Masalah Pengawalan Emosi Dalam Kalangan Remaja

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai seorang remaja, kita berada di era peralihan ke alam dewasa di mana kita perlu berusaha untuk menjadi lebih matang serta belajar mengawal diri secara fizikal dan emosi dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

Pada peringkat ini, mungkin ada di antara kita yang keliru di antara kehendak dan tanggungjawab. Kita mahukan lebih kebebasan tetapi pada masa yang sama, kita gagal mendisiplinkan diri serta bertanggungjawab ke atas tingkah laku kita sendiri.

Ramai yang berpendapat bahawa para remaja cenderung untuk memberontak dan sukar mengawal emosi, malah tidak dapat dinafikan bahawa ada dalam kalangan remaja yang menghadapi tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.

Mereka yang menghadapi masalah emosi sering kali suka menyendiri dan kemurungan, ada yang tidak dapat mengawal perasaan sedih dan marah serta boleh bertindak agresif tanpa sebab, malah kadang kala bertindak di luar dugaan termasuk mencederakan diri sendiri atau orang lain di sekeliling mereka.

Sering juga kita mendengar ada remaja bertindak memilih jalan yang salah untuk mengatasi masalah ini, contohnya dengan merokok, menghisap vape, menghidu gam, mengambil minuman keras, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang lainnya dan berbagai-bagai lagi perbuatan negatif yang lain.

Masalah tekanan emosi biasanya bukanlah sesuatu yang tidak dapat diselesaikan jika remaja terbabit sedar akan masalah yang mereka hadapi serta mempunyai semangat yang kuat dan disiplin diri yang tinggi untuk berusaha mengatasinya. Sokongan dan perhatian ibu bapa juga adalah amat penting dalam membantu para remaja untuk membina kekuatan mental dalam menghadapi cabaran.

Namun masalah akan timbul jika tekanan emosi tidak ditangani dengan cara yang betul. Ini boleh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat mengawal emosi dan seterusnya menghadapi masalah lain termasuk masalah kesihatan mental.

Ada yang bertukar menjadi pembuli, bertindak secara tidak waras dan ada yang sanggup mencederakan orang lain atau membunuh diri. Kerap kali mereka tidak merasa bersalah di atas perbuatan mereka, malah mereka merasakan bahawa mereka mempunyai sebab untuk menjustifikasikan segala perbuatan mereka itu.

Malangnya, kini peratusan remaja yang mengalami masalah tekanan emosi adalah tinggi dan perkara ini amatlah membimbangkan kerana jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, negara bakal berhadapan dengan berbagai-bagai masalah yang lebih besar.

Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja bermasalah yang menggunakan alasan tekanan emosi sebagai cara untuk menuntut perhatian, membebaskan diri daripada tanggungjawab dan juga untuk menjustifikasikan perbuatan negatif mereka supaya mereka tidak dipersalahkan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa antara faktor yang menyebabkan remaja menghadapi tekanan emosi ialah tekanan pelajaran dan peperikaan, harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, persaingan dengan saudara kandung dan kawan-kawan, suasana persekitaran yang tidak kondusif serta penggunaan media sosial secara tidak terkawal.

Tragedi malang seperti kematian ahli keluarga terdekat, mengalami pengalaman yang mengerikan dan remaja yang dibuli secara fizikal atau secara emosi khasnya oleh orang-orang dewasa terdekat yang sepatutnya melindungi para remaja juga meninggalkan kesan emosi yang sangat berat untuk dihadapi oleh para remaja.

Sukar untuk orang yang tidak prihatin untuk memahami perasaan mangsa dan hanya mereka yang pernah mengalami tragedi sebegini yang boleh benar-benar memahami perasaan mangsa; namun ini tidak harus dijadikan sebab untuk mereka mengalah dan terus tertekan.

Sebagai seorang remaja yang pernah mengalami tragedi yang sebegini, saya memahami perasaan anda, tetapi kita harus cuba bangkit dan jangan biarkan tragedi memusnahkan hidup kita.

Para remaja harus kuat, sentiasa berusaha untuk berfikiran dan bersikap positif serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi musibah.

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu; pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Maka kita para remaja harus menjadikan tragedi yang kita hadapi sebagai satu cabaran yang bersifat positif dan kita perlu membina kekuatan diri demi untuk menjadi insan yang lebih baik.

Rintangan serta cabaran akan ada di mana sahaja, malah, tiada siapapun yang akan dapat lari daripada menghadapi dugaan hidup; namun iman dan takwa akan membezakan cara kita menangani masalah tekanan dan gangguan emosi.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita untuk meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana itulah yang diajar oleh agama kita.

Perkara ini harus diajar dan ditanam di dalam minda anak-anak sejak daripada awal lagi, agar mereka dapat membina kekuatan diri dan berusaha menjadi lebih matang apabila mereka meningkat remaja.

Dengan ini, para remaja akan memasuki era peralihan kepada alam dewasa dengan lebih bersedia dan tidak terpinga-pinga dalam menggalas tanggungjawab yang lebih besar dari hari ke hari.

Jika tidak, akan berterusanlah berlakunya perkara-perkara negatif yang terjadi hanya kerana kegagalan manusia mengawal emosi akibat tiada disiplin diri.

Di sesetengah negara-negara Barat contohnya di Amerika Syarikat, perkara-perkara sebegini bukan lagi asing, contohnya, kes-kes tembakan dan pembunuhan beramai-ramai telah banyak berlaku, termasuklah di sekolah-sekolah dan di dalam sesetengah kes, pelakunya adalah murid di sekolah itu sendiri.

Bagi kebanyakan pelakunya, mereka merasakan bahawa tindakan mereka itu adalah wajar dan mereka mempunyai sebab untuk bertindak demikian; begitu juga dengan kes-kes membunuh diri.

Jika kita tidak mengambil langkah secara serius untuk memperbetulkan keadaan ini, maka masalah ini akan merebak dengan lebih parah dalam kalangan generasi yang akan datang dan ianya akan menjadi semakin sukar untuk diperbetulkan.

Bayangkan apabila generasi yang tidak lagi dapat mengawal emosi menjadi ibu bapa, guru dan pemimpin negara; apakah nilai dan sikap yang akan mereka perturunkan kepada anak bangsa nanti?

Apakah yang bakal terjadi kepada negara dan tamadun bangsa yang telah kita bina selama ini?

Maka terjadilah keadaan yang dikatakan sebagai undang-undang rimba, di mana setiap manusia hidup berdasarkan undang-undang mereka sendiri tanpa menghormati hak orang lain namun pada masa yang sama memaksa orang lain hidup berdasarkan undang-undang yang mereka cipta.

Prinsip moral dan konsep kehidupan bermasyarakat tidak lagi wujud, malah mereka tidak lagi menghormati undang-undang agama serta negara. Mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka mengalami masalah mental dan tidak lagi hidup bertamadun.

Maka para remaja mesti bijak mengawal emosi, hidup berdisiplin serta menghormati peraturan dan undang-undang agama dan negara. Pilihan ada di tangan kita, kita insan beragama maka kita tidak boleh tunduk kepada kehendak nafsu dan melayan emosi.

Bergaullah bersama mereka yang akan membantu kita menjadi insan yang lebih baik dan jika kita menghadapi masalah tekanan emosi, mintalah pertolongan daripada mereka yang benar-benar ikhlas mahu membantu kita.

Remaja mesti berhati-hati agar jangan sampai kita dipergunakan oleh mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan diri kita.

Sebagai orang Islam kita mesti berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan taat kepada perintahNya serta percaya kepada qada’ dan qadar dan belajar untuk memahami konsep Rukun Iman ini.

Tanpa Kasih Sayang, Hidup Hilang Pedoman

Baca versi Jawi di sini.

Benarkah nilai kemesraan dalam hubungan sesama ahli keluarga semakin hari semakin pudar akibat kesibukan kita memenuhi tuntutan kehidupan moden yang kadang kala menjadikan kita bersifat lebih individualistik? Walhal umumnya kita tahu bahawa nilai kekeluargaan adalah satu aspek yang amat penting dalam pembentukan sebuah keluarga sakinah. 

Telah menjadi satu kebiasaan bagi para remaja untuk keluar berkumpul bersama rakan-rakan sebaya; malah, ramai yang lebih suka bersantai bersama rakan-rakan daripada bermesra bersama ahli keluarga di rumah.

Mereka mungkin keluar untuk belajar secara berkumpulan, beriadah, menonton wayang, makan di restoran, melepak atau sekadar berjalan-jalan dan ‘window shopping’ di pusat-pusat membeli-belah.

Ada yang hanya pulang ke rumah ketika sudah hampir tiba waktu senja, malah, tidak kurang pula para remaja yang masih belum berada di rumah walaupun telah masuk waktu Maghrib.

Ini menjadikan masa yang mereka luangkan bersama ibu bapa dan ahli keluarga lainnya sangat terhad, iaitu sekitar waktu makan malam dan beberapa jam selepas itu. Itupun jika masing-masing tidak terlalu sibuk menggunakan telefon bimbit keika makan dan selepas itu sibuk dengan pelbagai tugasan atau sibuk bermain permainan komputer, menonton rancangan kegemaran di televisyen atau menikmati pelbagai video di media sosial.

Hasilnya kita dapati bahawa sebahagian daripada remaja lebih rapat dan lebih mempercayai rakan-rakan mereka berbanding ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, serta merasa lebih selesa dan terbuka untuk berkongsi masalah dan berbincang tentang perkara-perkara yang amat penting dalam hidup mereka.

Masa yang diluangkan secara optimum untuk bermesra bersama ahli keluarga hanyalah ketika mereka masih kecil dan belum bersekolah; setelah itu ramai yang merasa lebih seronok untuk menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan sebaya daripada bersama ahli keluarga.

Apakah keadaan ini terjadi hasil daripada perubahan cara hidup masyarakat di mana cara dan nilai didikan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak sudah berubah dan tidak lagi mementingkan keakraban dalam institusi keluarga?

Dalam kalangan ibu bapa pula, ada yang jarang dapat meluangkan masa bersama anak-anak kerana pelbagai kengkangan, contohnya terlalu sibuk bekerja atau seringkali berada di luar daerah.

Kebanyakan ibu bapa meluangkan waktu untuk bermesra bersama anak-anak ketika mereka masih kecil, namun apabila anak mereka sudah remaja, ada yang merasakan bahawa mereka tidak perlu lagi berbuat demikian kerana anak-anak perlu diberikan kebebasan dan ruang untuk menikmati kehidupan sendiri secara individu agar anak remaja dapat belajar untuk hidup berdikari. Biasanya ketika ini, nilai kasih sayang dan perhatian akan dicurahkan dalam bentuk material dan bukan lagi kemesraan secara fizikal.

Malah, seperti anak remaja mereka, ada juga ibu bapa yang sibuk dengan aktiviti-aktiviti mereka sendiri di waktu lapang seperti beriadah bersama teman-teman mereka, keluar membeli-belah, melancong keluar negara dan pelbagai aktiviti sosial lain yang tidak disertai oleh anak-anak.

Cara hidup sebegini telah memupuk budaya hidup yang bersifat materialistik dan individualistik di mana ahli-ahli keluarga bersikap mementingkan diri sendiri dan bagi mereka, usaha untuk memupuk hubungan kekeluargaan bukanlah satu perkara yang penting untuk dilakukan secara holistik.

Umumnya, ramai remaja tidak lagi berminat untuk mengikuti ibu bapa mereka berkunjung ke rumah sanak saudara. Malah tidak ramai remaja yang berminat untuk mengambil tahu tentang susur-galur keturunan keluarga mereka sehingga mereka tidak kenal dari mana asal usul mereka.

Apabila berkumpul bersama saudara-mara, terutamanya bersama generasi tua, ada dalam kalangan remaja yang menghabiskan waktu dengan bermain gajet atau telefon bimbit dan tidak mengambil peluang untuk bermesra bersama mereka. Ibaratnya, hanya pada zahirnya sahaja mereka bersama tetapi jiwa mereka masih bersama rakan-rakan; mungkin sedang berkomunikasi melalui aplikasi seperti WhatsApp, atau leka bermain permainan video dan sebagainya.

Kini timbul persepsi bahawa wujudnya suatu jurang persefahaman di antara generasi muda dan generasi tua dan persepsi negatif ini telah merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan yang telah rapuh. Malang sekali apabila ada remaja yang menganggap cerita, teguran dan nasihat dari atuk dan nenek mereka sebagai bebelan atau omelan yang membosankan.

Sikap besar kepala dan merasakan mereka lebih bijak daripada atuk dan nenek mereka yang mungkin tidak berpelajaran tinggi adalah satu sikap yang sangat biadap dan menggambarkan keperibadian yang buruk.

Justeru, para remaja perlu disedarkan akan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan khasnya hubungan bersama ibu bapa mereka, agar nilai kekeluargaan tidak hilang ditelan zaman.

Ibu bapa tidak boleh membiarkan anak remaja mereka bebas memilih cara hidup mereka sendiri tanpa bimbingan kerohanian dan tanpa mempedulikan batasan agama dan moral.

Bimbingan dan kawalan daripada ibu bapa adalah amat penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak mudah tepengaruh dengan corak pemikiran, budaya, ideologi dan cara hidup yang boleh merosakkan akidah remaja.

Kegagalan ibu bapa membimbing serta memberi tunjuk ajar dalam pembinaan sahsiah diri anak-anak akan menyebabkan mereka membesar dengan pengaruh dan “bimbingan” daripada persekitaran luar yang selalunya tidak kondusif dalam melahirkan remaja yang berkeperibadian mulia dan terpuji.

Remaja yang kosong jiwanya lebih mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya negatif seperti hendonisme yang melekakan dan penuh keseronokan, ideologi individualisme yang menekankan sifat-sifat kebebasan, kemerdekaan manusia secara individu dan perbagai bentuk budaya liberal yang bertentangan dengan peinsip agama dan moral kita.

Para remaja yang dipengaruhi oleh budaya negatif ini akan bersikap biadap, suka memberontak, tidak mahu mendengar arahan serta nasihat daripada ibu bapa mereka dan mereka mudah terpengaruh dengan budaya anarkisme yang menolak segala bentuk kawalan undang-undang yang mereka anggap sebagai kawalan paksaan sama ada undang-undang negara mahupun agama.

Inilah punca kepada kebanyakan masalah sosial remaja yang kini berleluasa di dalam masyarakat kita dan masalah ini akan menjadi lebih parah jika suatu hari nanti golongan ini menjadi golongan ibu bapa yang mendominasi demografik masyarakat Malaysia.

Akibatnya, kita mungkin akan berhadapan dengan satu generasi baharu yang buruk peribadinya, keliru pemikirannya dan hilang pedoman hidup hasil asuhan ibu bapa yang tidak lagi menitik beratkan soal agama, undang-undang dan peradaban dalam hidup mereka.

Jiwa Yang Kosong Harus Diisi

Baca versi Jawi di sini.

Dakwah adalah elemen yang sangat penting dalam usaha membentuk kehidupan yang sejahtera. Apabila manusia berjaya didakwahkan supaya taat kepada Allah SWT, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara buruk yang merosakkan kehidupan mereka, kehidupan orang lain dan keadaan alam sekitar.

Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan

Namun, apabila bercakap soal dakwah, ada dalam kalangan masyarakat yang merasakan bahawa tugas berdakwah hanya terletak di bahu golongan yang tertentu sahaja, khasnya mereka yang pakar dalam bidang agama.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyedarkan masyarakat bahawa tugas berdakwah adalah satu kewajipan dan tanggungjawab asas bagi setiap umat Islam, tanpa mengira siapapun kita.

Ibu bapa mesti berdakwah kepada anak-anak, abang dan kakak boleh berdakwah kepada adik-adik, doktor boleh berdakwah kepada pesakit, para remaja hendaklah berdakwah kepada rakan sebaya dan begitulah seterusnya.

Allah S.W.T. berfirman di dalam ayat 104 Surah Ali Imran bahawa hendaklah ada di antara kita sebagai umat Islam yang berdakwah untuk membawa kepada kebaikan serta mencegah daripada perkara yang salah dan merosakkan.

Konsep amar makruf nahi mungkar adalah konsep yang amat penting di dalam ajaran agama Islam, dan ianya merupakan teras utama dalam gerakan dakwah.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.

(Surah Ali Imran: 104)

Dakwah boleh dilakukan secara langsung maupun secara tidak langsung, contohnya mempraktikkan akhlak dan keperibadian terpuji seperti yang dituntut oleh agama kita juga merupakan satu usaha dakwah yang berkesan.

Para remaja yang sepatutnya lebih memahami perasaan golongan remaja patut berdakwah kepada rakan sebaya dan saling ingat-mengingati dalam usaha kita untuk menjadi insan-insan yang lebih baik.

Remaja hari ini sepatutnya lebih berhemah tinggi hasil daripada didikan ibu bapa yang lebih berpelajaran, menikmati proses pendidikan formal yang berkualiti serta memperolehi pelbagai manfaat hasil daripada program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dan kementerian-kementerian yang berkaitan. Malangnya, hasil kajian mendapati bahawa perkara yang sebaliknya telah berlaku di mana semakin ramai golongan remaja terlibat dalam gejala sosial.

Apakah masyarakat hari ini hanya mementingkan pendidikan akademik semata-mata sehingga mengabailan soal membentuk moral dan tingkah laku generasi muda?

Tanpa pengisian kerohanian yang menyeluruh, jiwa remaja menjadi kosong dan ini menjadi punca kepada berlakunya masalah kecelaruan mental dan pelbagai masalah mental lainnya, yang jika tidak ditangani dengan tuntas, akan menyebabkan negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.

Aspek kerohanian di dalam kehidupan seharian semakin lama semakin terhakis sehingga ada yang menganggap soal ibadat hanyalah suatu ritual, seterusnya gagal membudayakan kehidupan beragama.

Kegagalan membudayakan kehidupan beragama telah memporak-perandakan kehidupan manusia kerana agama merupakan paksi kepada kehidupan yang sejahtera.

Maka gerakan menghidupkan budaya dakwah dalam kalangan remaja patut diberi keutamaan sebagai salah satu usaha kita untuk membentuk masyarakat yang lebih cemerlang.

Jika remaja boleh dibangkitkan untuk membangkitkan rakan-rakan sebaya menuju ke arah kebaikan dan menolak segala kemungkaran, maka gerakan ini boleh menjadi satu gerakan yang dinamik dalam membentuk satu generasi yang berkualiti.

Kalau pelbagai budaya negatif contohnya hendonisme berjaya dipromosikan sebagai satu budaya yang membanggakan, lantas diangkat oleh sebahagian remaja sebagai cara hidup mereka, kenapa kita tidak berusaha untuk menerapkan nilai murni budaya dakwah sebagai satu budaya yang boleh diterima oleh remaja?

Walaupun dari segi realitinya, tidak semua remaja akan dan mahu menerima gerakan ini namun bayangkan jika beberapa kumpulan remaja berjaya didakwah untuk bukan sahaja menjadi insan yang baik, tetapi juga mengajak rakan dan kenalan mereka menuju ke arah kebaikan, suatu waktu nanti ianya akan menjadi satu budaya hidup golongan remaja.

Ianya bukanlah satu perkara yang mustahil untuk menjadi kenyataan jika dirancang dengan baik dan dilakukan dengan ikhlas demi mendapatkan kerehaan Allah SWT. Perkembangan budaya negatif juga memakan masa yang lama sebelum diterima sebagai lumrah kehidupan dan kemudiannya diangkat sebagai cara hidup oleh mereka yang terlibat.

Malangnya perkara ini agak sukar untuk digerakkan secara bersepadu tanpa sokongan dan dokongan pihak yang berpengaruh dan berkemampuan untuk menyediakan prasarana yang kondusif serta merangka strategi yang berkesan.

Namun walaupun tidak bergerak di bawah satu gerakan yang besar, para remaja masih boleh menunaikan tanggungjawab berdakwah bermula daripada menasihati diri sendiri untuk menjadi insan yang lebih baik, seterusnya menolong orang lain menjadi lebih baik di samping berusaha untuk memelihara kelestarian alam sekitar.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak membudayakan nilai-nilai murni serta memberi kesedaran dan membimbing mereka untuk hidup berpandukan ajaran agama adalah amat penting untuk melahirkan generasi muda yang kental imannya serta sayangkan agama.

Namun jika ibu bapa tidak pernah memperkenalkan anak-anak mereka kepada dunia dakwah maka ianya menjadi satu dunia yang begitu asing kepada anak-anak mereka.

Remaja sebagai bakal pemimpin hari esok harus kembali kepada fitrah dan bangkit untuk berdakwah dalam setiap perkara yang kita lakukan agar ianya menjadi sebahagian daripada budaya hidup remaja. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

Mangsa Atau Salah Memilih?

Baca versi Jawi di sini.

Aturan kehidupan dunia sangat kompleks dan dinamik, ledakan perubahan dan kejadian boleh berlaku dengan sekelip mata, kadang-kala di luar jangkaan akal manusia.

Ada kalanya para remaja merasakan diri mereka tersepit di dalam keganasan putaran dunia, terpenjara, tiada kebebasan, tidak difahami serta dikongkong kehidupan mereka.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ada yang terkandas akibat gagal mengawal emosi, nafsu dan kehendak, lantas bertindak tanpa berfikir panjang, akhirnya membawa mereka kepada kesesatan akhlak dan moral.

Setelah terbabas dan semakin ketinggalan, mereka mencari dan berkumpul sesama rakan-rakan sehaluan, dalam mencari identiti diri mereka bertindak mengikut rentak hati yang mungkin telah jauh tersasar, lantas membawa diri lebih jauh dari kebenaran yang nyata.

Sehingga ramai yang merasakan bahawa dunia dan manusia di sekeliling tidak lagi dapat memahami mereka; namun alpa untuk melihat bahawa merekalah yang gagal memahami realiti dunia dan kehidupan.

Justeru, anak-anak harus dibimbing sejak kecil, diberikan kefahaman tentang aspek spiritual dan kerohanian, agar dapat berfikir dengan lebih matang serta tidak mudah terpesong daripada jalan kebenaran.

Kehidupan tanpa agama adalah ibarat belayar di lautan luas tanpa arah tuju dan persediaan, dibawa arus akan hanyut, dipukul badai akan karam. Tanpa agama, manusia tidak akan mampu mengharungi dan merentasi laut samudera kehidupan untuk tiba di syurga Allah pada akhirnya.

Lantaran lautan tidak mempunyai laluan yang tetap, tiada papan tanda dan mercu tanda untuk menetapkan arah; maka kita sering melihatnya sebagai satu kotak pasir bagi kehidupan kita. Sekalipun jika kita menghala ke arah yang salah, pada satu masa kita tetap akan sampai jua ke daratan, namun hakikatnya ianya bukanlah destinasinya yang kita kehendaki.

Jika kita mahu ke tanah timur, tetapi perjalanan kita menghala ke utara, tidak mungkin akan kita tiba di tanah timur sehinggalah kita menukar arah dan berlayar ke arah timur; itu pun jika kita sempat bertukar arah sebelum tibanya ribut yang membadai nyawa setiap insan di dalam bahtera.

Begitu juga dengan kehidupan manusia, ada yang jika terpesong arahnya pun masih dianggap sebagai jalan yang benar selagi tiada bencana yang melanda; mereka hanya akan sedar bahawa ia jalan yang salah apabila telah tiba akhirnya ke tempat jauh daripada arah yang dituju.

Ada yang bertuah, mereka sempat melihat dahulu suasana daratan sebelum melempar sauh, lantas masih sempat bertukar arah dan bergegas ke arah yang sebenar; tetapi tidak semua insan bernasib baik sebegitu.

Ada juga yang tidak mahu mengaku kelemahan diri, tak tahu menari, dikatakan lantai jungkang-jungkit; siang dan malam hidupnya meracau, mencari salah orang lain atas kelemahan diri sendiri.

Musang terjun, lantai terjungkat, tiada gunanya berdegil menegakkan benang basah, mengadu domba untuk kesenagan diri, sambil mencari lantai terjungkat. Bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru? Jangan sudah terperosok, baru hendak membaiki lantai.

Hidup ini ibarat putaran roda; ada pahit, ada manisnya; ada susah, ada senangnya; ada yang di atas dan ada yang di bawah; kepada yang beriman, kepada Allah kita berserah.

Manusia harus kuat dan berani mengaku kesilapan diri, berjiwa besar untuk bangkit kembali dan berpatah balik menuju jalan yang lurus; sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan; namun mampukah kita bangkit sebelum terlambat?

Asam rumbia dibelah-belah,
     Buah separah dalam raga;
Dunia ikut firman Allah,
     Akhirat juga mendapat syurga.

Mendepani Badai Pasca Covid-19: Bersiagakah Remaja?

Baca versi Jawi di sini.

Dalam sekelip mata, penularan pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan manusia di seluruh dunia; satu kenyataan yang selama ini tidak dapat kita bayangkan bakal berlaku.

Sebagai seorang remaja, saya tertanya-tanya bagaimanakah sikap golongan remaja dalam menghadapi saat ini dan apakah persediaan yang diambil untuk menghadapi kemungkinan berlakunya cabaran yang lebih besar selepas ini?

Kini, ramai dalam kalangan remaja cuma terkesan dengan cara kehidupan baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin ada yang sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berbeza daripada rutin harian mereka sebelum ini.

Namun apakah mereka sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya jika keadaan ekonomi keluarga terjejas selepas ini?

Saya benar-benar berharap para remaja tidak alpa tentang kemungkinan berlakunya ujian yang lebih besar jika ditakdirkan ibu bapa mereka hilang punca pendapatan atau mereka hilang tempat bergantung.

Pelbagai industri telah merasa kesan akibat wabak ini khasnya industri penerbangan, pelancongan, industri penghotelan dan pelbagai industri lain yang berkaitan termasuk mereka yang menjual hasil kraftangan dan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong-pelancong.

Penjual makanan seperti Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang mungkin hilang pendapatan semasa PKP, tetapi jika mereka berjimat menggunakan Bantuan Prihatin Nasional, mereka akan boleh kembali berniaga apabila keadaan pulih; tetapi bagaimana pula dengan mereka yang akan diberhentikan kerja jika keadaan ekonomi dunia bertambah buruk selepas ini?

Dapatkah seorang remaja yang selama ini hidup mewah, mementingkan gaya hidup bersifat materialistik, hidup berpaksikan budaya hedonisme menerima kenyataan jika ibu bapa mereka secara tiba-tiba hilang pendapatan atau tidak lagi mempunyai pendapatan sebanyak sebelumnya?

Hakikatnya, ada dalam kalangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi tidak mempunyai simpanan tunai yang banyak kerana mereka berbelanja besar, contohnya untuk membayar rumah serta kenderaan yang mahal, berpakaian daripada jenama terkenal, makan di restoran ternama dan sering bercuti ke luar negara.

Malah terdapat juga dalam kalangan mereka ini yang menanggung pelbagai hutang kerana sering berbelanja melebihi daripada pendapatan.

Apakah para ibu bapa bersedia untuk berterus-terang dengan anak remaja mereka tentang kemungkinan berlakunya perkara sebegini serta membantu anak-anak mereka membuat persediaan mental dan emosi sebelum ianya terjadi?

Bagi sesetengah remaja yang suka mempamerkan kemewahan hidup khasnya di media-media sosial, sudah tentu akan merasa tertekan jika tidak lagi dapat bercuti keluar negara atau berbelanja seperti sebelumnya.

Mereka mungkin merasa terpinggir kerana tidak lagi mampu untuk berbelanja besar dan bersuka-ria bersama teman-teman mereka seperti sebelumnya.

Keadaan ini akan bertambah parah jika ibu bapa mereka juga mengalami tekanan mental dan emosi akibat kehilangan pendapatan, sama seperti anak remaja mereka. Kehidupan kekeluargaan akan menjadi tegang dan jika gagal di atasi, ianya akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah sosial yang lain.

Sebagai seorang remaja, saya merasakan bahawa ibu bapa sepatutnya menjadi tonggak kekuatan anak-anak, mereka mesti berterus-terang dan berbincang dari hati ke hati jika ada kemungkinan perkara ini akan berlaku supaya anak-anak mereka lebih bersedia dan kuat untuk menghadapi rintangan.

Di sinilah pentingnya hubungan kekeluargaan yang erat serta adanya komunikasi yang baik di antara setiap ahli keluarga.

Daripada pengalaman saya, kekuatan semangat dan kasih sayang ibu dan kakak-kakak telah memudahkan saya mengadaptasikan cara kehidupan yang sangat berbeza daripada sebelumnya setelah arwah ayah pergi meninggalkan kami secara tiba-tiba.

Kami sering berbincang tentang pelbagai perkara termasuk perbelanjaan keluarga di mana ibu berterus-terang tentang keadaan kami sekarang, agar kami faham keadaan yang sebenarnya dan boleh merancang perbelanjaan keluarga dengan lebih baik.

Sila baca: Setahun Yang Amat Getir

Para remaja mesti kuat dan redha dalam menghadapi dugaan dan janganlah menyalahkan orang lain di atas musibah yang melanda kehidupan mereka.

Janganlah memberontak dan bersikap mementingkan diri sendiri kerana semuanya itu hanya akan memburukkan keadaan. Remaja tidak harus meminta sesuatu yang tidak lagi mampu disediakan oleh ibu bapa mereka; walaupun dahulunya apa yang mereka minta itu adalah perkara yang biasa dalam kehidupan mereka.

Remaja tidak boleh berputus asa, kita mesti bangkit dengan semangat yang jitu dan berusaha membantu ibu bapa mencari rezeki, termasuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Belajarlah hidup dengan seadanya dan berikan kekuatan serta kasih sayang kepada ibu bapa kita di saat mereka berhadapan dengan dugaan hidup.

Kasih sayang dan keredhaan ibu bapa lebih berharga daripada harta benda dan sebagai anak kita mesti sanggup berkorban untuk ibu bapa kita.

Ukur baju di badan sendiri; belajarlah untuk hidup berdasarkan kemampuan diri kita dan janganlah kita hidup berteraskan budaya materialistk dan hendonisme yang melalaikan dan merugikan kita.

Rezeki datang daripada Allah S.W.T., bersyukurlah dengan segala kurnian Allah, semoga kita semua dilimpahi keberkatan dan sentiasa berada di bawah lindunganNya, aamiin.

#StayAtHome – Jangan Sampai Pelajaran Ditinggalkan

Media di seluruh dunia setiap hari membicarakan tentang wabak Covid-19 yang pada ketika ini sudah merebak hampir ke seluruh dunia.

Saban hari kita melihat masih ada dalam kalangan rakyat yang bersikap alpa dan tidak menghormati Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin menyebabkan ianya dilanjutkan jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini gagal mengekang penularan wabak COVID-19 di negara kita.

Jika PKP dilanjutkan, apakah perancangan aktiviti para remaja semasa cuti tambahan ini?

Bagi remaja-remaja yang masih merupakan pelajar sekolah, mereka bukan sahaja tidak dapat menyambung pelajaran mereka di bawah bimbingan guru-guru di sekolah tetapi mereka juga tidak dapat mengikuti kelas-kelas tusyen kecuali secara dalam talian.

Tanpa persediaan yang rapi, ramai dalam kalangan pelajar khususnya para remaja berkemungkinan akan menghadapi satu situasi yang agak sukar semasa menduduki peperiksaan pada akhir tahun nanti.

Begitu juga dengan para pelajar di pusat-pusat tahfiz di seluruh negara yang selama ini menghabiskan kebanyakan waktu mereka bersama guru-guru mereka.

Iktibar daripada situasi yang kita hadapi ini ialah para remaja mesti belajar berdikari dalam menuntut ilmu.

Mungkin ramai dalam kalangan pelajar yang tidak biasa belajar secara berdikari tanpa bimbingan guru di dalam kelas pada setiap hari; dan ini menjadi satu cabaran baharu apabila tiadanya guru untuk mengajar dan mendisiplinkan murid untuk belajar sepanjang cuti tambahan ini.

Namun para remaja tidak boleh bersikap alpa dan lemah, serta menyalahkan keadaan tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Sepanjang jangkamasa PKP ini kita tidak boleh membuat aktiviti luar, jadi para pelajar mesti mengambil kesempatan ini untuk mendalami pelajaran tanpa adanya gangguan untuk menghabiskan masa di luar rumah.

Dengan ini kita boleh fokus untuk berjaya di dalam peperiksaan pada akhir tahun nanti; apatah lagi bagi pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting seperti saya.

Jika kita leka dan tidak berusaha sendiri untuk terus belajar tanpa ke sekolah, kita mungkin kurang bersedia dan tertekan apabila menghadapi peperiksaan pada akhir tahun ini, kerana masa cuti yang lebih lama bermakna lebih banyak silibus yang mesti dihabiskan dalam masa yang lebih singkat apabila sekolah dibuka nanti.

Akibatnya, mereka yang tidak bersedia akan terkapai-kapai dan menjadi tertekan; apalagi jika tidak mendapat sokongan emosi daripada keluarga.

Remaja harus bersikap terbuka dan positif dalam menghadapi cabaran serta mampu mengadaptasikan diri menghadapi situasi yang baharu kerana kita tidak akan dapat menduga apakah yang akan kita lalui di masa hadapan.

Kegagalan untuk mengadaptasikan diri kepada situasi yang baharu akan menjadikan kita tiada daya saing dalam menghadapi cabaran.

Guru-guru juga akan menghadapi masalah untuk menjalankan tanggungjawab mereka jika para pelajar tidak mahu berusaha sendiri serta mengamalkan sikap seolah-olah mereka tidak mampu berbuat apa-apa tanpa bimbingan guru pada setiap masa.

Daripada pengalaman saya, menanamkan sikap berdisiplin semasa belajar sendiri adalah satu cabaran yang amat besar; namun ianya boleh diperbaiki dengan sokongan ibubapa dan keluarga.

Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membimbing anak-anak dalam menghadapi keadaan ini walaupun mereka sendiri menghadapi pelbagai tekanan apalagi bagi ibubapa yang kehilangan mata pencarian.

Sebagai sebuah keluarga, kita semua sepatutnya tidak hanya mementingkan diri sendiri tetapi kita sepatutnya memberi sokongan emosi kepada satu sama lain.

Kita mesti sedar bahawa tekanan emosi yang melampau akan membawa kepada pelbagai masalah besar jika tidak ditangani dengan cara yang betul.

Jadilah insan-insan yang bertanggungjawab dan berjiwa besar serta kuat rohaninya.

Air Jernih, Ikannya Jinak

Baca versi Jawi di sini.

Bagi membina negara yang maju dan makmur, anggota masyarakatnya haruslah bersikap positif, beradab, berbudi bahasa serta berakhlak mulia.

Kita sering bercakap tentang kepincangan masyarakat serta kepentingan membenteras berbagai budaya negatif seperti rasuah, pecah amanah, penipuan dan sebagainya; namun setakat manakah kita ikhlas dalam usaha untuk membenteras punca berlakunya masalah-masalah ini?

Dan di manakah silapnya sehingga ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak lagi mementingkan adab dan budi bahasa di dalam kehidupan seharian?

Adab yang baik adalah asas kepada pembentukan akhlak dan keperibadian yang tinggi dan mulia; yang mana dapat menjadi benteng kepada penularan gejala-gejala negatif dalam kalangan masyarakat.

Justeru, kita harus memperkasakan pendidikan adab agar nilai-nilai mulia dapat ditanam dalam diri setiap insan sejak usia yang muda supaya mereka dapat menjadi rakyat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara.

Perkara ini amat penting kerana walau semaju manapun sesebuah negara, segala-galanya bakal musnah jika rakyatnya semakin bersikap biadap, mementingkan diri sendiri serta bertindak sesuka hati tanpa menghormati undang-undang.

Dalam keghairahan negara mengejar kejayaan di bidang sains dan teknologi, ada di antara kita yang memandang ringan akan kepentingan pendidikan adab dan kerohanian dan menganggap ianya tidaklah sepenting kemahiran di bidang sains dan matematik.

Kita sering lupa bahawa kejayaan akademik semata-mata tidak dapat menjamin seseorang remaja akan menjadi insan yang cemerlang dan terbilang.

Akibatnya, negara berdepan dengan berbagai masalah sosial yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga merugikan negara.

Insan yang berakhlak tinggi akan menghargai ilmu, bersikap amanah, bertanggungjawab, menjaga kesopanan dalam pergaulan, menghormati orang lain, taat kepada undang-undang serta tidak mudah terjebak dalam budaya negatif.

Sebagai insan yang membesar di era globalisasi hasil ledakan teknologi maklumat, para remaja kini berhadapan dengan pengaruh pemikiran liberal yang mencabar sikap kepatuhan kepada undang-undang agama serta negara.

Penggunaan bahasa kasar serta maki-memaki sudah menjadi perkara biasa dan dianggap sebagai gurauan dalam kalangan sesetengah remaja; malah tidak lagi menjadi perkara yang ditegah oleh sesetengah ibu bapa mahupun guru-guru mereka.

Ramai dalam kalangan remaja yang sering terikut-ikut dengan apa yang diangkat sebagai gaya hidup masa kini dan tidak mahu terikat dengan tatacara budaya kita yang berteraskan agama dan budi pekerti yang mulia.

Akibatnya, mereka bukan sahaja tidak merasa segan menggunakan istilah-istilah yang kesat dan kotor, malah merasa bangga serta mengganggap penggunaan istilah sebegitu sebagai sebahagian daripada gaya bahasa remaja yang bersesuaian dengan jiwa, budaya dan gaya hidup remaja di zaman ini.

Jika budaya sebegini berterusan sehingga mereka dewasa, maka dunia akan berhadapan dengan ahli-ahli masyarakat yang semakin terhakis adab kesopanannya serta tidak lagi mementingkan tatasusila dalam kehidupan.

Masa hadapan sebuah negara bangsa akan menjadi kelam jika para remajanya yang merupakan generasi pelapis sudah hilang hala tuju, serta tidak lagi hidup berlandaskan adab, tatasusila serta akhlak yang baik dan terpuji.

Banyak negara bergolak akibat sikap masyarakatnya yang biadap dan tidak menghormati pihak berkuasa.

Mereka memberontak di jalan raya dan tempat-tempat awan apabila mereka tidak berpuas hati dan akibatnya negara menjadi porak-peranda sehingga mereka kehilangan apa yang mereka miliki selama ini.

Sejarah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dalam kalangan rakyat dan pemimpin sesebuah kerajaan bakal mengakibatkan keruntuhan negara yang dahulunya gagah dan makmur.

Bagaimanakah keutuhan ekonomi negara dapat dipertahankan jika rakyat serta pemimpinnya tidak amanah dan tidak setia serta berpihak kepada musuh negara?

Tindakan seperti tunjuk perasaan yang berterusan, mogok, bertindak ganas serta merosakkan harta awam, pemberontakan dan sebagainya sudah tentu akan melemahkan ekonomi negara dan seterusnya akan mengundang berbagai masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Begitu juga dengan sikap tidak setia kepada tanah air serta mencabar kedaulatan negara dengan mengundang campur tangan kuasa luar dalam hal elwal dalaman negara.

Jika kita kembali kepada ajaran agama, kita akan sedar bahawa manusia harus bertindak berlandaskan akal yang waras berteraskan hukum dan bukannya nafsu.

Maka para remaja mesti memperkasakan diri dengan penerapan nilai-nilai yang terpuji agar kita dapat memimpin negara dengan jujur dan amanah.

Remaja tidak boleh lagi leka serta membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh nilai-nilai liberal yang mengakibatkan kita hilang pertimbangan dalam menilai sesuatu perkara.

Ibubapa harus peka akan perkara ini dan bukannya hanya mementingkan kejayaan akademik anak-anak semata-mata tanpa menitik beratkan pendidikan adab dan kerohanian.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.

Adakah Remaja Peka Akan Tanggungjawab Mereka?

Tanggungjawab merupakan satu kewajipan yang mesti digalas oleh setiap manusia tanpa mengira bangsa, kedudukan mahupun usia.

Kegagalan dalam menunaikan tanggungjawab akan membawa padah bukan sahaja kepada diri kita sendiri tetapi juga kepada orang lain; lebih-lebih lagi apabila melibatkan tanggungjawab yang besar, seperti tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyat dan juga tanggungjawab rakyat terhadap agama dan negara.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sikap bertanggungjawab mestilah ditanam dan dipupuk dalam diri setiap insan sejak dari kecil, contohnya memastikan kanak-kanak mengemas sendiri barang-barang permainan dan kasut mereka di tempat yang ditetapkan.

Begitu juga dengan penerapan sikap bertanggungjawab menjaga keselamatan diri yang diajar kepada kanak-kanak seperti jangan bermain dengan peralatan eletrik dan benda-benda tajam, tidak memasukkan barang ke dalam mulut dan sebagainya.

Hal ini amat penting dan tidak boleh dipandang enteng kerana proses membentuk sikap seseorang individu itu harus dimulakan sejak dari kecil dan bukannya bermula setelah seseorang itu meningkat remaja.

Anak-anak bukan sahaja harus dididik supaya menjadi insan yang bertanggungjawab tetapi mereka juga harus diberi kefahaman tentang kenapa mereka harus menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Remaja sering memperkatakan tentang bebanan tanggungjawab mereka sebagai pelajar yang kadangkala membataskan masa untuk bergembira dan melakukan aktiviti-aktiviti yang diminati.

Kadangkala kita merasa bosan dengan desakan ibubapa dan guru-guru, walhal mereka berusaha keras untuk memastikan agar kita lebih bertanggungjawab. Sedangkan kita merasakan diri kita menjadi mangsa di mana orang dewasa terlalu mengongkong dan tidak memahami perasaan remaja.

Kita mahukan kebebasan dalam memilih cara dan jalan kita sendiri yang kita rasakan lebih sesuai dengan kehendak diri kita tanpa memikirkan baik buruk cara atau jalan yang kita pilih itu.

Jika kita gagal, kita lebih cenderung untuk menyalahkan orang lain daripada mengambil tanggungjawab di atas kegagalan kita.

Kita sering lupa bahawa orang dewasa telah melalui peringkat kehidupan di zaman remaja dan mereka memahami masalah serta kekeliruan remaja dalam menentukan arah tuju kehidupan.

Sebagai seorang pelajar, tanggungjawab utama remaja kepada diri sendiri ialah untuk belajar, supaya kelak kita menjadi orang yang berilmu, bersedia untuk bersaing dan tidak gagal di dalam kehidupan.

Malangnya ada dalam kalangan kita yang menganggap bahawa zaman remaja adalah masa untuk bergembira kerana kita masih muda dan belum dibebani oleh tuntutan tanggungjawab untuk mencari nafkah dan menjaga ibubapa serta keluarga.

Malah ramai juga para remaja yang beranggapan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memenuhi segala permintaan kita dan merasa kecewa jika permintaan kita tidak dipenuhi.

Sikap mementingkan diri sebegini lahir daripada sikap kurang matang, beremosi dan kekeliruan kita dalam menilai sesuatu situasi dan keadaan sehinggakan kita gagal melihat kebenaran walaupun ianya nyata.

Amat sukar untuk kita menginsafi kesilapan diri kita di kala kita sedang marah, kecewa dan beremosi.

Remaja harus sedar bahawa kecenderungan untuk menyalahkan orang lain tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada kalanya timbul berbagai kekangan yang menyukarkan para remaja untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pelajar, contohnya masalah kewangan keluarga dan suasana keluarga yang kucar kacir.

Begitu juga dengan dugaan hidup yang tidak dijangka seperti kematian ibu, bapa atau penjaga, sakit teruk dan sebagainya.

Dalam menempuh keadaan yang sukar, kekuatan kerohanian amat penting supaya kita tidak berputus asa dan tidak memilih jalan yang salah.

Kekuatan kerohanian akan lahir apabila kita istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada agama.

Malah, dalam apa keadaan sekalipun, setiap insan mesti menunaikan tanggungjawab mereka terhadap agama kerana kejayaan material semata-mata tidak dapat memberikan kebahagiaan hidup.

Justeru, remaja harus belajar untuk berfikir secara rasional dalam menilai mengapakah kita mesti menunaikan tanggungjawab kita dan bukannya mencari alasan untuk menjustifikasikan hal yang sebaliknya.

Manusia tidak akan dapat lari daripada tanggungjawab, dan kita sebagai remaja harus menyediakan diri untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat setelah kita meningkat dewasa.

Negara akan makmur jika rakyatnya bertanggungjawab. Tanpa warga yang bertanggungjawab, keadaan negara akan menjadi kucar-kacir akibat mereka yang diamanahkan tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Ke Mana Remaja Tanpa Agama?

Negara kita meletakkan konsep asas bagi agama iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan” sebagai prinsip pertama Rukun Negara. Maka, mempercayai akan kewujudan Tuhan yang berkuasa terhadap makhluk dan seluruh alam adalah satu bahagian integral Rukun Negara.

Laman Web Rasmi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah tajuk “Perisytiharan Rukun Negara” menulis:

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat.

Saya melihat asbab “Kepercayaan Kepada Tuhan” dipilih sebagai prinsip pertama Rukun Negara adalah kerana agama memainkan peranan yang amat besar di dalam mengatur dan membentuk sistem kehidupan manusia yang bertamadun, lantas menjadi teras perpaduan dalam pembentukan negara bangsa.

Perkara ini bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam Perkara 3(1) telah meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan .

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan

Malah, sejarah dunia membuktikan bahawa agama merupakan aspek yang integral di dalam pembentukan peraturan dan undang-undang masyarakat yang membawa kepada kehebatan sesebuah tamadun.

Remaja adalah penentu masa hadapan negara; maka demi memastikan masa hadapan negara yang cemerlang, negara perlu mempunyai para remaja yang bukan sekadar cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga cemerlang dari sudut agama, akhlak dan kerohanian.

Kata Saidina Ali ibn Abi Talib R.A.:

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Namun kini, di dalam keghairahan mengejar kejayaan akademik, kadang kala pendidikan agama seakan dipinggirkan dan kurang diberi penekanan oleh para remaja dan sesetengah golongan masyarakat.

Lebih malang lagi, sudah ada suara-suara lantang yang bukan sahaja mahukan masa mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah dikurangkan malah ada yang mencadangkan agar mata pelajaran ini dihapuskan daripada kurikulum sekolah dan hanya diajar di Sekolah Agama.

Golongan ini gagal melihat pentingnya agama sebagai teras pembinaan sahsiah diri serta membina kekuatan jiwa khasnya ketika remaja menghadapi dugaan dan rintangan hidup.

Remaja yang jauh daripada agama juga lebih mudah terpengaruh dengan kehidupan yang bebas dan liar serta mudah terjebak dalam budaya hedonisme dan pemikiran liberal.

Akibatnya, semakin ramai remaja yang terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat seperti menghisap rokok atau vape, menipu, mencuri, merompak, melaku musnah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Malah, banyak laporan yang menunjukkan peningkatan masalah mental dalan kalangan remaja akibat gagal menghadapi tekanan perasaan sehingga mengakibatkan kes-kes kemurungan dan bunuh diri.

Remaja bermasalah bukan sahaja berpunca akibat kurangnya bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa akibat tuntutan kehidupan moden yang telah merenggangkan ikatan kekeluargaan tetapi juga berpunca daripada kekosongan jiwa akibat kurangnya pengisian kerohanian.

Agama adalah teras kehidupan yang akan melahirkan para remaja yang hebat akhlaknya dan tanpa benteng agama, para remaja akan merasakan bahawa mereka bebas untuk mengatur kehidupan mereka sendiri tanpa batasan atau tanpa terikat kepada peraturan atau undang-undang.

Justeru, amat sukar untuk memupuk sifat ketaatan sama ada sifat taat dan patuh kepada negara, pemimpin, ibu bapa mereka sendiri atau sesiapa sahaja dalam diri remaja yang berfahaman liberal sebegini.

Hal ini akan membawa remaja kepada fahaman anarkisme di mana mereka tidak mahu lagi mematuhi undang-undang atau aturan hidup yang telah ditetapkan serta bersikap memberontak dan ganas.

Masyarakat akan bermasalah jika undang-undang dan arahan oleh pihak berwajib tidak lagi dipatuhi dan langsung tidak diambil peduli.

Sikap suka memberontak dan hanya mementingkan diri sendiri dalam kalangan remaja bukan hanya akan merosakkan kehidupan para remaja tetapi juga akan menimbulkan berbagai masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kita tidak akan dapat membina negara bangsa yang hebat hanya melalui kejayaan dan kehebatan teknologi serta kekayaan dunia kerana manusia mempunyai akal dan nafsu yang boleh menimbulkan kerosakan kepada dunia jika tidak dididik dengan ilmu kerohanian.

Tamadun-tamadun yang hebat dan berkuasa telah dibina berteraskan agama dan apabila lenyapnya pegangan agama dalam kalangan rakyat dan pemimpin, maka akan timbul berbagai masalah sosial yang akhirnya meruntuhkan zaman kegemilangan mereka.

Negara sekular yang berteraskan kebebasan seperti Amerika Syarikat walaupun maju, kaya dan mempunyai sistem pendidikan yang baik, namun berdepan dengan berbagai masalah sosial, akhlak dan jenayah yang serius serta membawa kepada kes-kes pembunuhan secara rambang di tempat awam termasuk di sekolah serta pusat-pusat pengajian tinggi.

Oleh itu, remaja harus sedar dan kembali semula kepada landasan agama, agar masa hadapan negara bangsa kita tidak akan runtuh akibat masalah dalam masyarakat serta keruntuhan akhlak.

Ambillah iktibar daripada sejarah keruntuhan tamadun-tamadun besar dunia dan janganlah kita ulangi kesilapan yang lalu.

Tanpa Ilmu, Remaja Hanya Seperti Lalang

[Rencana saya ini pernah disiarkan di Utusan Online Premium pada 25hb September 2019]

Dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya, kita memerlukan generasi muda yang berilmu, berakhlak tinggi serta bersifat patriotik. Namun, ilmu yang harus dituntut mestilah ilmu yang membawa kepada kesejahteraan, dan bukannya ilmu yang merosakkan seperti ilmu mencuri, ilmu menipu serta ilmu jenayah yang lainnya. Ilmu sejahtera itu pula haruslah digunakan bagi tujuan yang baik. Contohnya ilmu berpidato haruslah digunakan untuk melahirkan kesedaran ke arah menyatu padukan rakyat dan bukannya untuk memecah belahkan rakyat dengan adu domba dan fitnah.

Begitu juga dengan ilmu agama, ianya harus digunakan dengan amanah dan bukannya untuk memberikan tafsiran yang songsang dan merosakkan akidah orang yang lain.

Namun, semakin maju negara dan semakin mewah kehidupan rakyat, timbul pula pelbagai gejala yang telah mengundang kecelaruan minda dalam kalangan remaja dan menjadikan mereka terlalu sibuk mencari keseronokan duniawi tanpa memikirkan tanggungjawab mereka kepada agama, bangsa dan tanah air.

Menunggang basikal lajak, merempit, menghisap vape, merokok, menyalah gunakan dadah dan gangsterisme adalah di antara gejala negatif yang kini melingkari kehidupan sebahagian remaja seawal ketika mereka masih di sekolah rendah.

Semakin ramai para remaja yang terlena dalam budaya hendonisme yang menjadikan mereka leka dengan perkara-perkara yang melalaikan contohnya hiburan yang tidak bermanfaat.

Mereka menilai erti kehidupan daripada aspek mencari keseronokan semata-mata, kononnya itulah degup jantung dan tujuan hidup mereka.

Malah perkara-perkara yang melalaikan itulah yang mereka angkat sebagai prioriti hidup, sehinggakan menuntut ilmu tidak lagi dianggap penting.

Kekurangan minat untuk membudayakan ilmu dalam kalangan remaja akan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh gejala negatif dan diperdayakan oleh mereka yang mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan remaja.

Tanpa ilmu, remaja mungkin tidak dapat berfikir secara objektif dan konstruktif dalam menilai sesuatu perkara atau isu penting, maka seperti lalang yang ditiup angin mereka hanya mengikut trend pemikiran semasa dan kehendak persekitaran walaupun ianya merosakkan masa depan mereka.

Ilmu yang baik merupakan asas kepada hampir segala kebaikan dan kemajuan manusia, ilmu membantu manusia menyelesaikan masalah, menghadapi rintangan dan membantu manusia menilai perkara yang tersurat dan tersirat di sebalik sesuatu keadaan.

Sering timbul kekeliruan apabila kita memperkatakan tentang ilmu kerana ada yang merasakan bahawa ilmu yang patut dituntut oleh remaja hanyalah ilmu yang diajar di sekolah, maka menuntut ilmu adalah sekadar untuk berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan.

Malah ramai ibu bapa yang beranggapan sedemikian sehingga mengabaikan ilmu kerohanian, kenegaraan, pembentukan sahsiah dan jati diri serta cabang ilmu lain yang tidak berkaitan dengan mata pelajaran di sekolah.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan bahawa perkara lain di luar kurikulum pelajaran sekolah adalah perkara remeh dan tidak penting, oleh itu tidak perlu diberi penekanan.

Justeru, ibu bapa gagal mengajar ilmu kerohanian dan asas kenegaraan kepada anak-anak mereka, akibatnya ramai remaja membesar dengan jiwa yang kosong dan tanpa perasaan cinta terhadap negara sehingga ada yang akhirnya tersasar lantas mendokong ideologi anarkisme lantas melawan prinsip-prinsip agama dan negara.

Cara hidup ibu bapa yang tidak membudayakan ilmu juga mempengaruhi sikap remaja, di mana tidak wujud perbincangan ilmiah bersama keluarga dan masa bersama cuma dihabiskan dengan bersantai, membeli belah, menonton televisyen dan sebagainya.

Jarang sekali remaja diberikan pendedahan kepada ilmu kenegaraan secara mendalam serta dididik menghayati Perlembagaan Persekutuan, sejarah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial serta asas kenegaraan yang lain dengan alasan ianya terlalu berat dan tambahan, ianya tidak akan menambah gred pelajar di dalam peperiksaan.

Disebabkan faktor ini ramai dalam kalangan remaja yang tidak berminat untuk mengkaji tentang perkembangan semasa negara dan hanya membaca apa yang ditularkan di media sosial yang belum tentu kebenarannya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, ilmu agama, asas kenegaraan, sifat patriotisme dan nilai-nilai murni haruslah ditanam di dalam diri setiap kanak-kanak sebelum mereka meningkat usia remaja.

Remaja tanpa mengira bangsa dan agama haruslah membudayakan ilmu yang sejahtera supaya kita dapat hidup bersatu padu, hormat menghormati dan bertorelansi di bumi yang bertuah ini.

Remaja yang membudayakan ilmu akan membentuk satu generasi yang maju, unggul, lagi terampil demi membina masa hadapan negara bangsa yang lebih cemerlang.