2 Mangsa Tanah Runtuh di Ipoh Ditemukan Maut

Mayat dua mangsa tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di sebuah resort pelancongan terkenal di Tambun berjaya ditemui pada pukul 9.55 pagi ini.

Mangsa pertama yang dijumpai dikenali Ooi Chee Wei, 39, manakala wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, ditemukan lima minit kemudian.

Sila baca: 2 Dikhuatiri Tertimbus Tanah Runtuh Berhampiran Hotel di Tambun

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi villa berkenaan yang ditimpa runtuhan tanah.

Katanya, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian.

“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh daripada pemilik resort tersebut pada pukul 2.15 pagi di mana dipercayai terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta-merta namun terpaksa dihentikan ekoran terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian sebelum disambung semula pada pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. –{Utusan Digital]

2 Dikhuatiri Tertimbus Tanah Runtuh Berhampiran Hotel di Tambun

Dua individu dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel yang terletak di kawasan gunung di Tambun di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa masing-masing seorang lelaki dan perempuan yang menginap di hotel itu pada pukul 1.28 pagi.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan mengenai kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pasukan bomba masih giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa manakala maklumat lanjut mengenai mangsa belum dikenal pasti.

Pasukan penyelamat turut menemukan dua pasang kasut sukan dipercayai milik kedua-dua mangsa di kawasan kejadian. -{BERNAMA]