Polis Sahkan Lokman Adam Ditahan Semalam

Polis mengesahkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan penahanan itu memaklumkan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan memberi kenyataan berhubung perkara itu.

“Pengarah JSJ akan mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Difahamkan, Lokman ditahan ketika sedang bersiaran langsung melalui Facebook di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kira-kira jam 11 malam.

Beliau turut membuat hantaran di Facebook meminta bantuan peguam.

“Mohon hantar peguam ke JSJT (Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas) Bukit Aman. Saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hantaran Hina Raja? Polis Siasat Ronnie Liu

Polis sedang menjalankan siasatan ke atas kenyataan media sosial Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu yang dikatakan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia berhubung hantaran Liu di akaun Faceboknya “Ronnie Liu Tian Khiew” yang mengandungi gambar protes besar-besaran yang dipercayai berlaku di Thailand.

Now in Bangkok. They are saying no to the King (Sekarang di Bangkok. Mereka katakan tidak kepada raja),” tulis Liu.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Liu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Selain itu, Adun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pihak polis juga katanya telah memulakan siasatan pada 21 Oktober dan akan mengesan suspek.

“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan suspek dan merakam keterangan saksi-saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen,” katanya lagi.

Tidak dapat dipastikan bilakah hantaran kontroversi itu dimuat naik di media sosial namun semakan mendapati ia telah dipadamkan dari akaun Facebook berkenaan.

Bagaimanapun, tangkap layar hantaran itu tersebar di media sosial dengan gesaan untuk menolak DAP.

Seorang warganet juga mempersoalkan apakah dengan hantaran itu, Liu cuba menghasut orang awam ke atas sistem beraja di Malaysia. -{Malaysiakini]

Datuk Ayob Mengingatkan Orang Politik Jangan Ganggu Tugas Polis

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan meminta ‘orang politik’ tidak mengganggu urusan dan kerja-kerja kepolisan.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis adalah petugas awam yang fungsi serta peranan mereka adalah menguatkuasakan undang-undang.

Sila baca: Temubual Khas MGTV Bersama Datuk Ayob Khan

Katanya, dalam tindakan beliau dan pegawainya dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang itu, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju.

Ujar Ayob, sewaktu beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan menangkap beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dulu termasuk pengikut Darul Islam dan Daesh, tidak ada pun yang ‘merungut’.

“Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?

“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.

“Kami hanya petugas awam yang akan pencen bila umur mencecah 60 tahun…kami tidak ‘bias’ dan berpihak, kalau sesuatu perkara itu salah dari segi undang-undang, maka salahlah,” kata Ayob.

Beliau berkata demikian dalam temuramah khas dengan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru baru-baru ini.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran sebelum ini pernah dituduh memberi sokongan kepada LLTE.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan beliau selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding.

Gunasekaran, 60, sebelum ini dituduh bersama-sama ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; pengusaha restoran, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Jabatan Peguam Negara juga sebelum ini membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. –{MalaysiaGazette]