Tengku Hassanal: Kekalkan Kuasa Pemerintahan Bersama Agong

Kuasa eksekutif mentadbir kerajaan bertukar ganti, tetapi kuasa pemerintahan negara perlu kekal selamat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong yang mana Seri Paduka menjadi wakil kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Menyentuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelantikan itu meneruskan legasi kecemerlangan kerajaan yang dilantik dan diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Negara Tidak Mempunyai Tanah, Harta Jika Tiada Raja-raja Melayu

Baginda bertitah, menerusi kuasa dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, proses perubahan kuasa eksekutif sentiasa dapat dijalankan dalam suasana yang tenang dan membawa manfaat kepada semua pihak.

“Kuasa itu (pemerintahan negara) harus kekal bersama Raja-raja Melayu sebagai penjaga amanah kuasa Allah SWT di muka bumi ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, lapan anakanda Al-Sultan Abdullah antara 56 penerima darjah kebesaran dan pingat yang disempurnakan pengurniaannya oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tiga anakanda Sultan Pahang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Iman Afzan.

Lima lagi anakanda Al-Sultan Abdullah menerima Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera iaitu, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri IIisha Ameera, Tengku Puteri IIyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Daripada 56 penerima itu, 19 orang menerima SSAP, SIMP (lapan orang), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk (lapan orang), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) juga bergelar Datuk (16 orang).

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, kedaulatan seseorang sultan itu merupakan anugerah yang hanya boleh diperolehi dengan memperhambakan diri secara keseluruhannya kepada Allah SWT, pemilik segala kuasa yang melimpahkurniakan pangkat, kedudukan dan menzahirkan kesultanan itu sendiri.

Dalam pada itu, baginda bertitah, negara pada ketika ini sedang diuji dengan beberapa bentuk ujian yang begitu besar.

Ujian itu titah baginda, bukan untuk menjatuhkan tetapi menjadikan rakyat lebih matang, kuat dan tabah jika dapat secara bersama-sama mengharunginya dengan sabar dan bertindak tepat.

“Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan contoh teladan yang baik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19. Nasihat serta contoh teladan dipamerkan, tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen yang tersemat dalam hati Seri Paduka terhadap rakyat jelata dan negara tercinta ini,” titah baginda. –{Utusan Digital]

Covid-19: Tengku Hassanal Sumbang Elaun Diraja ke Tabung Covid-19 Pahang

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk tidak menerima bayaran Elaun Diraja baginda, selama enam bulan bagi disalurkan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, bayaran elaun itu adalah bagi tempoh bermula bulan ini sehingga September nanti.

“Baginda berharap agar bantuan yang dicadangkan dan diluluskan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera.

“Selain itu, baginda turut bertitah supaya seluruh rakyat Pahang sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pemangku Raja juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia diberi kesembuhan yang segera oleh Allah SWT.

“Selain itu, baginda juga berharap kesemua petugas barisan hadapan sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri`Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja untuk baginda berdua selama enam bulan. -{Berita Harian]

Sikap hina Raja, kesucian Islam tidak boleh dibiarkan – Pemangku Raja Pahang

[Berita Harian}- Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, mahu semua pihak menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Baginda bertitah, sebagai negara yang meletakkan Raja kuasa tertinggi, khususnya dalam hal ehwal agama Islam, sikap segelintir pihak menghina Raja dan kesucian Islam tidak boleh dipandang ringan serta perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Penghinaan terhadap institusi Raja dan agama Islam tidak boleh dibiarkan serta dipandang enteng. Adalah wajar tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap pihak terbabit dalam memastikan martabat institusi Raja dihormati oleh semua pihak.

“Selain itu, saya melihat pelbagai anasir negatif menular dalam kalangan rakyat beragama Islam, termasuk kefahaman Islam liberal serta penerimaan terhadap golongan menyalahi fitrah manusia seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Perkembangan ini amat membimbangkan saya dan sebagai ketua agama negeri (Pahang), saya menyeru kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa bagi membanteras perkara ini daripada terus berleluasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu Kerajaan Pahang mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya mengharapkannya daripada sumber hutan dan bahan mineral.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dengan kerjasama kerajaan negeri dapat mengenal pasti sumber kekayaan baharu di Pahang bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber mineral dan sumber asli semata-mata. Usaha ini penting dalam membawa perkembangan dan pemantapan ekonomi Pahang.

“Dalam kita mengejar peningkatan hasil, saya berharap kawasan hutan di Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik dan seterusnya memperkasakan sektor ekopelancongan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar prinsip integriti sentiasa menjadi pegangan semua yang terbabit secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan memberi keutamaan terhadap interaksi bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dasar dan tadbir urus baik adalah kunci kepada kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat. Maka, adalah penting sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri untuk memiliki integriti yang tinggi.

“Kerajaan negeri juga perlu meneliti semula keperluan pembangunan infrastruktur mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan (peruntukan) pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan rakyat di kawasan luar bandar,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan pemulangan sebanyak 50 peratus cukai pelancongan kepada Pahang yang sudah pasti dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan aktiviti pemuliharaan, menaik taraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini.