Bekas Speaker Dewan Negara: Kembalikan Kuasa Raja Seperti Sebelum 1993

Yang Dipertua SA Vigneswaran yang tamat tempoh sebagai speaker Dewan Negara hari ini menyeru kerajaan pusat agar menarik balik pindaan kontroversial pada tahun 1993 berkaitan kuasa raja-raja Melayu.

Dalam ucapan amanat di Bangunan Parlimen hari ini, Vigneswaran yang merupakan speaker Dewan Negara yang ke-14 berkata pindaan kontroversial itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sebagai Yang di-Pertua yang bersara untuk menyeru kepada kerajaan agar menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang hangat didebatkan sehingga kini.

“Pada pendapat saya, (pindaan) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana pindaan dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu dan kedaulatan institusi diraja harus dikembalikan,” kata Vigneswaran.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Pindaan perlembagaan pada 1993 diluluskan oleh parlimen antaranya untuk menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu, yang membolehkan mereka didakwa di mahkamah jika melanggar undang-undang.

Sementara itu Vigneswaran yang juga presiden MIC berkata, beliau berharap kuasa raja-raja Melayu akah dikembalikan seperti pada zaman kemerdekaan.

Sila baca: Raja Melayu Payung Negara

“Dalam banyak perkara penting, kuasa raja-raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” tambahnya lagi. -{Malaysiakini]