun Diraja ke Tabung Covid-19 Pahang

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk tidak menerima bayaran Elaun Diraja baginda, selama enam bulan bagi disalurkan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, bayaran elaun itu adalah bagi tempoh bermula bulan ini sehingga September nanti.

“Baginda berharap agar bantuan yang dicadangkan dan diluluskan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera.

“Selain itu, baginda turut bertitah supaya seluruh rakyat Pahang sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pemangku Raja juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia diberi kesembuhan yang segera oleh Allah SWT.

“Selain itu, baginda juga berharap kesemua petugas barisan hadapan sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri`Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja untuk baginda berdua selama enam bulan. -{Berita Harian]

Agong, Permaisuri Berkenan Emolumen Diraja Tidak Dibayar 6 Bulan

Baca versi Jawi di sini.

[BERNAMA}- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka baginda berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PKP Diperketatkan di Batu 21-24 Sungai Lui, Hulu Langat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.