Wad Paediatrik Hospital Selayang Ditutup Sementara – 2 Kakitangan Positif COVID-19

pediatric

(Malaysia Gazette)- KUALA LUMPUR  – Jabatan Paediatrik Hospital Selayang terpaksa menutup semua wadnya buat sementara waktu selepas dua kakitangan jabatan itu disahkan positif COVID-19.

Penutupan itu dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Selayang Dr. Sakinah Alwi dalam satu notis.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang rujukan atau kemasukan pesakit baru ke semua wad Paediatrik.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kakitangan dari Jabatan Paediatrik Hospital Selayang disahkan positif COVID-19 dan siasatan lanjut masih berjalan.

“Kami tidak akan menerima sebarang rujukan atau kemasukan pesakit baru ke semua wad dan pesakit sedia ada tidak dibenarkan pulang sehingga siasatan lanjut dari pihak kami selesai.

“Pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang juga diminta triaging away semua kes paediatrik ke hospital lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan disahkan positif COVID-19 dan seorang daripada mereka kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Turut disahkan positif virus yang sedang menular di seluruh dunia itu tiga petugas kesihatan dari sektor swasta.

Jemaah Menteri Diumumkan Isnin Ini?

[MalaysiaGazette}- Timbul spekulasi bahawa senarai penuh Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan diumumkan Isnin ini.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, ini kerana kesemua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mengemukakan senarai calon masing-masing bagi diangkat sebagai jemaah Menteri di bawah pimpinan Muhyiddin.

“Senarai Kabinet dijangka akan diumumkan Isnin, ini diikuti majlis angkat sumpah jawatan pada Selasa.

“Tan Sri Muhyiddin tak akan hold lama-lama senarai Kabinet sebab semua parti sudah bagi senarai calon mereka. Sekarang sudah peringkat akhir,” kata sumber tersebut.

Malah sumber itu memberitahu mesyuarat Jemaah Menteri turut akan diadakan Rabu ini sehari selepas upacara angkat sumpah di Istana Negara.

Dalam pada itu, sumber itu turut mendakwa sejumlah 56 jawatan akan diwujudkan merangkumi menteri penuh dan timbalan menteri.

Media semalam melaporkan pemerhati politik meramalkan beberapa bekas menteri kanan daripada UMNO akan mendapat tempat dalam Kabinet Muhyiddin.

Antaranya nama-nama yang disebut-sebut adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ramalan itu berdasarkan kepada pengalaman mereka menguruskan beberapa kementerian selain tidak terpalit dengan kontroversi murahan.

Mahdzir diramalkan akan diberi tanggungjawab menjaga portfolio pertanian atau luar bandar berdasarkan pengalaman menjadi exco pertanian dan kawasan diwakilinya.

Manakala Hishammuddin layak dipertimbang untuk menguruskan hal ehwal antarabangsa kerana dia ‘lulus’ ketika menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas dan sewaktu mengendalikan tragedi MH370.

Pemimpin Pas antara yang disebut-sebut adalah Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Takiyuddin Hassan dan beberapa orang lagi disebut-sebut layak memegang kementerian tertentu terutamanya menjaga hal ehwal agama yang sebelum ini dilihat menimbulkan kegusaran banyak pihak.