Guan Eng Mengaku Tidak Bersalah Kes Terowong

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion, beberapa hari selepas beliau didakwa meminta rasuah berkaitan projek sama.

Beliau didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk mendapatkan rasuah RM3.3 juta bagi melantik syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli melaksanakan projek itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di pejabat ketua menteri di tingkat 28 Komtar.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak lebih 5 kali ganda nilai suapan.

Lim, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V Vemal Arasan, mengaku tidak bersalah di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Jumaat lalu, Lim didakwa meminta balasan berupa 10% keuntungan daripada Zarul yang juga pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu dilantik melaksanakan projek berkenaan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel The Gardens di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Jika sabit kesalahan, beliau akan berdepan maksimum penjara 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan.

Azhari membenarkan lanjutan ikat jamin RM1 juta daripada kes terdahulu dan permohonan pendakwaan memindahkan kes itu ke mahkamah Kuala Lumpur. -{Free Malaysia Today]

Guan Eng Diperintah Bayar Ikat Jamin 1 juta

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memerintahkan agar sebanyak RM500,000 perlu dibayar hari ini manakala bakinya perlu dijelaskan Isnin ini.

Selain jaminan tersebut, mahkamah turut memerintahkan agar pasport peribadi dan pasport diplomatik bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu diserahkan ke mahkamah untuk disimpan sehingga kes itu selesai.

Terdahulu, bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta rasuah bagi projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang daripada seorang pengarah syarikat.

Pada Isnin dan Selasa hadapan, Guan Eng yang juga Setiausaga Agung DAP akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang bagi menghadapi dua pertuduhan serupa. –{Utusan Malaysia]