Covid-19: PKPD di Pusat Bandar Utara, Pasar Borong KL

Versi Jawi akan menyusul.

Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit.

Pihak berkuasa memasang kawat duri di sekitar Taman Sri Murni, Selayang.
Pihak berkuasa memasang kawat duri di sekitar Taman Sri Murni, Selayang.

Katanya, parcel yang membabitkan Pusat Bandar Utama adalah Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B:Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Ismail Sabri berkata, PKPD itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan COVID-19, sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 15,000 penduduk di kawasan sekitar terkesan akibat pelaksaan PKPD berkenaan.

Pihak berkuasa memperketatkan kawalan di Taman Sri Murni. Selayang sejak malam tadi.
Pihak berkuasa memperketatkan kawalan di Taman Sri Murni. Selayang sejak malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD itu tidak membabitkan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang, justeru ia tidak akan menjejaskan bekalan barangan dan makanan dari pasar itu.

“Kita menutup kawasan perumahan terutama ramai rakyat Rohingya pemegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) (di kawasan itu), manakala pasar borong dibuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212.

Jalan masuk dan keluar Taman Sri Murni turut ditutup.
Jalan masuk dan keluar Taman Sri Murni turut ditutup.

Terdahulu, pihak berkuasa dilihat memperketatkan kawalan di kawasan Taman Sri Murni dekat Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini sejak jam 12 tengah malam tadi.

Seorang anggota polis yang ditemui ketika tinjauan BH memaklumkan pihaknya menerima arahan untuk memperketatkan kawalan di kawasan itu, semalam.

Tinjauan BH mendapati kawat duri dipasang di laluan keluar dan masuk kawasan perumahan itu.

Turut berada di lokasi, beberapa anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal situasi semasa.

Hanya penduduk yang mempunyai alasan munasabah termasuk hal kecemasan dibenarkan keluar dan masuk kawasan terbabit. -{Berita Harian]

Infografik – PKPD di Jalan Masjid India & Kawasan Sekitar Dijelaskan

Sumber: Berita Harian Online

PKPD Covid-19: Penghuni Menara City One Tidak Dibenarkan Keluar Dari Kawasan

(FMT)-PETALING JAYA: Sebuah menara berdekatan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kerana terdapat banyak kes positif jangkitan Covid-19 di situ.

Seramai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dikenakan PKPD, yang ke-3 diisytiharkan sejak minggu lepas, selepas Kementerian Kesihatan mendapati terdapat 17 kes di bangunan itu.

Perintah ini berkuatkuasa 31 Mac hingga 13 Apr. Ia bagi membendung jangkitan menular keluar dan membolehkan aktiviti pengesanan kes daru unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari itu.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Dengan pelaksanaan perintah ini, khusus bagi Menara City One sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan:

  1. Penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.
  2. Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.
  3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan.
  4. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama.
  5. Pangkalan perubatan akan dibuka.
  6. Semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup.
  7. Polis, tentera, pertahanan awam, dan Rela akan mengawal seluruh kawasan itu.

Perkembangan ini menyusuli perintah kawalan ketat ke atas 2 penempatan di Simpang Renggam di Kluang, Johor dan 7 penempatan Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor.