Analisis: Mampukah Tun Meraih Undi Bukan Melayu?

Baca versi Jawi di sini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu untuk membawa wadah perjuangannya. Menurut beliau, parti tersebut akan diterajui oleh anaknya, Mukhriz dan bakal menjadi kuasa ketiga dalam politik negara.

Sila baca: Tun Mahathir Umum Parti Baharu Untuk Jatuhkan Najib

Beliau mendakwa bahawa PAS tidak bersikap Islamik, UMNO tidak lagi seperti zaman beliau memimpinnya, dan PPBM tidak lagi menentang Najib Razak. Apakah aspirasi beliau adalah untuk menggantikan kesemua parti-parti Melayu ini akan diberi mandat oleh rakyat?

Saya terlalu mentah untuk membaca langkah politik Tun Dr. Mahathir tetapi saya melihat hanya ada dua cara untuk parti baharu ini memegang tampuk kuasa, pertama menang besar dan kedua cuba menjadi “king maker”.

Visi parti baharu beliau agak generik, iaitu untuk memperjuangkan hak semua kaum. Itulah yang dijanji oleh hampir semua parti semasa pilihan raya. Maka untuk mendapat sokongan padu seluruh rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir harus mencari formula yang berkesan dan beliau mempunyai kurang daripada tiga tahun untuk mengatur langkah.

Berdasarkan rekod pilihan raya di Malaysia, lazimnya akan ada hanya dua kuasa besar politik yang berjaya mendapat kerusi yang banyak di Semenanjung Malaysia; manakala kuasa ketiga biasanya tidak dapat menang besar.

Pada mulanya, kuasa utama adalah Perikatan, manakala kuasa kedua adalah PAS, selepas itu kuasa kedua bertukar menjadi DAP, dan seterusnya Barisan Alternatif yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.

Namun, ada dua kes di mana kuasa ketiga telah menunjukkan prestasi yang signifikan, pertamanya adalah dalam PRU3 pada tahun 1969 iaitu pilihan raya pertama bagi parti DAP, apabila mereka memperolehi sebanyak 13 kerusi dan melebihi PAS yang hanya mendapat 12. Kedua ialah dalam PRU8 apabila Semangat 46 bergabung bersama PAS.

Persoalan seterusnya ialah berapakah bilangan kerusi yang bakal ditandingi oleh parti baharu Tun Dr. Mahathir nanti dan apakah Pakatan Harapan akan memberi laluan mudah kepada parti ini untuk menang dalam beberapa kerusi selamat mereka?

Pada PRU14 ketika bergabung membentuk kuasa politik kedua bersama parti pembangkang lainnya, parti PPBM yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir telah memenangi 13 kerusi. Justeru, memandangkan parti baharu Tun Dr. Mahathir ini adalah parti serpihan daripada PPBM, secara logiknya mereka hanya boleh memperolehi sebanyak 13 kerusi secara maksimum jika bertanding dalam PRU15 sebagai kuasa ketiga tanpa sokongan parti-parti lain.

Oleh itu, mereka perlukan satu faktor yang kuat untuk mengalih undi daripada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan kepada parti baharu ini untuk kemenangan yang besar. Faktor Tun sahaja mungkin tidak cukup bagi parti baharu ini untuk memenangi pilihan raya meskipun telah ada sebilangan pemimpin dan ahli-ahli PPBM yang telah meninggalkan PPBM demi sokongan mereka kepada Tun Dr. Mahathir.

Rekod Pilihan Raya Kecil sejak PRU14 memperlihatkan bahawa parti PPBM di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir telah hilang kedua-dua kerusi mereka dalam PRK yang mereka tanding; malah mereka telah kalah teruk dalam PRK Tanjung Piai.

Sila baca: Keputusan Penuh PRK Tanjung Piai: BN Menang Besar!

Dalam PRK Chini baru-baru ini, calon yang disokong oleh Tun Dr. Mahathir bukan sahaja kalah tetapi telah hilang wang deposit. Malah parti WARISAN juga telah kalah dalam PRK Kimanis.

Tidak mudah bagi parti baharu Tun Dr. Mahathir untuk mengubah lanskap politik negara tanpa bergabung bersama kuasa politik yang lebih besar, kecuali jika parti ini membuat perjanjian bersama Pakatan Harapan supaya diberikan laluan mudah untuk menang walaupun mereka tidak bergabung secara rasmi.


Kamarudin Md Nor Ganti Husam Terajui KADA

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkuat kuasa 16 Mei lalu bagi menggantikan posisi yang sebelum ini disandang oleh Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Perkara itu didedahkan melalui kenyataan ucapan tahniah Kada melalui laman Facebooknya, semalam.

“Semoga Kada terus mengorak langkah memenuhi agenda untuk kesejahteraan petani seterusnya membantu dalam menjamin bekalan makanan negara,” kata kenyataan itu.

Sementara itu Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Maaf saya belum masuk pejabat Kada lagi, insya-Allah minggu depan,” katanya.

Terdahulu surat pelantikan Kamarudin itu tular di media sosial sejak semalam.

Ia ditandatangani Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee yang menyebut pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik (Kamarudin) sebagai pengerusi Kada selama 2 tahun berkuat kuasa 16 Mei 2020 hingga 15 Mei 2022,” kata Ronald.

Sebagai rekod sebelum ini Husam yang juga pengerusi PH Kelantan yang dilantik menerajui agensi itu sejak 1 Mac 2019. -{Malaysiakini]

PRK Chini: Timb. Ketua Bahagian PPBM Bertanding Sebagai Calon Bebas

Baca versi Jawi di sini.

Ketua Bahagian Pekan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin telah mengumumkan dirinya bertanding pada Pilihan Raya Kecil N23 sebagai calon bebas.

Menurut akhbar The Star, ini adalah selepas Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kedua-duanya tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil tersebut.

Terdahulu, Barisan Nasional mengumumkan calon mereka iaitu Mohd Sharim Md Zin, seorang anak peneroka Felda Chini dan aktivis muda yang aktif di kawasan tersebut.

Sila baca: Sharim Md Zain Calon BN PRK Dun N23 Chini

Pilihan Raya Kecil ini merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak Krisis Politik 2020, yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Ia juga merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak penularan pandemik Covid-19, dan segala tugasan Pilihan Raya Kecil ini hendaklah mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

TERKINI – MPT PPBM: Sah Keahlian Tun Mahathir Terhenti, Muktamad Sertai PN

Mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PPBM semalam mengesahkan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain “terhenti” serta-merta menurut perlembagaan parti itu.

“Tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” kata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dalam kenyataan pagi ini.

Mesyuarat juga mengesahkan keputusan memuktamadkan penyertaan PPBM dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional “bertepatan dengan matlamat, tujuan, dan dasar parti”. -{Free Malaysia Today]

Gugur Keahlian Tun Mahathir, Muhyiddin Ucap “Selamat Maju Jaya”

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, pengguguran keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain tidak dilakukan secara terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya mereka dikenakan tindakan.

Katanya, beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan perlu berlandaskan perlembagaan parti serta tiada individu yang mengatasi perlembagaan parti.

“Mereka tidak dipecat daripada parti, sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan dibuat Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti, sepertimana yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Mahathir bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Mahathir, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, keahlian Mahathir bersama anaknya, Mukhriz serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah, dihentikan serta-merta selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat yang bersidang pada 18 Mei lalu.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Pengerusi Lembaga Disiplin, Megat Najimuddin memaklumkan isu membabitkan Mahathir dan 4 pemimpin lain “tidak lagi relevan” untuk dibawa ke lembaga disiplin parti itu “apabila kedudukan keahlian mereka terhenti” mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

Muhyiddin yang mengumumkan dirinya memangku jawatan pengerusi PPBM, meminta ahli parti bersabar dan bertenang kerana beliau yakin ia akan terus teguh selepas menghadapi banyak cabaran sejak penubuhannya.

“Kita sudah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan, yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

“Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang sudah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.” -{Free Malaysia Today]

Tun Mahathir, Syed Saddiq & Mukhriz Dipecat PPBM

Keahlian Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PPBM ditamatkan selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam surat pemecatan bertarikh hari ini yang dilihat FMT, keahlian Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dalam parti itu turut dihentikan.

Menurut surat itu, ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM, keahlian anda dalam PPBM adalah terhenti serta-merta,” demikian menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya.

Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti.

Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

FMT sedang menghubungi Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dan Suhaimi untuk mendapatkan pengesahan mereka.

Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala anaknya Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.

Syed Saddiq pula ialah ketua Pemuda PPBM, manakala Maszlee dan Amiruddin pernah menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. -{Free Malaysia Today]

Tun Mahahthir: Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin

Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berang dengan penggantinya memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 2 tahun lalu, kembali berkuasa.

Sila baca: Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu mempersoalkan kesahihan pakatan Muhyiddin yang berusia 2 bulan setengah dengan Umno.

“Salah untuk membuat penyusunan pintu belakang ini. Kami mahu memberi rakyat kerajaan sah yang mereka pilih. Itu matlamat kami,” katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Muhyiddin yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Mahathir, tanpa disangka dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas mendapat sokongan Umno untuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa Muhyiddin mencuri kuasa dengan menukar perikatan berbanding mendapatkan jawatan nombor satu itu melalui pilihan raya.

Sila baca: Kemelut PPBM: Ke Mana Syed Saddiq Selepas Ini?

Awal minggu ini, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengelakkan undi tidak percaya yang diusulkan Mahathir, dengan bertegas Parlimen memberi keutamaan kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Tetapi, Mahathir berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan 2 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia,” kata Mahathir.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya.”

Katanya, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenarkan dibentang.

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

“Jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?” -{Free Malaysia Today]

Anwar Jelas Kenapa Tidak Hadiri Sidang Media Tun Mahathir

Selepas dua hari menyepi, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil menjelaskan kenapa beliau tidak hadir dalam sidang media khas yang dipanggil Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana Isnin lalu.

Menurut Presiden PKR itu, pendiriannya jelas iaitu sidang media khas berkenaan bukan anjuran Pakatan Harapan dan tidak ada sebab untuk beliau hadir bersama dengan mantan perdana menteri ketujuh itu.

“Saya menerima banyak pertanyaan, mengapa saya tidak hadir (sidang media khas) seusai titah diraja di Parlimen. Jawapannya mudah sahaja. Itu bukan sidang media Pakatan Harapan.

“Pada mesyuarat PH sehari sebelum itu, kita telah putuskan pemimpin-pemimpin pakatan dan Bersatu serta Warisan akan melihat dan menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan menandatangani.

“Oleh demikian, kita tidak akan mengadakan sidang media khas Pakatan Harapan, tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah dan Keadilan buat sidang media masing-masing atau Ahli Parlimen PH mengemukakan pandangan,” katanya menerusi siaran langsung Facebook beliau, hari ini.

Isnin lalu, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang tidak kelihatan pada sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.

Sila baca: Titah Agong Menjelaskan Kenapa Persidangan Parlimen Hanya Ada Satu Urusan (Video)

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, selain Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat bersama-sama pada sidang media berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen PKR juga tidak kelihatan pada sidang media itu selama kira-kira 35 minit.

Bagaimanapun, ketika ditanya media, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, berkata, Anwar sudah menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan PH dan parti yang bekerjasama dengannya.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi dengan mengatakan, beliau tidak hadir kerana sidang media Dr. Mahathir itu bukan anjuran PH.

Tegas beliau, selepas ini PH akan mengeluarkan notis bahawa semua program atau sidang media parti itu mesti diumumkan oleh Sekretariat PH.

“Semuanya mesti melalui Sekretariat PH. Tidak boleh umpamanya saya menggunakan Sekretariat Keadilan untuk membuat program bagi pihak PH. Kita ada peraturan yang harus kita patuhi,” katanya.

Anwar baru-baru ini mengesahkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi PH berikutan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH. –{MalaysiaGazette]

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sila baca: Tun Mahahthir: Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin

Ini ekoran peletakan jawatannya di tengah-tengah kemelut politik yang berlaku pada akhir Februari lalu.

Surat daripada RoS itu memaklumkan pengunduran Mahathir sah dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan itu juga adalah sah.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, presiden PPBM berhak memangku jawatan itu sehingga pemilihan diadakan, menurut Klausa 16.9 perlembagaan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-{MalaysiaGazette]

Mukhriz Letak Jawatan MB

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13, selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti.

Gabungan itu hilang sokongan majoriti selepas 6 Adunnya beralih menyokong pakatan yang dipimpin PAS awal minggu ini.

Ini kali ke-2 beliau meletakkan jawatan ketua kerajaan negeri itu, kali pertama pada Februari 2016 susulan perselisihan dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Gabungan itu menang di Kedah dengan 19 kerusi berbanding 17 kerusi pembangkang. PAS mengetuai blok lawan dengan 15 kerusi, manakala Umno 2 kerusi.

Kerajaan baru sudah dijangka akan terbentuk selepas ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS, mengumumkan beliau peroleh sokongan 23 Adun, majoriti dalam kalangan 36 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata wakil rakyat yang menyokong PN menandatangani akuan berkanun.

Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin baru-baru ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional.

Sanusi berkata PN juga mendapat sokongan 4 wakil rakyat PPBM, tanpa Mukhriz dan Adun Bukit, Amiruddin Hamzah. -{Free Malaysia Today]