Kerajaan Bakal Kalah Undi Belanjawan Esok?

Tun Mahathir dalam satu sidang akhbar petang tadi mengatakan bahawa kerajaan mungkin akan kalah pada pengundian belanjawan esok, apabila Parlimen bersidang untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Langkah ini sangat mengejutkan di kala pemerhati politik sedang cuba merungkai teka-teki siapakah 113 pemimpin yang dikatakan menyokong Anwar Ibrahim.

“Ada kemungkinan bahawa esok, ketika mereka (Ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk usul belanjawan, ada kemungkinan kerajaan mungkin kalah.

“Jika kerajaan kalah, maka kita tidak mempunyai kerajaan. Maka ada keperluan untuk kita menubuh satu kerajaan. Namun apabila kita mahu menubuh satu kerajaan, kita berharap mereka memilih satu kerajaan yang tekad pada berkhidmat kepada negara dan rakyatnya.”

Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Disember 2020

Sila baca: Kerjasama Tengku Razaleigh-Tun Mahathir: Apa Impaknya Pada Anwar?

Setakat ini, blok Anwar Ibrahim masih belum berjaya mengalahkan blok kerajaan dalam undian Belanjawan 2021.

Untuk rekod, langkah Anwar tidak mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat Parti Warisan Sabah yang berjumlah seramai lapan orang.

MP Warisan tidak berada di Parlimen untuk undian peringkat jawatankuasa belanjawan sebagai menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Anwar.

Sila baca: Dewan Rakyat Lulus Belanjawan 2021 Dalam Undian Pertama

Persoalannya:

  • Adakah MP Parti Warisan yang selama ini condong ke arah kepimpinan Tun Mahathir akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok untuk menyokong Tun menolak Belanjawan 2021?
  • Apakah benar dakwaan bahawa Anwar telah mendapat 113 sokongan daripada ahli-ahli Parlimen?

Perkara ini menambah kehangatan suhu politik negara kerana kini kita melihat sekurang-kurangnya 3 blok yang berlainan dalam percaturan politik negara.

Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO telah banyak bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesetengah perkara di dalam belanjawan.

Sila baca: Ku Li: Antara Sumpah Jawatan MP & Perbahasan Belanjawan

Adalah jelas bahawa hubungan UMNO (parti yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen di dalam kerajaan persekutuan) bersama PPBM adalah tidak begitu akrab; dan keadaan ini bertambah buruk apabila PAS gagal bersikap neutral.

Sejak krisis politik di Perak, perbagai spekulasi telah dibuat termasuk kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.

Pada ketika itu, ramai yang melihat bahawa UMNO terpaksa mendapatkan sokongan blok Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak. Nyata andaian itu tidak benar.

Sila baca: Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Apakah yang akan akan berlaku esok?

Yang nyata adalah, jika benar kerajaan kalah pada pengundian untuk bacaan kali ketiga belanjawan esok, jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih berliku.

Peja Ditolak, Bagaimana Kedudukan Muhyiddin?

Baca versi ْJawi di sini.

Hari ini, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah kalah dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam situasi politik yang genting pada saat ini, PPBM menerima tamparan hebat apabila Dewan Undangan Negeri Perak menolak MB yang merupakan pemimpin kanan parti itu.

Untuk rekod, Ahmad Faizal Azumu ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Daripada 33 ADUN kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) dan UMNO, hanya sepuluh ADUN menyokong beliau.

DUN Perak mempunyai 59 ADUN, namun hanya 48 ADUN yang hadir manakala 11 ADUN tidak hadir semasa undian tadi.

Apakah kejadian di Perak ini memberi gambaran terhadap tahap sokongan blok kerajaan kepada PPBM di peringkat persekutuan?

Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, namun disokong oleh Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah serta seorang Ahli Parlimen Bebas untuk membentuk kerajaan.

Namun, terdapat pergeseran secara terbuka di antara pemimpin PPBM dan parti yang menyokong PN; sehinggakan Ahli Parlimen kerajaan sendiri menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau kini masih mempunyai sokongan majoriti.

Pada ketika ini, kerajaan mempunyai 111 Ahli Parlimen (dengan sokongan seorang MP Bebas), manakala pembangkang mempunyai 108 Ahli Parlimen.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh pembangkang adalah, adakah kesemua 111 Ahli Parlimen kerajaan tersebut masih menyokong Muhyiddin pada ketika ini?

Peristiwa di Perak telah menunjukkan bahawa ADUN kerajaan sendiri tidak lagi bersama kepimpinan di bawah Timbalan Presiden PPBM.

Namun, walaupun kalah, Ahmad Faizal telah membuktikan bahawa beliau berani dan bersedia menghadapi undi percaya.

Persoalannya, adakah Dewan Rakyat akan mengadakan undi percaya dan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin?

Tunggu Belanjawan 2021, Mungkin Tidak Perlu Keluarkan Wang KWSP – PM

Baca versi Jawi di sini.

Kerajaan sedia mengkaji cadangan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada Akaun 1 untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah dibincangkan beliau bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tegasnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Muhyiddin akui perlu diimbangi keperluan jangka pendek individu yang terjejas dengan masa hadapan jangka panjang dan keperluan simpanan persaraan, lapor Awani.

“Kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan bagaimana kita dapat membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sama ada mereka ini boleh kita benarkan untuk keluar peruntukan dari akaun satu – yang biasanya kita tahu ia adalah untuk jangka masa panjang apabila umur mereka sudah tua atau apabila tidak ada duit.

“Jadi reaksi awal kita adalah seboleh mungkin, jangan sentuh wang itu.

“Ya, mereka menghadapi keadaan yang amat susah, sebab itu belanjawan nanti kalau ditunggu mungkin ada pemberian dan bantuan yang kerajaan sampaikan.

“Kalau itu dianggap memadai, tidak perlu keluarkan wang yang telah disimpan (akaun 1 KWSP) itu,” katanya pada sesi Wawancara Khas Pra-Belanjawan 2021 bersama media secara maya hari ini.

Jelasnya, kerajaan sudah melaksanakan kelonggaran berhubung KWSP, khususnya membenarkan caruman pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus dan juga i-Lestari yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 sebanyak RM6,000 seorang.

“Hampir 70 peratus daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja 11 peratus ke 7 peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) sebanyak hampir RM700 juta sebulan.

“Pada masa yang sama, lebih daripada 30 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM5,000 dan dengan itu, simpanan KWSP tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum KWSP,” katanya. –{Malaysia Gazette]

UMNO Bincang Calon TPM Malam Ni?

Umno dijangka akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan calon Timbalan Perdana Menteri dan syarat-syarat yang akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber parti itu, tiga nama menjadi sebutan untuk dicalonkan bagi jawatan itu iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

“Ya, malam ini dijangka mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bersidang berhubung perkara itu

“Pucuk pimpinan Umno akan bermesyuarat bagi menentukan nama calon yang akan dihantar, dan juga syarat-syarat yang akan dikemukakan kepada Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun sumber tersebut memberitahu, mesyuarat khas berkenaan akan ditangguhkan sekiranya kuorum tidak mencukupi.

Spekulasi mengenai calon timbalan perdana menteri dari Umno bertiup kencang semalam apabila Putrajaya dikatakan sedang menunggu nama yang akan diserahkan parti itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Mohamad, Ismail dan juga Hishammuddin.

Sebuah portal melaporkan nama Setiausaha Agung BN Annuar Musa juga turut dikaitkan sebagai calon bagi mengisi jawatan itu.

Jawatan timbalan perdana menteri antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat bagi parti itu untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan bagi jawatan berkenaan.

“Nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan kerana ia mungkin tidak disenangi oleh ramai pemimpin Umno.

“Nama yang akan dipertimbangkan ialah Mohamad dan Ismail, untuk mewakili Umno bagi jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu beberapa orang ahli MT Umno ketika dihubungi mengesahkan malam ini berlangsung mesyuarat khas MT. -{Malaysiakini]

2 Usul Percaya, 25 Usul Tidak Percaya?

Usul undi percaya bagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah dikemukakan oleh dua anggota parlimen kerajaan

Sementara itu, 25 anggota parlimen pembangkang mengemukakan usul menentang perdana menteri berdasarkan draf Aturan Urusan mesyuarat pada sidang parlimen 2 Nov ini.

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menjelaskan perkara itu tertakluk kepada perubahan.

“Parlimen akan menghantar salinan semua pertanyaan dan usul yang kami hantar (kepada Ahli Parlimen).

“Tetapi urusan mesyuarat itu tertakluk kepada perubahan selanjutnya. Ini hanya sebagai panduan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dua usul percaya yang menyokong Muhyiddin adalah dari Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh).

Sementara itu, usul tidak percaya dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad (Bebas- Langkawi) dan empat ahli parlimen dari partinya, tujuh anggota parlimen dari Warisan, Amanah (11), PKR (1) dan DAP (1).

Khalid Samad (Amanah- Shah Alam) dan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) masing-masing mengemukakan dua usul tidak percaya.

Usul tidak percaya yang pertama menurut Aturan Mesyuarat adalah dari sekutu Mahathir iaitu Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) di kedudukan nombor 18, diikuti oleh usul percaya oleh Zawawi.

Pada masa ini tidak mungkin Dewan Rakyat membahaskan usul ini.

Di bawah Peraturan Mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan terlebih dahulu – yang bermaksud rang undang-undang untuk undang-undang baru dan pindaan dari kerajaan didahulukan.

Dalam draf ketika ini, Dewan Rakyat ditetapkan membahaskan terlebih dahulu pindaan terhadap Akta Koperasi, diikuti rang undang-undang untuk membentuk Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan pindaan terhadap Akta Racun.

Rang undang-undang untuk membahaskan dan meluluskan Belanjawan 2021 dijangka akan ditambah kemudian dan kerajaan juga boleh menambah atau menarik balik rang undang-undang lain.

Perbahasan Belanjawan dijadualkan berlangsung dari 9 Nov hingga 10 Dis.

Dilaporkan ada rancangan untuk menolak rang undang-undang perbekalan sebagai alternatif kepada usul tidak percaya.

Pengkritik Muhyiddin mendakwa inilah sebabnya dia meminta pengisytiharan darurat.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menolak permintaan untuk melaksanakan darurat, sebaliknya menasihati anggota parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 dan memastikan ia diluluskan tanpa halangan.

Muhyiddin Tunggu Calon TPM Dari UMNO?

Muhyiddin Yassin didakwa sedang menunggu Umno mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri, lapor sebuah laporan media hari ini.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa presiden Bersatu itu bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

“Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah,” katanya.

Untuk rekod Hishammuddin ialah bekas naib presiden Umno.

Selepas dilantik menjadi perdana menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri seperti biasa yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Sebaliknya dia melantik empat menteri kanan. Daripada jumlah itu dua adalah dari Bersatu, seorang Umno dan seorang lagi Gabungan Parti Sarawak.

Menurut laporan itu lagi, seorang sumber dari Umno mendakwa parti berkenaan diminta membentuk sebuah jawatankuasa rundingan bagi membincangkan terma baru kerjasama mereka dengan Bersatu, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri dan jawatan lain.

Jika Muhyiddin gagal memuaskan hati Umno, kata sumber-sumber, mereka akan mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik saja ancaman Covid-19 berkurangan.

Katanya pertemuan Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan kemungkinan menyegerakan PRU.

“Tapi ini bergantung kepada langkah lanjut Muhyiddin, termasuk jika dia mengemukakan tawaran baru kepada Umno seperti pelantikan timbalan perdana menteri, usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” kata sumber yang hadir dalam pertemuan semalam.

Malaysiakini belum dapat mengesahkan kesahihan laporan berkenaan.

BN Bincang Sama Ada Muhyiddin Perlu Letak Jawatan: Hishamuddin

Barisan Nasional (BN) akan mendapatkan pandangan daripada Ahli-Ahli Parlimen parti itu  mengenai sama ada wujud keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu mendapatkan padangan daripada rakan-rakannya dalam parti berhubung perkara tersebut petang ini.

“Itulah sebab kita bincangkan, saya mahu dengar pandangan BN,” katanya ringkas kepada media di Lobi Menara Dato Onn, PWTC di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan sama ada Muhyiddin perlu meletak jawatan susulan keputusan Majlis Raja-Raja yang menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.

Sementara itu, ketika ditanya adakah UMNO masih lagi menyokong Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin yang juga Menteri Luar memberitahu, beliau tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu kita tunggu mesyuarat UMNO dulu,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin bersama beberapa lagi rakannya dalam Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Halimah Saddique tiba di PWTC selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahli-ahli Parlimen lain mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ daripada menjawab pertanyaan yang diajukan oleh media yang telah berkumpul sejak pukul 12 tengahari tadi.

Ketika berita ini ditulis, beberapa Ahli Parlimen BN yang memegang jawatan menteri sudah berada di bangunan berkenaan untuk membincangkan isu politik semasa tanah air. –{MalaysiaGazette]

PM Panggil Semua MB, KM Untuk Bermesyuarat, Setelah Agong Umum Tiada Darurat

Pembantu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menjemput Amirudin ke mesyuarat esok.

Perkembangan itu hadir selepas Istana Negara petang ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memutuskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat.

Pembantu Amirudin itu mengesahkan pertemua berkenaan sebagai mengulas laporan yang mengatakan Muhyiddn akan memanggil mesyuarat di Putrajaya esok dengan semua ketua menteri dan menteri besar negeri.

“Menteri besar telah dijemput dan akan hadir esok,” kata pembantu itu ketika ditanya oleh wartawan mengenai mesyuarat berkenaan.

Pejabat Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu juga mengesahkan pertemuan itu akan berlangsung pada pukul 9.30 pagi esok. -{Malaysiakini]

Agong Tiba di Istana Negara, Runding Cadangan Muhyiddin

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tiba di Istana Negara hari ini, susulan mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu berhubung cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Mesyuarat itu berlangsung susulan spekulasi tersebar luas mendakwa kerajaan mempertimbangkan langkah mengisytiharkan darurat kesihatan dan menggantung Parlimen bagi menangani situasi penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan dikemukakan Muhyiddin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam pertemuan lebih kurang satu setengah jam, Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang dicapai mesyuarat khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Ahmad Fadil turut memaklumkan, Agong meminta semua rakyat bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan kerajaan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar turut meminta rakyat untuk doakan buat negara susulan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

Pada hari ini saya berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu. Doakan agar perjalanan saya mendapat restu daripada Allah SWT.

Semoga sidang mesyarat ini turut diberkati dan dirahmati Allah SWT demi kebaikan semua.

Istana: Agong Berkenan Mengadakan Rundingan Dengan Raja-Raja Melayu

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat susulan menerima mengadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Rundingan tersebut adalah bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin ketika di Istana Abdul Aziz semalam.

Sila baca: PM Mengadap Agong di Kuantan

Di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin mengatakan bahawa dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda bagi pelaksanaannya.

Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihati seluruh warga Malaysia agar bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini.

Rakyat turut dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara ini.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.