PKR Sah Pecat Azmin – Apakah Gerakan Pilihan Azmin?

Terkini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dipecat keahlian parti (PKR) berkuat kuasa serta merta.

Persoalannya apakah jalan yang akan dipilih Azmin selepas ini?

Menariknya, hari ini akhbar Astro Awani melaporkan bahawa sedang timbul semula spekulasi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Terbaharu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti tersebut akan membincangkan kemungkinan bagi Mohamed Azmin dan kemnya untuk menyertai parti berkenaan.

Memetik laporan Malaysiakini, perbincangan tersebut akan diadakan tatkala berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu negara pada pukul 4 petang Isnin.

Astro Awani – (Spekulasi Azmin Ali sertai Gerakan timbul sekali lagi)

Menariknya, saya pernah menulis tentang perkara ini pada pertengahan tahun lepas, apabila krisis dalaman PKR mula meruncing dan seolah-olah tidak boleh diselesaikan lagi, di bawah tajuk “Gerakan Lebih Sesuai Untuk Azmin Berbanding PPBM? – Satu Analisa“.

Sebagai penulis amatur yang meminati bidang politik, saya tidak melihat bahawa Azmin akan menyertai parti PPBM seperti yang dispekulasikan oleh ramai pihak pada ketika itu, sebaliknya saya berpendapat bahawa beliau akan memilih sebuah parti politik lain yang lebih menguntungkannya.

Jadi, apakah benar Timbalan Presiden PKR ini akan menyertai bekas ahli komponen Barisan Nasional tersebut, atau adakah ini hanyalah sekadar satu lagi khabar angin di kala keadaan politik negara sedang bergolak?

Spekulasi tentang Azmin akan meninggalkan parti PKR semakin diperkatakan apabila beliau tidak hadir pada mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu hari ini.

Nampaknya isu peralihan kuasa politik di antara Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah benar-benar memanaskan keadaan politik Malaysia.

GERAKAN Nak Kacau Daun di Tanjung Piai?

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) telah mengumumkan bahawa mereka akan turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16hb November ini.

Dalam satu kenyataan yang dibuat presidennya, Datuk Dr Dominic Lau pada 12hb Oktober yang lalu, beliau mengatakan bahawa parti tersebut akan menjadi blok ketiga di dalam pertandingan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Ini adalah kali pertama parti GERAKAN bertanding di dalam PRK sejak parti itu kalah semua kerusi yang ditandingnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Kenapakah GERAKAN berminat untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai sedangkan peluang GERAKAN untuk memenangi PRK ini dilihat amat tipis?

Untuk rekod, P165 Tanjung Piai mempunyai 56-57% pengundi Melayu dan ianya bukanlah merupakan kerusi tradisi bagi parti GERAKAN; malah parti GERAKAN tidak pernah bertanding di kerusi ini.

Oleh itu, apakah parti GERAKAN mempunyai agenda tersirat di sebalik keputusannya untuk meletakkan calon di dalam PRK ini?

Setakat ini saya tidak nampak di manakah kekuatan baharu parti ini untuk menandingai sama ada PPBM atau BN untuk kerusi P165 Tanjung Piai.

Namun, saya percaya segala keputusan parti mestilah bersebab, sama ada ianya semata-mata sekadar satu percubaan untuk mendapatkan kerusi pertama GERAKAN di Parlimen ataupun ianya sebahagian daripada satu ‘grand scheme’ yang lebih besar di sebalik pergeseran terbuka yang berlaku di dalam beberapa parti politik tanah air ketika ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong membuat kenyataan bahawa parti GERAKAN akan meletakkan calon muda di bawah umur 40 tahun untuk PRK ini.

“Kami menawarkan alternatif kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU-14, selain kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam menangani sentimen perkauman,” katanya.

Oh Tong Keong – Berita Harian (GERAKAN tampil calon muda di Tanjung Piai)

Namun ada pemerhati politik yang berpendapat bahawa tindakan parti GERAKAN yang merupakan bekas komponen BN itu adalah untuk memecah undi Barisan Nasional dan seterusnya menolong PPBM memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

PRK P165 Tanjung Piai berlangsung ketika kem Ketua Umum Pakatan Harapan, yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut supaya Perdana Menteri menyerahkan jawatan PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Perkara ini juga melibatkan tuduh-menuduh di antara kem Presiden PKR dan kem Timbalan Presiden PKR iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga melibatkan berbagai spekulasi lain.

Malah, beberapa bulan yang lalu, beberapa media utama melaporkan bahawa Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memperakui bahawa beberapa orang pemimpin PKR yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi menemui beliau untuk berbincang tentang kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti GERAKAN.

Akhbar Sinar Harian pula telah melaporkan kenyataan Naib Presiden GERAKAN, Datuk G Parameswaran dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong mengalu-alukan kedatangan Timbalan Presiden PKR itu sekiranya benar beliau mahu bersama GERAKAN.

Rencana berkaitan: