PRK Slim: BN Berdepan Dua Calon Bebas

Baca versi Jawi di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tiga calon akan bertanding semasa Pilihan Raya Kecil DUN N.58 Slim yang bakal berlangsung pada Sabtu, 29 Ogos ini.

Calon-calon tersebut ialah Amir Khusyari bin Mohamad Tanusi (BEBAS, Pokok), Mohamad Zaidi Bin Aziz (Barisan Nasional), dan Santharasekaran a/l Subramaniam (BEBAS, Buku).

Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Shamsul Ridzuan Idris pada pukul 10.35 pagi, dan mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima semua kertas pencalonan oleh ketiga-tiga calon pada pagi ini.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika majlis penamaan calon.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lepas, setelah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2004.

Pada tahun 2018, Allahyarham memenangi kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat dan Parti Islam Se-Malaysia dengan majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini.