Annuar Musa Tidak Dipecat, Tetapi diGANTI Ahmad Maslan

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa sebenarnya tidak dipecat dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional, namun digantikan dengan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Hal itu dijelaskan Ahmad Maslan ketika ditanya pihak akhbar di Bangunan UMNO sebentar tadi, selepas hal itu kecoh di alam maya apabila akhbar tempatan mula melaporkan perkara tersebut.

Sila baca: Annuar Musa Dipecat Sebagai SUA Barisan Nasional

“Beliau tidak dipecat, beliau diganti. Biasanya Setiausaha Agung UMNO ini juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional. Saya kira itu di antara sebabnya.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Beliau turut menjelaskan bahawa Setiausaha Agung I Muafakat Nasional turut diganti dengannya, kerana Setiausaha Agung bagi Barisan Nasional dan Muafakat Nasional lazimnya adalah Setiausaha Agung UMNO.

“Saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung Muafakat Nasional (bagi menggantikan Annuar Musa). Saya ingin tegaskan ia adalah mengganti. Presiden sebut tadi, perkataannya adalah saya mengganti tugas beliau itu.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Apabila ditanya jika ia berkaitan dengan kecenderungan Annuar Musa kepada menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang merupakan parti pecahan dari UMNO, Ahmad Maslan enggan mengulas apa-apa tentang hal itu.

Untuk rekod, Annuar Musa telah diganti dengan Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO dahulu selepas Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persektuan pada bulan Mac tahun lepas.

Ahmad Maslan juga memaklumkan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ketua-ketua bahagian UMNO melalui usul-usul mereka akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada malam esok.

Sila baca: Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Beliau turut memberitahu bahawa pada jam 5 petang esok, UMNO akan mengadakan mesyuarat biro politik yang melibatkan pengerusi badan-badan perhubungan.

Ahmad Maslan juga ditanya tentang khabar angin bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin UMNO keluar dari kerajaan sebelum bulan Februari, namun beliau kata bahawa itu hanyalah sekadar laporan.

“Itu hanya laporan. Apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi. Jadi keputusan muktamad apa juga yang dibincangkan adalah (pada mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi esok malam.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Ahmad Maslan juga memberitahu bahawa Zahid menyuruh ahlinya bersedia untuk Pilihan Raya dan bahawa itu adalah satu perkara yang mustahak, sebagaimana ucapannya di perasmian Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bagan Datuk baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan Perikatan Nasional merupakan kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis dalam dunia, menjadikannya sebuah kerajaan yang tidak stabil.

“Kerajaan ini sebenarnya betul-betul di atas garisan. Nak menjadi kerajaan di Malaysia ini, kena seratus sebelas campur satu (seratus dua belas), baru boleh jadi kerajaan. Dan kerajaan ini ialah kerajaan seratus sebelas campur satu.

“Bererti dengan lain perkataan sebagaimana saya pernah sebut dalam ucapan-ucapan saya sebelum ini, kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tipis majoritinya dalam dunia. Setakat saya maklum, kerajaan yang paling tipis majoriti dalam dunia.

“Jadi kerajaan ini tidak stabil. Itu kena diakui oleh semua pihak bahawa kerajaan ini tidak stabil.”

Datuk Seri Ahmad bin Maslan – Selasa, 5 Januari 2021

Demi Parti, Akar Umbi Cawangan UMNO Desak Perkukuh MN, Tolak Kerjasama PPBM

Akar umbi UMNO telah bersuara menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), serta mendesak UMNO menarik semula sokongan terhadap Perikatan Nasional jika Pilihan Raya tidak dapat diadakan dalam suku pertama 2021.

Di dalam sebuah usul hasil daripada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang hari ini, mereka turut mahukan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional diperkukuhkan, dan menambah bahawa kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai dua tahun lepas.

Berikut merupakan usul mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang:


Mensyukuri, Bahawa UMNO dan BARISAN NASIONAL telah berperanan besar menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan telah menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga Piliharaya Umum 15 demi rakyat;

Mengakui, Bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk tersebut telah menafikan Hak-Hak dan Suara UMNO dan BN dalam Kerajaan Hari ini.

Menginsafi, bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti.

Maka, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang

Membuat Ketetapan Seperti Berikut :-

PERTAMA: Menolak sebarang kerjasama dengan PPBM berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat Cawangan.

KEDUA: Mencadangkan supaya PRU diadakan dalam Suku Pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat dan sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka Ahli Parlimen UMNO mestilah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

KETIGA: Mendesak UMNO bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi Parlimen dan Negeri yang ditandingi dalam PRU ke-14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

KEEMPAT: Mencadangkan supaya UMNO Bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

KELIMA: Mengukuhkan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui pengukuhan Muafakat Nasional. Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

UMNO & PAS Setuju Daftar Muafakat Nasional

Dua parti Melayu terbesar, Umno dan PAS, bersetuju untuk mendaftarkan kerjasama politik mereka, Muafakat Nasional, selepas Umno mencadangkan hal itu secara terbuka dalam kenyataan baru-baru ini.

Setiausaha agung I dan II gabungan itu, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, mengumumkan kepimpinan kedua-dua parti bersetuju untuk mengorak langkah itu dalam kenyataan hari ini, di sebalik penangguhan jawatankuasa perunding MN yang sepatutnya bertemu semalam.

“Kepimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya hari ini.

Umno mencadangkan kepada PAS supaya mendaftarkan MN sebagai gabungan yang sah ketika mengumumkan ia akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional, yang disertai PAS.

Peneraju PN, PPBM, pada Ogos menyatakan hasrat untuk menyertai MN selepas diundang secara rasmi, namun akar umbi Umno dikatakan tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea itu.

Ketika ini, Umno mempunyai 39 ahli Parlimen manakala PAS pula 18 ahli Parlimen. Lapan wakil rakyat MN memegang jawatan di peringkat eksekutif dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.

Dilaporkan sebelum ini, Umno dengan sejarah sejak 1946 mempunyai lebih 3 juta ahli, manakala PAS yang bertapak 69 tahun lalu mempunyai kekuatan ahli lebih 1 juta, dengan 806,000 daripadanya aktif.

MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin secara rasmi pada 14 Sept 2019, menyusuli kekalahan Umno dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum 2018 di tangan PPBM dan Pakatan Harapan.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, berpendapat cadangan Umno meminta menyegerakan pandaftaran MN ini secara tidak langsung kata dua parti itu kepada PAS, ketika kedudukan kerajaan PN dikatakan semakin tidak menentu susulan pengumuman Umno mempertimbangkan sokongannya.

“Sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN,” katanya. -{Free Malaysia Today]

Bersatu Diterima Menyertai Muafakat Nasional?

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) yang berlangsung malam ini akan membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu secara rasmi.

Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu boleh dibincangkan kerana ia pernah diminitkan dalam mesyuarat sebelum ini.

Beliau berkata, mesyuarat disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu untuk memberi nasihat dan membincangkan perkara-perkara penting bagi memperkuat kesepakatan sedia ada.

“Mungkin kemasukan Bersatu itu boleh dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat lepas.

“Biasanya mesyuarat ini kita buat dua minggu sekali namun ada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ia terbatal. Lazimnya mesyuarat ini dihadiri Timbalan Presiden UMNO dan Pas sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai operasi sanitasi di Presint 4, di sini hari ini.

Operasi tersebut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, penyertaan Bersatu sebelum ini telah dimaklumkan secara hitam putih dan presiden-presiden bersetuju untuk menyertai MN.

“Perbincangan kemasukan Bersatu turut memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU), piagam yang baharu dan ia tidak boleh menggunakan kaedah sepertimana UMNO dan Pas sebelum ini.

“Kerjasama yang UMNO dengan Pas dulu lama, sekarang ini kita kena draf MoU yang baharu, piagam dan sebagainya.

“Kalau Bersatu masuk tentu ia tidak boleh ambil sahaja piagam lama, MoU lama. Jadi macam mana cara kerjasama itu kita bincang, yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” katanya.

Ogos lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN iaitu kerjasama antara UMNO dan Pas. –{Utusan Digital]

Kerakusan Politik: Pandangan Dari Kaca Mata Anak Muda

Krisis politik bergema lagi, ‘Number game‘ muncul kembali! Semalam Anwar Ibrahim mengumumkan “kerajaan Muhyiddin telah jatuh” berikutan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong.

Benar atau tidak, tiada yang tahu melainkan pihak yang berkenaan. Namun ramai yang mempertikaikan jumlah sokongan yang didakwa memandangkan kenyataan rasmi daripada ahli-ahli Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional menafikan memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Sila baca: UMNO, PAS, GPS Nafi Kerajaan PN Jatuh

Kalau begini keadaannya, kita akan bertukar kerajaan ibarat bertukar baju. Yang rugi dan merana ialah rakyat; padahal pemimpin yang mereka undi dahulu telah menjanjikan bulan dan bintang.

Apakah ini hasil yang kita banggakan daripada sistem demokrasi?

Natijahnya, rakyat sudah muak dengan permainan sebegini. Selepas beberapa bulan lagi, akan bermula pula ‘number game‘ yang baharu dan keadaannya tidak akan berkesudahan sehinggalah satu tindakan konkrit diambil untuk menamatkannya.

Terfikirkah anda bagaimanakah nasib generasi saya di masa hadapan jika keadaan negara berterusan begini? Tengku Razaleigh Hamzah pernah menyatakan kerisauannya tentang masa depan anak muda jika krisis politik ini berterusan.

“Sekarang ini orang pandang kepada kerajaan kita sebagai kerajaan yang tidak stabil. Bila-bila masa boleh jatuh, boleh dijatuhkan. Jadi oleh kerana itu modal tak nak masuk ke dalam negara kita. Jadi apabila modal tak masuk, kemungkinan kita tak boleh wujudkan peluang-peluang pekerjaan.

“Kita banyak muda-mudi, orang yang kehilangan pekerjaan kerana Covid-19, dan banyak masalah yang lain. Dan kita tidak boleh biarkan keadaan ini berlarutan, dan orang kita mesti diberi pekerjaan, mesti diasuh mereka dalam kemahiran-kemahiran tertentu, supaya kita dapat tingkatkan daya pengeluaran rakyat kita dan negara kita, kerana kita mesti bersaing dengan negara luar di sana.

“Jadi kalau kita asyik tunggu, bergantung kepada nasib, kita tak perlu bermain politik, tak perlu kita memegang kuasa. Kita nak kuasa nak guna supaya boleh memberi faedah kepada rakyat kita, terutama sekali muda-mudi, yang sekarang ini, generasi sekarang, sudah terpelajar, sudah mempunyai pendedahan kepada berbagai-bagai pengalaman.”

Tengku Razaleigh Hamzah – 17 September 2020

Sila baca: Lucut Atau Tidak Kuasa Pemerintahan Ditentukan Dewan Rakyat – Ku Li

Kini, rakyat sekali lagi mengharapkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik tanah air. Pengalaman telah mengajar kita bahawa ketika keadaan negara bergolak akibat permainan politik, sistem pemerintahan negara kita masih kekal di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Junjunglah sistem Raja Berperlembagaan. Jangan kita hanya ghairah menjulang sistem politik moden dan memperlekehkan peranan Raja-raja Melayu yang telah memerintah Tanah Melayu sejak zaman-berzaman lagi.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Daulat Tuanku!

Muafakat Nasional Mesti Perjelaskan Hala Tuju Sebagai Pakatan Melayu-Islam: Ku Li

Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun hala tujunya ketika ini masih tidak jelas, kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, MN yang dibentuk oleh UMNO dan Pas kini bagaikan hilang arah tuju sebenar sebagai sebuah pakatan Melayu Islam.

Beliau berkata, pelawaan pihak yang bertanggungjawab dalam MN meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi anggota juga bercanggah dengan tujuan asal gabungan itu.

“Saya tidak kritik sesiapa dan hanya bagi pandangan. Kelirulah… Kalau saya keliru, orang bawah macam mana? Kita nak hadapi pilihan raya mesti jelas.

“Orang bawah bosan, keliru dan rasa sesuatu tak kena. Kalau ada orang syok sangat kepada Bersatu, dia masuk Bersatulah. Tak ada siapa nak halang. Biar dia pertahankan Bersatu itu dia punya hal.

“Tetapi kita nak jaga apa yang diberitahu kepada rakyat mesti perkara yang nak dilaksanakan oleh kita. Jangan cakap lain, bikin lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Cekati di sini hari ini.

Jumaat lalu, beliau dilaporkan berkata, pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima keahlian bukan Melayu.

Beliau berkata, tindakan Bersatu itu menjadikannya tidak layak menganggotai pakatan Melayu Islam yang didokong MN.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, kenyataannya sebelum ini yang meminta ahli UMNO dalam Kabinet PN segera berundur daripada jawatan masing-masing adalah pandangan peribadinya.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengkritik mana-mana pemimpin atau parti lain tetapi hanya memberi pandangan dalam keadaan situasi politik yang berlaku ketika ini.

“Parti kita kata sudah tidak menyertai kerajaan PN tetapi ahli-ahli UMNO masih duduk dalam Kabinet yang ditubuh oleh kerajaan. Ini semuanya menimbulkan kekeliruan.

“Kalau pemimpin tak setuju pandangan saya dia punya hal lah. Saya hanya bagi pandangan. Nak dengar, dengarlah… tak nak dengar sudah,” katanya. –{Utusan Digital]

Di Sebalik Kemelut Politik, Ramai Gesa Ku Li Dilantik Jadi PM

Baca versi Jawi di sini.

Laporan portal Malaysiakini tentang kenyataan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub mengenai calon Perdana Menteri untuk PRU15 menarik perhatian saya.

“Kalau semua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak layak untuk jadi perdana menteri, saya nak beritahu: Ku Li layak … Kenapa tidak cadangkan nama dia?”

Mustapha Yaakub – ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’ – Malaysiakini

Di dalam laporan tersebut yang bertajuk, ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’, Mustapha menegaskan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Ku Li merupakan calon yang paling layak dipilih sebagai Perdana Menteri Malayisa ke-9.

Merujuk kepada kenyataan Muafakat Nasional, Mustapha menambah:

“Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah dua parti ini tidak mempunyai individu yang layak (di)calonkan sebagai perdana menteri.

“Kalau yang lain tak layak, calonkan lah Ku Li, dari segi pengalaman beliau layak dan pernah memegang jawatan penting dan menteri kanan dalam kerajaan sebelum ini,”

Mustapha Yaakub – ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’ – Malaysiakini

Sila baca: Sejarah Asal Penubuhan PETRONAS Yang Ramai Kakitangan PETRONAS Pun Tak Tahu

Mutakhir ini, nama Tengku Razaleigh naik lagi, malah, nama Tengku Razaleigh begitu sering dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri, termasuk ketika krisis politik 2020, sejurus sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8.

Sila baca: Ku Li, the Best Choice for Our Nation?

Menariknya, penganalisis politik terkenal dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian pernah menamakan tiga pemimpin yang berkemungkinan mengganti Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini, iaitu daripada PKR, Anwar Ibrahim, daripada PPBM Muhyiddin Yassin dan daripada UMNO Tengku Razaleigh.

Malah, beberapa hari yang lepas, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menamakan Tengku Razaleigh sebagai antara calon-calon terbaik yang dipunyai UMNO bagi jawatan Perdana Menteri Malaysia, seperti dilapor oleh akhbar Sinar Harian pada 4hb Julai dalam berita yang bertajuk “Lima calon UMNO berpotensi jadi Perdana Menteri, kata Khaled”.

Hantaran Naib Presiden PERKASA, Syed Hassan bin Syed Ali di garis masa Facebook beliau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga mempersoalkan mengapa UMNO tidak mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia, di dalam satu hantaran di garis masa Facebook beliau.

Bagi pemerhati politik, bukanlah satu rahsia di mana Tengku Razaleigh telah sanggup melepaskan jawatan yang sangat kanan dalam kabinet semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pembinaan ekonomi negara, khususnya dalam membangunkan Petronas yang baharu beliau asaskan ketika itu.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Sebagai remaja yang baharu belajar meniti ranjau kehidupan, ketabahan dan sikap istiqamah Tengku Razaleigh dalam menghadapi perjalanan politik yang berliku amat saya kagumi dan menjadi inspirasi bagi diri saya; begitu juga sikap Tengku ketika menghadapi pelbagai fitnah.

Sila baca: Krisis Peralihan Kuasa: Siapakah PM Seterusnya?


PRK Tanjung Piai: Bagaimanakah Sikap Pengundi?

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak lama lagi, kawasan Parlimen P165 Tanjung Piai akan menjadi meriah dihiasi berbagai poster, bendera parti dan kain rentang yang berwarna-warni serta sibuk dengan kehadiran pemimpin dan petugas parti dari seluruh negara.

Tarikh mengundi awal telah ditetapkan pada 12 November sementara hari mengundi pada 16 November. 

Setiap parti yang bertanding sudah pasti bertekad untuk menang. Justeru, semua pihak pasti sibuk merangka berbagai strategi untuk menang dengan bergaya. Maka untuk itu, kekuatan jentera serta sentimen dan sikap pengundi adalah sangat penting.

Ada yang mengatakan PRK P165 Tanjung Piai ialah medan penentu kejayaan piagam kerjasama Muafakat Nasional tetapi kita semua tahu bahawa kerjasama di antara BN dan PAS telah terjalin di dalam beberapa PRK sebelum ini, dan jelas dilihat sejak PRK P078 Cameron Highlands.

Benarkah sentimen dan kempen ‘Vote Muslim First’ (VMF) akan mempengaruhi sikap pengundi dan akan memberi kemenangan mudah kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika Barisan Nasional (BN) memilih calon dari parti Malaysian Chinese Association (MCA)?

Strategi ini boleh digunakan kepada pengundi Melayu yang menyokong ‘Buy Muslim First’ (BMF) tetapi sanggupkah pengundi yang lantang menentang serta menolak kempen dan sentimen BMF, khasnya pengundi bukan Melayu untuk menjadi penyokong sentimen VMF? Kerana secara logiknya, mereka juga tidak mahu dilihat mengiktiraf VMF dan juga BMF selepas PRU nanti.

Apa lagi jika BMF menjadi sebab kenapa pengundi bukan Melayu menolak calon BN yang dikatakan menyokong BMF. Ironik jika pengundi yang membenci BMF mengundi calon yang dikempen atas dasar VMF, kecualilah jika mereka keliru atau sememangnya penyokong setia parti.

Parlimen P165 Tanjung Piai meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup dengan jumlah pengundi seramai 53,528 seperti yang dilaporkan ketika PRU 14.

Walaupun menang tipis dengan majoriti 524 undi daripada 45,789 jumlah undi yang diterima, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari PPBM yang bertanding atas tiket PKR telah berjaya merampas kerusi tersebut daripada penyandangnya, Datuk Wee Jeck Seng dari MCA yang mewakili BN pada PRU 14.

Faktor calon sangat penting dalam setiap pilihan raya, namun dalam keadaan tertentu seperti yang dilihat dalam PRU 14, ramai pengundi sanggup mengundi PH tanpa mengambil kira faktor calon kerana bertekad untuk memenangkan parti dan menjatuhkan kerajaan pada ketika itu.

Bagi Parlimen Tanjung Piai, undi Melayu amat penting untuk memenangkan calon memandangkan bilangan pengundi Melayu adalah melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Pendapat umum mengatakan bahawa di Johor, sokongan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan faktor yang berjaya menarik undi Melayu daripada UMNO; sementara PH mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina; hal ini juga terpakai di Tanjung Piai.

Justeru, tidak hairan jika terdapat sebahagian daripada pengundi PPBM yang agak kecewa kerana mereka mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin negara selepas Tun.

Tambahan, kini ada pihak dalam PH yang mendesak Tun menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang tahun 2020, sedangkan penyokong Tun mahu beliau terus kekal sehingga habis satu penggal.

Beberapa hari yang lalu, Tun berkata akan melepaskan jawatan sebelum PRU 15 dan mempunyai masa 3 tahun; namun akhbar-akhbar juga melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka akan menggantikan Tun menjelang tahun hadapan.

Tidak mustahil jika faktor sokongan samada kepada Pengerusi, Timbalan Presiden atau Ketua Umum PH serta masalah dalaman parti akan mempengaruhi sentimen serta sikap pegundi dan jentera parti.

Sebagai kerajaan negeri dan pusat, PH mempunyai lebih ruang dan berbagai kelebihan untuk menawan hati pengundi, apatah lagi penyandang kerusi tersebut juga dari PPBM.

Namun kes pencemaran udara akibat sisa toksik di Sungai Kim Kim dan beberapa kes lain di Pasir Gudang, serta masalah dalaman parti di Johor mungkin sedikit sebanyak boleh memberi impak kepada PRK ini.

Begitu juga dengan dengan isu janji PRU 14, keadaan ekonomi semasa, kenaikan harga barang, isu cukai dan sebagainya yang pasti akan mempengaruhi sikap pengundi terhadap parti kerajaan.

Oleh kerana penyandang kerusi P165 Tanjung Piai ialah dari PPBM, tekanan untuk mempertahankan kerusi adalah sangat besar.

Yang pasti, semua pihak akan cuba mengambil hati pengundi dan PRK Parlimen Tanjung Piai akan menjadi medan pertarungan yang sengit di antara PH dan BN.

Walau apapun, dalam bertanding biarlah bermaruah dan bersikap adil serta amanah

Tulisan ini hanyalah satu analisis amatur dari saya, seorang penulis remaja yang tidak berada di lapangan; ianya hanyalah berdasarkan pemerhatian dan pembacaan daripada berbagai laporan berita.

Montaj Muafakat Nasional – Himpunan Penyatuan Ummah 2019 – #HPU914


Saya merasa bangga dan terharu melihat gambar Allahyarham Ayah saya daripada keratan akhbar Utusan Malaysia di dalam montaj tersebut.

Related post:

  1. Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 : Gambar Sekitar Solat Jumaat Di Surau Ar-Rahman PWTC
  2. Setahun Yang Amat Getir
  3. Mengenang A. Karim Omar, Ayah Kesayanganku
  4. Gambar Sekitar Majlis Tahlil A. Karim Omar
  5. A. Karim Omar, Ayah Kesayangan Saya Meninggal Dunia