Sultan Selangor Bimbang Gelombang Baru Covid-19 Jika Ramai Tidak Patuh SOP

Sultan Selangor bimbang kealpaan orang ramai terhadap ancaman Covid-19 apabila ramai tidak lagi mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan mengundang gelombang pandemik baru.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, ramai orang tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan seperti berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.

“Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Selangor menyeru rakyat terus mengamalkan disiplin tinggi dalam berdepan Covid-19, termasuk tidak keluar ke tempat awam jika tidak sihat.

“Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Sultan Selangor berkata, selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, rakyat perlu mematuhi SOP walaupun banyak kelonggaran diberikan sepanjang PKPP. -{Free Malaysia Today]

Pengalaman Solat Jumaat Semasa PKPP

Baca versi Jawi di sini.

Alhamdulillah, hari ini saya diberi kesempatan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid, selepas tiga bulan tidak dapat ke masjid dan surau kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Dua hari lepas saya telah menerima jemputan untuk hadir di solat Jumaat bagi tarikh 19hb Jun 2020.

Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika membaca jemputan itu; saya terkejut, terharu, gembira dan bersyukur mendapat peluang keemasan tersebut.

Oleh kerana masjid berkenaan terletak di negeri Selangor, maka segala SOP solat Jumaat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Alhamdulillah, pengurusannya adalah amat baik sekali. Saya ke sana sejam lebih awal daripada masa masjid dibuka; mereka dengan tegas mematuhi SOP dan hanya membuka pagar pada waktu yang ditetapkan seperti dalam jemputan yang dihantar. Beberapa orang anggota polis dan pegawai JAIS telah ditugaskan untuk memastikan segala urusan berjalan dengan lancar.

Pegawai JAIS, anggota polis dan petugas masjid melayan saya dengan amat baik sekali sambil mencadangkan saya untuk ke satu tempat yang teduh sementara menunggu pagar dibuka. Sementara itu, seorang pegawai JAIS datang untuk menjelaskan tentang SOP yang perlu dipatuhi ketika masuk ke dalam kawasan masjid.

Mereka amat tegas dalam mematuhi peraturan, jemaah yang datang tanpa kad jemputan tidak dibenarkan masuk walaupun ada yang datang dari jauh bagi memastikan keadaan adalah selamat dan terkawal.

Menurut pegawai yang bertugas, sebelum jemputan dikeluarkan, maklumat jemaah akan diperiksa bagi memastikan mereka berada dalam lingkungan umur yang dibenarkan sebelum ianya dihantar kepada pihak polis untuk penilaian lanjut bagi memastikan keselamatan jemaah.

Oleh kerana saya paling awal tiba di masjid, saya adalah orang yang pertama yang dibenarkan masuk. Saya diberikan pas masuk dan dibawa ke dalam oleh seorang anggota polis sebelum disambut oleh Pengurus Masjid yang melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum saya masuk ke dalam dewan solat setelah mengguna pensanitasi tangan.

Oleh kerana masjid dibuka 45 minit lebih awal daripada waktu solat, maka saya berpeluang menunaikan solat sunat serta membaca Al-Quran, sebelum masuk waktu Zohor.

Usai solat Jumaat, para jemaah bersurai secara berperingkat sambil diselia oleh seorang pegawai polis bagi memastikan bahawa penjarakan sosial dijaga.

Keluar daripada dewan solat, seorang petugas membantu saya mensanitasi tangan selepas saya menyerahkan semula pas masuk.

Saya amat kagum melihat dedikasi dan kecekapan pihak pengurusan masjid, polis serta JAIS yang berusaha keras dalam situasi menghadapi suasana kebiasaan baharu ini.

Terima kasih dan syabas kepada semua yang bertugas! Walaupun mereka bersikap tegas dalam memastikan segala SOP terjaga, namun mereka amat bersopan dan berbudi bahasa dalam menyantuni para jemaah.