Dato’ Ayob: Polis Johor Akan Gempur Pusat Hizbut Tahrir

Polis Johor akan menggempur pusat kumpulan fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, justeru pihaknya akan berkolaborasi secara rapat dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti 45 daripada 80 individu pengikut fahaman itu di negeri ini, serta pemimpinnya Sallahuddin Mashkuri.

“Saya akan bekerjasama dengan JAINJ dalam sedikit waktu lagi. Walaupun sekarang ini bukan di bawah kuasa polis untuk ambil tindakan, tetapi saya akan pastikan JAINJ ambil tindakan tegas dan tidak ada lagi amaran.

“Kita akan gempur pusat Hizbut Tahrir ini di Skudai. Saya akan bantu JAINJ untuk gempur, tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi HTM semalam, yang mendakwa pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi dan Ketua Polis Johor memfitnah HTM dan bercanggah dengan agama Islam.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, tidak timbul isu fitnah, memandangkan beliau memberi kenyataan berdasarkan fatwa agama Islam negeri Johor, yang dikeluarkan atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Malah menurut beliau, fahaman HTM mempunyai ciri-ciri ajaran sesat seperti Daesh, selain pernah mengeluarkan risalah yang antaranya melabelkan negara Islam moden sebagai kufur, serta akan memerangi sistem demokrasi.

“Fahaman ini ada ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh, cuma mereka ini belum angkat senjata lagi, jadi kita jangan biarkan mereka berkembang,” katanya.

Selain negeri Johor, fatwa di negeri lain seperti Selangor, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur turut jelas menyatakan mengenai penyelewengan Hizbut Tahrir.

Malah negara lain antaranya Rusia, Tunisia, Bangladesh, Jordan dan Syria, turut mengenal pasti fahaman itu sebagai menyesatkan dan boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1 Okt lepas, Ayob Khan dilaporkan berkata, pihaknya sedang memantau pergerakan pengikut HTM yang boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika mereka didapati mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Pada ketika itu, meskipun tiada tangkapan dibuat, pihaknya menerima 17 laporan polis berhubung gerakan itu, dan telah membuka kertas siasatan. -{Free Malaysia Today]

Mansuh SOSMA Buka Ruang Jenayah Ekstremis Terancang

(UTUSAN) – KUALA LUMPUR 24 Julai – Provokasi perkauman dan jenayah ekstremis terancang akan bermaharajalela sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, SOSMA adalah satu akta yang adil dan mengikut undang-undang negara.­

“SOSMA hanya boleh menahan seseorang selama 28 hari sahaja sebelum dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan dan jika didapati tidak bersalah, tahanan boleh dilepaskan.

“Sebelum ini kita sudah mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kali ini SOSMA pula ingin dimansuhkan. Undang-undang lembut macam mana lagi yang kita mahu laksana­kan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan SOSMA yang dilihat tidak telus bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.

Jelas Dr. Mahathir, rakyat berhak untuk dilindungi oleh undang-undang yang adil dan bukannya bersifat zalim kepada rakyat seperti dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Menurut Musa, mereka yang ditahan di bawah SOSMA me­lakukan jenayah yang besar se­perti penyeludupan manusia dan aktiviti keganasan jenayah terancang.

“Sekarang ini semakin ramai­ anggota kumpulan militan Daesh ditangkap dan itu adalah ancaman serta disiasat di bawah SOSMA. Sebab itu kena ada undang-undang yang tegas demi keamanan negara,” jelasnya.

Ujar beliau, perlu ada sebab khusus mengapa akta itu hendak dimansuhkan kerana tahanan diberi peluang untuk dibicarakan di mahkamah dan perkara itu adalah adil buat mereka.

Menurut beliau, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat juga memiliki undang-undang jauh lebih keras seperti Akta Patriot yang membolehkan seseorang itu ditahan di mana-mana sahaja di seluruh dunia.